Sebuah Dokumentari Yang Harus Ditonton oleh Ahli Gerakan Islam


DEMOKRASI. Kebebasan. Hak asasi. Inilah yang dijual oleh Amerika Syarikat kepada dunia. Untuk tujuan itu, Amerika Syarikat akan turut mendanai kumpulan tertentu di negara yang disasarkan. Apabila negara tersebut jatuh ke tangan Amerika Syarikat, segala kemewahan akan disedut oleh sang kapitalis, dan yang mendapat keuntungan serta kelebihan ialah masyarakat kelas atasan, golongan kaya dan hartawan.

Untuk menjadikan kes ini jelas, John Pilger seorang jurnalis, pengarang dan pembikin flem dokumentari (55 dokumentari pelbagai tema khususnya politik ) mengarahkan sebuah filem yang dapat membuka mata kita terhadap modus operandi Amerika Syarikat, dengan menjadikan Venezuela dan Hugo Chavez sebagai kes yang dikupas. Filem tersebut berjudul The War on Democracy yang pernah menimbulkan kehebohan di Pesta Filem Cannes tahun 2007.

Sebagai sebuah dokumentari, aspek-aspek teknikal filem kurang diperhatikan oleh pengkritik filem. Persoalan yang diketengahkan yang akan menjadi perhatian dan kupasan. Untuk itu saya kira adalah lebih baik kita menyorot subjek yang diperkatakan John Pilger. Subjek yang dimaksudkan ialah bagaimana Amerika Syarikat bekerja untuk memporak perandakan sesebuah negara.

Hugo Chavez seperti yang kita maklumi adalah pemimpin Venezuela. Mengapa beliau menjadi pemimpin yang disenangi rakyat? Sebahagian besarnya ialah kerana polisinya untuk membela rakyat miskin, kelas bawahan dan rakyat di luar bandar. Dasar luar Chavez pula tidak pernah memberi muka kepada Amerika Syarikat, kuasa imperialis dunia. Kekayaan minyak Venezuela di tangan Chavez tertumpah kembali kepada masyarakat yang memerlukan. Ini tentu tidak disenangi Washington. Perlahan-lahan Chavez dibenci oleh kelas atasan Venezuela, dan pelan menjatuhkannya mula dirancang di Miami, Rumah Putih dan kelab-kelab mewah di Caracas.

Media digunakan untuk menyebar kebencian dan dakyah palsu mengenai Chavez. Perlahan-lahan slogan anti Chavez meresap di televisyen swasta, dan akhbar-akhbar pro pembangkang (yang harus disemat dalam benak anda, mereka ini terbukti didanai golongan ‘berkepentingan’). Gerakan anti Chavez menjadi besar dan mendapat pengaruh. Kod warna diperkenalkan untuk menunjukkan solidariti mereka, konon, mereka bangkit untuk memastikan demokrasi, kebebasan dan hak asasi Venezuela ditakhtakan kembali. Untuk berlaku adil, John Pilger selaku pengarah menemuramah kapitalis dan tycoon di Venezuela yang anti Chavez. Ternyata kebencian mereka terhadap Chavez ialah kerana peluang-peluang niaga mereka telah tertutup dan dasar Chavez memihak kepada kumpulan bawahan.

Pada 11 April 2002, gerakan pembangkang yang semakin kuat kerana sokongan media tertentu mengatur ‘rally’ untuk menunjukkan protes terhadap Chavez. Pada hari yang sama, kumpulan pro Chavez juga berarak. Jalan yang akan mereka lalui tidak sama. Begitulah perancangannya. Tetapi sesuatu telah berlaku. Terdapat ahli dari gerakan pembangkang yang tidak dikenali muncul, memandu ribuan manusia ke arah jalan yang sedang dilalui perarakan pro Chavez. Mereka bertembung. Dan tiba-tiba keadaan menjadi huru-hara. Penembak hendap dari atas bumbung menembak orang awam khusus dari kumpulan pembangkang. Ramai yang terbunuh, begitu juga yang cedera. Malam tersebut media swasta yang memang anti Chavez menunjukkan rakaman penyokong Chavez berdiri di atas jambatan, mengeluarkan pistol dan menembak ke arah kumpulan pembangkang yang sedang berarak di jalan bawah. Footage itu dengan jelas memaparkan kumpulan pro Chavez sedang menembak ‘sesuatu’. Ia berguna untuk membakar lagi semangat rakyat bahawa Chavez memang bertanggungjawab terhadap pembunuhan dan kemelut rusuhan berdarah.

Malah malam itu juga, pihak atasan tentera ikut muncul di kaca televisyen mengesahkan Presiden Chavez adalah ‘pembunuh’ dan diktator. Mereka menuntut Chavez meletak jawatan. Tentera malah mengepung kediaman Chavez.

Adakah ia benar? Adakah penyokong Chavez benar-benar menembak gerombolan pembangkang? Siapakah penembak hendap di atas bumbung? Adakah mereka polis? Pihak berkuasa?

John Pilger berjaya mencungkil rahsia sebenarnya. Otto Neustald, koresponden CNN di Venezuela pada tahun 2002 dalam satu temubual mengakui beliau merakam kenyataan media komandan tentera Venezuela mengutuk Chavez ‘sebelum’ perarakan bermula. Malah, dalam kenyataan media tersebut, komandan tentera menyebut angka kematian dan kecederaan. Sedangkan rusuhan tersebut belum pun berlaku! Ini bermakna, terdapat episod yang memang dirancang. Dari situ Pilger terus mendalami sebab dan akibat yang menyebabkan rusuhan berdarah itu terjadi. Beliau berazam membongkar sumber asalnya.

Dalam huru-hara di istana Moraflores, Chavez kemudian diculik. Media swasta dan CNN segera melaporkan Chavez telah meletak jawatan. Dan seorang pemimpin baharu dilantik, seorang usahawan bernama Pedro Carmona. Propaganda media segera menghebahkan ‘cahaya baharu telah tiba di Venezuela’. Harus diingatkan Chavez tidak pernah meletak jawatan. Malah beliau diculik selama 48 jam. Pemimpin baharu Venezuela menggantung parlimen serta merta, kembali meletakkan dasar yang memihak kepada kumpulan atasan.

Seperti yang dijangkakan, Bush yang memerintah Amerika Syarikat waktu itu mengalu-alukan pertukaran ‘regim Chavez’. Rakaman pembunuhan yang dikatakan dilakukan oleh Chavez terhadap kumpulan pembangkang diulang-ulang oleh media antarabangsa. CNN, FOX, CBS dan BBC semuanya memanjangkan ‘berita’ yang sama. Kuasa Tuhan, Maria, isteri Chavez menelefon sebuah radio kiri di kawasan pedalaman dan menjelaskan, ‘Chavez tidak menandatangani surat perletakan jawatan. Tandatangan palsu telah diturunkan’. Kebenaran yang mengejutkan itu mendorong rakyat miskin, rakyat luar bandar dan kelas pekerja bangkit menyelamatkan Chavez. Mereka berarak ke Caracas dan menuntut Presiden Chavez dikembalikan. Tentera berpangkat rendah yang tidak sanggup lagi menipu, menyerbu istana Presiden, dan mengembalikan Chavez yang ditahan di sebuah tempat. Perancang yang merampas kuasa sebelumnya melarikan diri ke Miami.

Selapis demi selapis John Pilger membongkar kudeta yang sebenarnya dirancang oleh CIA. Bertahun-tahun Amerika Syarikat mengerahkan seluruh jentera yang ada khususnya media untuk menyediakan basis konspirasi dahsyat ini. Salah satu jentera di bawah CIA tersebut ialah NED. Apakah NED? NED ialah National Endowment for Democracy. NED berfungsi untuk menyalurkan dana bagi menjatuhkan kerajaan di negara yang tidak memihak kepada Amerika Syarikat. Atau di negara yang Amerika Syarikat percaya tokoh buah hatinya akan lebih ‘berfungsi’. Di Venezuela, lebih dua juta dolar disalurkan kepada pembangkang untuk menjatuhkan Chavez.

Dokumentari ini sangat penting untuk ditonton. Kita akan memahami anatomi penipuan, helah, cara kerja Rumah Putih dalam menyediakan boneka Amerika di negara yang mereka sasarkan. Sejak 1945, menurut kajian Pilger, Amerika Syarikat telah berusaha menjatuhkan lebih 50 buah kerajaan yang demokratik supaya ia pro Washington.

Inilah yang sedang dilakukan oleh NED di Malaysia dan Republik Islam Iran. Adalah tidak mengejutkan Kenneth Timmerman, salah seorang pemikir NED terlanjur mengatakan dalam ucapannya di sebuah majlis di Washington beberapa hari sebelum pengundian di Iran, berbunyi begini: “There’s the talk of a ‘green revolution’ in Tehran.” Gerakan hijau yang beliau maksudkan tidak lain tidak bukan ialah gerakan pembangkang atau reformis yang diketuai Mir Houssein Mousavi. Kempen Mousavi menggunakan warna hijau. Dan kita semua tahu betapa media selama bertahun-tahun menggambarkan Presiden Ahmadinejad sebagai fasis anti Zionis yang tidak cekap mengurus ekonomi.

Tidakkah ada persamaan apa yang menimpa Chavez hampir sepuluh tahun lalu dengan apa yang dilalui Ahmadinejad hari ini? Siapakah pembunuh sebenar Neda, remaja yang ditembak mati oleh penembak hendap dari atas bumbung di Tehran? CNN mendakwa Neda Agha Soltan dibunuh oleh Basiji (kumpulan para militari yang setia kepada Ayatullah Ali Khamanei). Tetapi tidak pernah ada pembuktian. Malah video pembunuhan Neda yang kini boleh dimuat turun dari you tube dan dihebahkan menerusi twitter di seluruh dunia kononnya menjadi ikon untuk menjatuhkan Imam Ali Khamenei. Apa yang tidak disedari (tetapi ditunjukkan oleh Pilger dalam dokumentari ini) ialah ketika kudeta terhadap Chavez berlaku, imej penyokong Chavez menembak anggota pembangkang sebenarnya adalah imej yang dimanipulasikan. Apa yang sebetulnya berlaku ialah penyokong Chavez di atas jambatan mengeluarkan pistol untuk mempertahankan diri mereka dari penembak hendap yang sama, yang menembak kumpulan pembangkang. Ini bermakna ada campurtangan misterius yang sengaja melaga-lagakan dua kumpulan yang bertembung tersebut.

NED, The National Endowment for Democracy adalah sebuah gerakan berbahaya yang dapat dikenalpasti menerusi promosi revolusi warna yang didanainya di Ukraine, Georgia, dan Serbia. Pekerja NED dilatih untuk menggunakan komunikasi moden (ya seperti twitter!) untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Selain menggunakan kod warna, NED menggunakan sepenuhnya media. Dan jika kita berwaspada kita akan dapat misalnya menekuni setiap kronologi rusuhan di Iran hari ini. Misalnya pada 23 Mei 2007, Brian Ross dan Richard Esposito melaporkan di saluran berita ABC: “The CIA has received secret presidential approval to mount a covert “black” operation to destabilize the Iranian government, current and former officials in the intelligence community tell ABC News.” Pada 27 Mei 2007 pula, akhbar London Telegraph melaporkan: “Mr. Bush has signed an official document endorsing CIA plans for a propaganda and disinformation campaign intended to destabilize, and eventually topple, the theocratic rule of the mullahs.” Hal ini semuanya didedahkan oleh Paul Craig Roberts, pembantu setiausaha kewangan di zaman Ronald Reagan (pengarang buku The Tyranny of Good Intentions) yang tulisannya tentang ini boleh ditemukan di banyak laman internet kiri.

Amerika Syarikat memang sering campur tangan dalam keputusan pilihanraya di bermacam negara. 7 Jun lalu, di Lubnan, Amerika, dengan kerjasama Arab Saudi telah mendanai parti pimpinan Saad Hariri untuk memastikan Hezbullah tidak menang di Lubnan dan berkuasa. Pun di sebalik usaha tersebut Harii hanya berupaya mendapat 68 buah kerusi parlimen, Hezbullah dan sekutunya mendapat 57 buah kerusi dengan tiga ahli parlimen bebas. Penyelewengan pilihanraya berlaku, tetapi Nasrallah tidak mengeluh. Mereka meneruskan perjuangan seperti biasa. Selepas ini langkah mereka akan lebih berhati-hati.

Di Malaysia, adakah NED beroperasi? Sudah tentu. Pendokong gerakan Islam mestilah berhati-hati dengan laporan media dan khabar angin menerusi internet misalnya, selain menjauhi sebarang gerakan yang obses dengan kod warna seperti kuning atau hitam. Pendokong gerakan Islam juga boleh menghindari dari terjebak dengan kejahatan Amerika Syarikat ini dengan mengenalpasti siapakah tokoh politik yang sentiasa lunak dan menjadi jurucakap untuk Amerika Syarikat. Cepat, dapatkan filem The War On Democracy dan tonton sendiri!

1 Comment

Filed under Politik

One response to “Sebuah Dokumentari Yang Harus Ditonton oleh Ahli Gerakan Islam

  1. Dahlea Al-saadi

    propanganda mereka untuk mjatuh musuh ..tradisi,. politk , agama etc dgn tektik 2 kotor

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s