Dalil-dalil Keutamaan dan Kepentingan Ilmu Tauhid.

Firman Allah ta’ala:
(فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك)
Mafhumnya: “Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu…
[Surah Muhammad, ayat 19].

Ayat di atas mengandungi dua perintah Allah ta’ala; iaitu pertama (فاعلم أنه لا إله إلا الله) dan kedua (واستغفر لذنبك ).

Al-Shaykh ‘Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri`l-Qur’ani`l-’Aziz mentafsirkan perintah pertama dengan berkata: “Maka tetaplah di atas tauhid dengan ilmumu”.

Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani pula dalam kitab tafsirnya al-Tafsiru`l-Munir mentafsirkan perintah pertama di atas begini:

“Apabila engkau (wahai Muhammad) telah mengetahui bahawa tauhid dan ketaatan adalah punca kebahagiaan, manakala syirik dan kederhakaan pula adalah punca kecelakaan maka tetapkanlah ilmu ketauhidan dan amalan yang menjadi tuntutan ilmu ketauhidan tersebut “.

Al-Hafiz al-Muhaddith ‘Abdu`Llah al-Habashi berkata dalam kitabnya Sarihu`l-Bayan fi al-Radd ‘ala Man Khalafa`l-Qur’an:

“…ayat ini adalah sebahagian al-Quran yang mengandungi isyarat kepada dua ilmu; iaitu ilmu tauhid dengan firman-Nya: (فاعلم أنه لا إله إلا الله) dan ilmu furuk (cabangan) dengan firman-Nya: (واستغفر لذنبك). Sebenarnya Allah ta’ala menyatakan terlebih dahulu tentang suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada ilmu tauhid sebelum menyatakan suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada ilmu cabangan. Dengan itu, kita dapat mengetahui bahawa ilmu tauhid itu lebih utama daripada ilmu cabangan, dan ilmu tauhid itu adalah ilmu yang paling afdal, paling tinggi martabatnya, paling mulia dan yang pertama berbanding dengan ilmu-ilmu lain..”.

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurayrah radiya`Llahu ‘anhu bahawa Rasulullah salla`Llahu ‘alayhi wa sallam ditanyakan tentang amalan yang paling utama, lalu baginda bersabda:

إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Mafhumnya: “Keimanan dengan Allah dan Rasul-Nya

Ini kerana amalan soleh tanpa keimanan dengan Allah dan Rasul-Nya tidak akan diterima.

Al-Imam al-Ghazali berkata:

لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُودِ
Bermaksud: “Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang berhak disembah

Ini kerana sesiapa yang tidak mengenali Allah ta’ala, bahkan menyerupakan-Nya dengan makhluk seperti menyerupakan Allah ta’ala dengan sinaran cahaya, atau berpegang bahawa Allah ta’ala wujud bertempat seperti berada atau mendiami langit atau berada atau duduk di atas Arasy atau berada di mana-mana, atau mensifatkan dengan sifat makhluk, maka sebenarnya dia tidak menyembah Allah ta’ala tetapi menyembah sesuatu yang tergambar dalam khayalannya sendiri. Oleh itu, ibadahnya tidak sah kerana dia telah mensyirikkan Allah ta’ala.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Jundub ibn Abdu`Llah; dia berkata:

كُـنـَّا مَعَ النَّبـِيِّ وَنـَحْنُ فِتــْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتــَعَلَّمْنَا الإِيمَانَ قَبـْلَ أَن نـَتـَعَلَّمَ الـْقُرْءَانَ, ثــُمَّ تـَعَلَّمْنَا الـْقُرْءَانَ فـَازْدَدْنـَا بِهِ إِيمَانــًا

Mafhumnya: “Kami pernah bersama Nabi salla`Llahu ‘alayhi wa sallam ketika kami kanak-kanak. Ketika itu, kami mempelajari iman sebelum kami mempelajari al-Quran, kemudian setelah kami mempelajari al-Quran maka bertambahlah iman kami dengan mempelajari al-Quran
[Al-Hafiz al-Busiri mensahihkan hadis ini seperti dalam kitabnya Misbahuz-Zujajah].

Pengajaran dan Istifadah:

Menuntut ilmu tauhid (ilmu iman, ilmu usuluddin, ilmu kalam atau ilmu ma’rifah) adalah wajib ke atas setiap mukallaf [1]. Utamanya iman ke atas amal soleh kerana:

a) Iman itu sentiasa wajib dipegang di dalam hati sehingga mati, bukan seperti solat yang diamalkan pada waktu tertentu.

b) Persoalan imanlah yang akan ditanya terlebih dahulu apabila masuk ke gerbang alam akhirat iaitu alam barzakh.

c) Dengan iman, seseorang yang berdosa layak untuk diampunkan oleh Allah ta’ala dan dimasukkan ke dalam syurga.

d) Dengan iman, seseorang yang berdosa akhirnya layak keluar dari neraka dan memasuki syurga meskipun dengan iman yang paling sedikit.

e) Tanpa iman yang sahih, amalan soleh seseorang itu tidak akan diterima oleh Allah ta’ala meskipun dengan amalan soleh yang paling banyak. Wa`Llahu a’lam

Rujukan:

1. Al-Bantani, Muhammad Nawawi ibn ‘Umar ibn ‘Arabi ibn ‘Ali al-Jawi. Al-Tafsir al-Munir. Dar al-Fikr. T.tp. 1400H/1980R.
2. Al-Habashi, al-Hafiz Abu ‘Abd al-Rahman ‘Abdu`Llah ibn Muhammad ibn Yusuf ibn ‘Abdi`Llah ibn Jami’ al-Harari al-Shaybi al-’Abdari. Sarihu`l-Bayan fi al-Radd ‘ala Man Khalafa`l-Qur’an. Dar al-Mashari’. Beirut. Cet. 1. 1425H/2004R.
3. Al-Wahidi, Abu`l-Hasan ‘Ali ibn Ahmad. Al-Wajiz fi Tafsir al-Qur’an al-’Aziz. Dar al-Fikr. T.tp. 1400H/ 1980R .
__________________________________________

[1] Mukallaf ialah sesiapa yang diwajibkan memeluk agama Islam dan beriltizam dengan hukum hakam Islam dalam keadaan mereka berakal, baligh dan sampai seruan asas Islam (kalimah tauhid) kepada mereka.
Dicatat oleh Abu Nur al-Dununiyy

2 Comments

Filed under Agama dan Islam, Aqidah

2 responses to “Dalil-dalil Keutamaan dan Kepentingan Ilmu Tauhid.

  1. pencari ilmu

    alhamdulillah… cukup jelas dan mudah untuk difahami.. agar dapat memberi kefahaman kepada sang pencari…

  2. Aris Royanda

    mohon dalilnya agar ditulis dalam tulisan indonesia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s