Al-Quran & Hadis undang-undang tertinggi di Malaysia?

Baru ini saya melewati Wikipedia dan mendapati jawapan kepada status kebebasan beragama di Malaysia seperti di bawah:

Status kebebasan agama di Malaysia merupakan satu isu kontroversi. Islam merupakan agama rasmi dan Perlembagaan Malaysia meletakkan sekatan terhadap kebebasan beragama, paling ketara penyebaran agama selain Islam kepada Muslim. Bagaimanapun, persoalan sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sekular masih belum berjawab;  Wikipedia

Saya meneliti Perlembagan dan mendapati tafsiran sebenar Perlembagaan Malaysia menunjukkan Al-Quran & Hadis adalah sebenarnya undang-undang tertinggi di Malaysia, dan mana-mana undang-undang, perjanjian atau perbuatan bercanggah dengannya adalah tidak sah dan menjadi terbatal.

Namun itu kenapa ia menjadi sebaliknya? Kenapa perlaksanaan Al-Quran dan Hadis sebagai undang-undang tertinggi diabaikan dan disisihkan? Ini kerana perlaksanaan undang-undang hari ini berasaskan fahaman yang terpesong dari maksud sebenar Perlembagaan. Ini kerana mereka menafsirkan perkara 3 (1) Perlembagaan sebagai bermaksud Islam agama rasmi di Malaysia. Ini adalah penafsiran yang terpesong. Terdapat beberapa faktor dan antara fahaman terpesong kerana pengamal undang-undang tidak memahami definisi Islam yang sebenar, dan isu tidak pernah dicabar di Mahkamah.

Sekarang saya kemukakan alasan-alasan seperti di bawah:

Perkara 4 (1) menyatakan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi, dan mana-mana undang bertentangan dengannya menjadi terbatal. Undang-undang yang boleh menjadi terbatal dan tidak sah ialah semua undang-undang selain Perlembagaan, termasuk Kanun Jenayah dan peraturan kecil dsbnya. Kesemuanya mesti tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Perkara 4 (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang tertinggi Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Bagi memudahkan pemahaman, kita anggap Perlembagaan seumpama bapa dan undang-undang selainnya seumpama anak. Oleh itu arahan anak tidak boleh mengatasi arahan bapa. Persoalan lain samada badan Perundangan (Peguam Negara), Kehakiman (Ketua Hakim Negara), Eksekutif (Perdana Menteri), YDPA/Sultan, dasar-dasar parti politik, perjanjian-perjanjian, dan semua badan/individu tertakluk di bawah Perlembagaan? Ya! Kesemuanya tertakluk di bawah Perlembagaan dan tidak terkecuali. Sebarang undang-undang, perjanjian atau perlaksanaan bertentangan dengannya menjadi terbatal dan tidak sah.

Seterusnya Perlembagaan memperuntukan Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Perkara 3. (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Perkara 11 (1) memperuntukkan: Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Alasan Ringkas

Berdasarkan di atas, alasan ringkas ialah bagi dakwaan Al-Quran & Hadis sebagai undang-undang tertinggi ialah:

Reason:

1. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi

2. Undang-undang tertinggi menyatakan Islam agama Persekutuan

3. Islam agama Persekutuan bermaksud Pengabdian Persekutuan

4. Pengabdian Persekutuan bermaksud Persekutuan mesti membenarkan perlaksanaan ibadah mengikut Al-Quran & Hadis

Conclusion: Ini bermaksud Perlembagaan mesti membenarkan ibadah terkandung di dalam Al-Quran & Hadis, dan termasuk perlaksanaan undang-undang Islam. Oleh itu ini membawa maksud undang-undang Al-Quran & Hadis adalah undang-undang tertinggi di Malaysia.

Namun itu kenapakah salah faham ini terjadi? Pertamanya penjajah dan penggubal undang-undang telah memahami Islam seperti agama lain, iaitu mendefinisikan Islam sekadar syahadah, bersolat, membayar zakat, berpuasa dan mengerjakan haji. Pemahaman ini kemudian diwariskan kepada pengamal undang-undang, dan akhirnya menjadi undang-undang yang mempengaruhi jentera kerajaan dan masyarakat Islam keseluruhan. Fahaman ibadah sebegini adalah fahaman yang sangat jauh terpesong, dan ibadah di dalam Islam tidak seperti ibadah-ibadah agama lain:

Maksudnya: “…Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku…”; Al-Quran: al-Kaafiruun

Berlandaskan fahaman yang salah ini, mereka membuat undang-undang yang tidak berlandaskan fahaman sebenar, dan malahan bercanggah serta menyekutukan Allah swt. Fahaman sebenar ialah Islam agama menyeluruh, dan meninggalkan mana-mana amalan atau mencampur adukkanya akan mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Maksudnya: “...Dan tidak harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidak haruslah bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat pada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata…”; Al-Quran: al-Ahzaab:36

Ayat menegaskan satu kaedah wajib dipatuhi orang mu’min dalam segala urusan kehidupannya. Tidak harus bagi seseorang itu memilih sesuatu ketetapan selain daripada yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala semata-mata, dan yang mana diterangkan atau dijelaskan oleh RasulNya.

Alasan Penuh

Persoalan pertama: Samada peruntukan “Islam agama bagi Persekutuan” adalah undang-undang yang tertinggi di Malaysia?

Perkara “Islam agama bagi Persekutuan” adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Ini kerana perkara “Islam agama bagi Persekutuan” terkandung di dalam perkara 3 (1), dan perkara 3 (1) terkandung di dalam Perlembagaan, iaitu undang-undang tertinggi di Malaysia. Perkara undang-undang tertinggi dinyatakan melalui perkara 4 (1) . Sebagai tambahan dan jauh daripada itu, perkara 3 (1) adalah antara paling utama kerana terletak di bahagian paling awal Perlembagaan dan mengatasi perkara-perkara selainnya.

Persoalan kedua: Apakah status amalan agama-agama lain?

Perkara 3 (1) menyatakan: Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai” di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Apakah maksud “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai”? Adakah bermaksud mereka mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai? Maksud ini tidak munasabah kerana mereka sememangnya mengamalkan agama secara aman dan damai semenjak dahulu. Oleh itu apakah maksud sebenar “tetapi agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai”?

Maksud sebenar ialah Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama utama, dan Islam bersetuju membenarkan agama lain diamalkan secara aman dan damai. Maksud mengamalkan secara aman dan damai di sini ialah mereka boleh mengamalkan agama mereka tanpa mendatangkan kemudaratan kepada kebebasan Persekutuan untuk membenarkan kesemua ibadah di dalam Islam boleh diamalkan. Ini beerti mereka mengharmonikan agama mereka agar tidak memecah keamanan dan kedamaian dengan mana-mana ibadah di dalam agama Islam. Segala amalan agama mereka yang tidak memecah keamanan dan kedamaian dengan amalan agama Islam adalah sepenuhnya dibenarkan (iaitu tidak memecah keamanan dan kedamaian mengikut tafsiran Al-Quran dan Hadis).

Persoalan ketiga: Apakah maksud “Islam ialah agama bagi Persekutuan”?

Perkara 3 (1) menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Apakah maksud sebenar peruntukan ini? Adakah ianya sekadar bermaksud “Islam menjadi agama rasmi Persekutuan“?

Maka mari teliti maksud sebenar perkara perkara 3 (1) (1) Perlembagaan Malaysia. Bagi memahami maksud perkara 3 (1), kita perlu memahami:

(a) Apakah maksud beragama?

(b) Apakah maksud Islam?

(c) Apakah maksud Islam agama bagi Persekutuan

Apakah maksud beragama?

Definisi agama ialah sistem kepercayaan dan penyembahan berdasarkan agama kepercayaan itu. Oleh itu beragama adalah seseorang yang mengamalkan sistem kepercayaan dan penyembahan berdasarkan agama kepercayaan itu. Beragama tidak bermaksud rasmi (official).

Rujukan tambahan: 1 / 2 / 3

Apakah maksud Islam?

Berbeza amalan agama lain, Islam adalah agama pengabdian seorang hamba kepada TuhanNya dan adalah perlaksanaan ibadah meliputi seluruh kehidupannya.

Maksudnya: “..Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada Aku…”; Al-Quran: adz-Dzariat:56

Maksudnya: “…Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata untuk Allah, Tuhan semesta alam…”; Al-Quran: al-An’am:162

Maksudnya: “…Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya…”; Al-Quran: al-Baqarah:208

Maksudnya: “…aku diperintahkan supaya tunduk bulat-bulat kepada Tuhan sekalian alam…”; Al-Quran: al-Mu’min:66

Maksudnya: “…Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat…”; Al-Quran: al-Baqarah:170

Islam sangat berbeza dengan agama lain dan tidak beribadah dengan sekadar mengamalkan syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Ini pemahaman terpesong dan salah di sisi Islam. Islam merangkumi perlaksanaan ibadah merangkumi keseluruhan perkara di bawah:

Ibadah

Oleh itu, kesimpulan bagi maksud “beragama Islam” ialah perlaksanaan sistem kepercayaan dan penyembahan berdasarkan agama Islam, iaitu perlaksanaan sistem kepercayaan dan penyembahan di dalam perkara Tauhid, Syari’ah dan Akhlak.

Persoalan kedua samada amalan beragama Islam boleh diharmonikan dengan agama lain? Tidak, amalan di dalam agama Islam tidak boleh diharmonikan dengan agama lain. Ini kerana Islam adalah agama yang sama sekali berbeza dengan agama-agama lain.

Maksudnya: “…Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku…”; Al-Quran: al-Kaafiruun

Perbuatan mengharmonikan atau meninggalkan mana-mana amalan mengakibatkan seseorang terkeluar daripada Islam. Ini adalah penyekutuan dan mereka akan kekal di neraka selamanya. Di bawah ini adalah di antara beberapa keterangan yang menjelaskan dakwaan:—

Maksudnya: “…dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir…”; Al-Quran: al-Maa’idah:44

Maksudnya: “….Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir jadi pemimpin, bukan orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, bukanlah dia dari (agama) Allah sedikitpun…; Al-Quran: ali-Imran:28

Maksudnya: “…Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai awliya, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain. dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka awliya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka…”; Al-Quran: al-Maa’idah:51

Maksudnya: “…Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya…”; Al-Quran: al-Kahfi:26

Maksudnya: “…Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!”…”; Al-Quran: al-Israa:111

Apakah maksud agama bagi Persekutuan?

Kini kita memahami maksud beragama Islam ialah perlaksanaan sistem kepercayaan dan penyembahan atau pengabdian ke atas perkara Tauhid, Syari’ah dan Akhlak. Kita juga mengetahui Islam bukan agama harmoni dan ibadah di dalam Islam adalah berbeza dengan ibadah-ibadah di dalam agama lain.

Oleh itu persoalan selanjutnya ialah apakah maksud “Islam ialah agama bagi Persekutuan”?

Maksudnya ialah Persekutuan mesti membenarkan kesemua ibadah terkandung di dalam Al-Quran & Hadis. Memandangkan Islam adalah termasuk dengan perkara undang-undang dan sistem pentadbiran negara, maka Persekutuan mesti melaksanakan kesemua sistem dan undang-undang Al-Quran & Hadis. Segala sistem atau undang-undang yang bercanggah Al-Quran dan Hadis adalah terbatal.

Perlaksanaan ini mungkin menimbulkan pelbagai bantahan daripada bangsa dan agama lainnya. Namun itu, kesemua fakta dan undang-undang ini adalah dicapai tanpa paksaan, dan dicapai secara persetujuan kesemua bangsa dan agama apabila memasuki kemerdekaan. Mereka datang untuk menetap di Tanah Melayu dan bersetuju dengan undang-undang yang terkandung di dalam Perlembagaan. Mereka juga bebas memilih penempatan pada mana-mana negara lain yang melaksanakan undang-undang yang mereka suka, tiada paksaan. Tidakkah mereka terfikir bagaimana perasaan mereka jika mereka dihalang ibadah atau membina kuil atau gereja? Oleh itu perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu dan alasan untuk menghalang umat Islam daripada beribadah, dan oleh itu agar masyarakat Islam hidup mati dan menghadap Tuhannya sebagai orang Islam.

Segala bantahan atau undang-undang menghalang ibadah Islam bercanggah perkara 3 (1), 4 (1) dan 11 (1) Perlembagaan Malaysia dan menjadi terbatal serta tidak sah. Oleh itu umat Islam mempunyai hak yang kukuh di bawah Perlembagaan. Ibadah Islam mesti dibenarkan sepenuhnya kerana mana-mana amalan di dalam Islam tidak dapat ditinggalkan. Meninggalkan mana-mana ibadah tidak menjadikann ianya Islam. Oleh itu maksud perkara 3 (1) Perlembagaan menjadi tidak bermakna sekiranya umat Islam dihalang beribadah.

Realiti Hari Ini

Hak orang Islam menganuti dan mengamalkan agamanya diperuntukkan dalam perkara 3 (1) dan ditegaskan lagi dengan perkara 11 Perlembagaan Malaysia, iaitu peruntukan “…tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya…”. Namun itu perkara sebaliknya yang terjadi pada hari ini. Undang-undang dan perlaksanaan sedia ada menghalang umat Islam menganuti dan mengamalkan agama Islam. Hampir keseluruhan undang-undang dan perbuatan adalah bercanggah peruntukan perkara 3 (1), 4 (1) dan perkara 11 (1) Perlembagaan Malaysia! Amalan sediada hari ini adalah bukan amalan Islam dan amalan hari ini meletakkan kekufuran di atas setiap dahi orang Islam.

Ini kerana maksud perkara 3 (1) Perlembagaan telah dipesongkan dengan menukarkan maksud “Islam adalah agama bagi Persekutuan” kepada maksud “Islam adalah agama rasmi Persekutuan”. Ini tidak benar dan kedua-dua pernyataan ini membawa maksud yang berbeza-beza.  Kedua-dua ini tidak membawa pengertian sama, dan seperti air dan minyak!

Islam agama rasmi Persekutuan bermaksud Islam “official“, “Islam sekadar namanya“, atau “Islam dikulit luaran semata-mata“. Oleh itu adakah ini Islam? Tidak! Di dalam Islam, tiada istilah Islam “official“,  secara nama atau secara kulit luaran semata-mata. Ianya satu kekufuran. Kekufuran bermaksud ibadah di dalam Islam tidak dilaksanakan, dan Rukun Iman menjadi sekadar ucapan atau “official” tanpa pembuktian perbuatan. Hanya sekadar ucapan rasmi tanpa amalan adalah bukan Islam.

Maksudnya: “…Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu?“; Al-Quran: az-Zumar:39

Maksudnya: “…Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya…”; Al-Quran: al-Kahfi:29

Maksudnya: “…Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu adan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu…”; Al-Quran: ali-Maidah:3

Maksudnya: “…Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi…”…”; Al-Quran: ali-Imran:35

Persoalan lain ialah apakah maksud “sembah“? (1 2 3) .Sembah tidak bermaksud bersembahyang semata-mata tetapi lebih dan termasuk ketaatan (kepada sistem siapa?).

Maksudnya:”…Katakanlah: “Hanya Allah sahaja Yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama (beribadah)…”; az-Zumar:14

Untuk memahami maksud sembah dan pengabdian, kita sepatutnya mendalami apakah syarat penerimaan pengabdian melalui kalimah tauhid Laa Ilaaha Illallah, iaitu mengetahui “Rukun Kalimah Tauhid” yang wajib diketahui: Ilmu, Yakin, Percaya, Ikhlas, Menerima, Berserah dan Cinta. Segala rukun ini dan perkara Rububiyah, Uluhiyah serta Asmaal-Asmaa’ Wal Shifaat mesti diletakkan kepada Allah Taala. Inilah pengertian sembahan dan pengabdian sebenar. Sebaliknya dan jika mana-mana perkara Rukun Kalimah Tauhid diletakkan ke atas selain daripada Allah, maka anda fikirkanlah sendiri apakah maksudnya:

Maksudnya:”…Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang (insan) mempunyai dua buah hati dalam rongga dadanya (tubuhnya)…”; Al-Quran: al-Ahzaab:4

Terdapat pelbagai lagi ayat keterangan dan ayat di atas adalah di antara beberapa ayat menerangkan maksud Islam di kulit. Tiada maksud “Islam di kulit” atau “Islam Rasmi” di dalam Islam. Orang sebegini ini dianggap kufur oleh Allah swt dan bukan orang Islam. Maksud ibadah sebenar ialah pengabdian di dalam seluruh kehidupan. Islam adalah bukan sekadar bersyahadah, solat, puasa, zakat, dan haji. Kesemua ini adalah ibadah asas bagi mencapai ibadah Islam, iaitu pengabdian.

Melalui ibadah melalui mekanisma solat yang sempurna, maka kita memperolehi sifat yang mencegah keji dan munkar (29:45), mekanisma zakat yang sempurna akan mensucikan hati dan membersihkan harta kita (9:103), mekanisma puasa yang sempurna sehingga akan menjadikan kita bertakwa (2:183), dan mekanisma haji yang sempurna akan memberikan kesyukuran dan sentiasa menyebut nama Allah (22:28). Kesempurnaan di dalam ibadah Rukun Islam akan membawa kita kepada ibadah di dalam Islam, iaitu pengabdian. Fikirkan dan adakah kita dihalang daripada beribadah, walaupun setelah melakukan Rukun Islam dengan sempurna? Jawapan yang anda sendiri sangat arif mengenainya.

Oleh itu maksud sebenar perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia mesti diketengahkan dan dicabar di Mahkamah. Persoalan ini perlu dibangkitkan untuk membawa kembali maksudnya yang sebenar, dan mengembalikan Al-Quran dan Hadis sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Bagi parti politik  memperjuangkan Islam seharusnya menyedari perlaksanaan undang-undang Hudud tidak pernah menjadi sesuatu masalah kerana ianya diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Mereka boleh mencabar di Mahkamah bahawa undang-undang dan sebarang tindakan menghalang perlaksanaan Hudud sebagai tidak sah dan terbatal, iaitu bertentangan Perlembagaan Malaysia. Kes sediada di Mahkamah pula mesti digunakan bagi mencabar kesahaan undang-undang dan dengan memasukkan pembelaan tidak tertakluk kepada undang-undang apabila bercanggah Al-Quran dan Hadis. Ini mengakibatkan segala undang-undang dan perbuatan bercanggah akan beransur-ansur bertukar kepada sistem ajaran Islam. Saya agak yakin Hakim beragama Islam dan yang mendengar keterangan jelas “…sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir…” (al-Maa’idah:44) berserta sokongan setiap ahli agama akan mula mempertimbangkan dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan.

Terakhir sekali ialah perubahan positif tidak akan terjadi dengan duduk berdiam diri semata-mata. Jika kita berdiam diri, maka satu persatu hak umat Islam untuk beribadah di Malaysia akan dihapuskan. Tidak mustahil juga mungkin satu hari nanti azan juga akan ditegah kerana menganggu ketenteraman orang awam. Adakah ini ramalan? Tidak! Fikir dan lihat kembali perkara-perkara yang telah menghapuskan ibadah di dalam Islam. Seperkara yang pasti dan jika anda tidak berbuat sesuatu, mungkin satu hari di dalam kehidupan anak cucu anda memahami Islam Ucapan. Oleh itu mari bersama sebarkan maklumat ini kepada orang ramai, atau paling mudah letakkan link artikel ini di halaman anda. Ini agar mereka yang berkelayakan mengubah undang-undang dan memegang jawatan atau jabatan tertentu akan terbaca dan sedar kaedahnya serta mula membuat perubahan positif mengembalikan Al-Quran dan Hadis sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

2 Comments

Filed under Undang-undang

2 responses to “Al-Quran & Hadis undang-undang tertinggi di Malaysia?

  1. Taat Pada Yang SATU

    LAKSANAKAN HUKUM HUDUDD…. ALLAHHUAKBAR..

  2. Sheikh Zack

    Hudud lbih adil dari hkum sivil…bkan main potong tangan sja…jka prnah di laksanakan seadil2 nya…Hudud lbih kpd pencegahan agar mnusia bnar2 insaf akan hukum Allah..”mncegah lbh baik dari mngubati”…wlahklambisawab…takbir Allahkbar 3x!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s