EKONOMI LAH… BUKAN RAJA ATAU SULTAN

Pada satu ketika dahulu hampir kesemua manusia Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu ini telah meletakkan taat setia mereka kepada Raja dan Sultan. Ini pada satu ketika dimana manusia Melayu bergantung hidup dengan bercucuk tanam. Sistem feudal – yang bertaat setia kepada raja dan sultan – hanya berakar umbi dengar subur dalam dunia pertanian.

Hari ini Malaysia kita telah berubah menuju ke arah negara perindustrian. Mata pencarian warga tidak lagi hanya bergantung dengan bercucuk tanam. Dari angka bancian, ekonomi negara kita kini terbahagi dua – 50/50 – untuk peratus pertanian dan industri. Kebergantugan kepada sawah dan ladang makin berkurangan.

Justeru semakin kukuh dan meluas ekonomi perindustrian maka semakin longgar dan kurang taat setia warga kepada Sultan dan Raja. Ini hukum alam yang tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya.

Manusia Melayu tradisional sama seperti bangsa-bangsa pertanian yang lain dalam dunia ini akan menunjukkan taat setia kepada sesiapa sahaja yang dinobat dan dirajakan. Kesetiaan kaum tani Melayu tradisonal terhadap Raja dan Sultan bukan tidak bersebab – ada sebab musababnya. Taat dan setia ini muncul kerana punca ekonomi. Keperluan ekonomilah yang menjadikan manusia Melayu setia kepada Raja dan Sultan.

Manusia Melayu setia kepada Undang, Raja atau Sultan kerana susuk-susuk yang telah dinobatkan ini dapat menjamin keselamatan mereka untuk bercucuk tanam. Susuk-susuk ini memiliki juak, pendekar, balaci dan ghurkha yang mengikut arahan. Balaci-balaci ini juga setia kepada Raja atau Sultan kerana kepentingan ekonomi. Taat setia timbul kerana mereka mendapat habuan dan diberi makan oleh Undang, Raja atau Sultan.

Dalam masyarakat Melayu tradisional ekonomi mereka hanya berhuma dan bercucuk tanam secukup hidup. Tidak wujud nilai ringgit, dinar dan dolar. Ekonomi yang bersandar dengan duit dan dinar hanya muncul kemudian apabila datangnya kapal dan jong peniaga-peniaga dari negari Atas Angin.

Apabila kuasa kolonial British sampai maka muncul satu lagi kuasa yang memiliki kudrat yang lebih besar dari kuasa Raja-Raja Melayu. Dalam sekelip mata struktur feudal Melayu berubah. Kuasa kolonial British memperkenalkan sistem ekonomi yang menggunakan nilai ringgit dengan lebih meluas. Ini terus membunuh dan mengalih asas ekonomi sistem pertanian feudal kepada sistem ekonomi kapitalis.

Hukum dan syarat ekonomi kapitalis menjadikan Raja atau Sultan Melayu berrela hati untuk bertaat setia kepada Baginda Queen. Taat setia ini samalah seperti manusia Melayu bertaat setia kepada Raja Melayu – kerana ekonomi. British memberi duit makan kepada Raja-Raja Melayu. Keselamatan Raja dan Sultan dijaga oleh senapang dan meriam British yang kuasa ledaknya beribu kali lebih hebat dari lembing dan keris juak-juak istana.

Apabila British berundur struktur ekonomi kapitalis telah berkembang luas. Buruh dari Cina dan India telah menetap di Tanah Melayu. Mereka datang untuk memburuh. Kaum imigran ini telah terputus dari sistem feudal tanah tumpah darah mereka. Kesetiaan mereka pastilah kepada tuan empunya ladang getah atau towkay lombong. Jika tuan empunya ladang atau lombong gagal menjaga ekonomi mereka maka taat setia mereka akan beralih kepada kesatuan buruh yang akan mempertahankan hak-hak mereka. Kepimpinan kesatuan buruh ini dipilih oleh mereka mereka sendiri. Sultan atau Raja tidak wujud malah bagitu asing dalam budaya kaum buruh imigran.

Perkembangan sistem ekonomi kapitalis di Tanah Melayu telah juga memaksa manusia Melayu menjual tenaga mereka untuk mencari makan. Mereka berbondong-bondong meninggalkan kampong kerana tarikan peluang untuk bekerja yang wujud di bandar. Budaya bandar bukan lagi bersetia kepada Undang, Raja atau Sultan. Di bandar sesiapa membayar upah maka dialah yang akan mendapat kesetiaan itu.

Perubahan budaya Melayu ini berlaku juga di semua rancangan Felda. Mungkin ada yang silap faham kerana di Felda kelihatan ekonominya masih menggarap bumi dengan bercucuk tanam. Betul, memang peneroka Felda menggarap bercucuk tanam tetapi bercucuk tanam untuk barangan expot bukan untuk ditanam dan makan sendiri. Justeru manusia Melayu di Felda kini telah menjadi buruh petanian – sama seperti buruh India di estate pada satu ketika dahulu. Peneroka Felda kini telah terikat dalam sistem ekonomi kapitalis global.

Dalam masa yang sama manusia-manusia Melayu di Felda telah tercabut dari akar umbi budaya kampongnya. Peneroka didatangkan dari pelbagai wilayah dan negeri ertinya mereka terputus kesetiaan kepada struktur kepimpinan kampong tradisional. Akhirnya di kawasan Felda muncul struktur kepimpinan baru – kepimpinan yang akan muncul bukan kerana derajat atau keturunan tetapi dipilih dan diundi.

Datuk Undang, Raja atau Sultan semakin tidak memainkan peranan ekonomi untuk manusia Melayu. Malah kaum feudal sendiri mula bergantung dengan kaum pemodal kapitalis. Kerana ini kita selalu mendengar cerita-cerita lawak bagaimana Raja atau Sultan Melayu untuk mencari makan terpaksa menjual gelaran Datuk kepada towkay-towkay. Lihatlah betapa merosotnya nilai kaum feudal Melayu.

Harus di sedari bahawa peranan Raja-Raja Melayu menjaga agama dan adat istiadat Melayu ini hanya di wujud dan di lembagakan oleh British. Peranan ini dilembagakan untuk memastikan kepentingan ekonomi kolonial tidak diganggu gugat.

Jika kita membaca kitab dan menyelidiki sejarah Melayu lama, kita akan dapat melihat bahawa peranan Sultan atau Raja ini amat minimal dalam budaya Melayu. Peranan sebagai ‘pelindung agama’ tidak wujud langsung. Dalam Islam pemimpin agama dipilih bukan melalui darah keturunan tetapi dari mereka yang bertakwa. Malah manusia Melayu telah melihat gaya hidup Raja atau Sultan Melayu ini amat bertentangan dengan falsafah agama Islam itu sendiri.

Semenjak tahun 1957 manusia Melayu telah mula berkumpul dalam badan politik moden. Organisasi politik ini telah berjaya dan di yakini untuk menjadi punca ekonomi manusia Melayu. Justeru manusia Melayu telah berkampong di bawah United Malays National Organisation. Ini kerana mereka dapat mencari makan. Sekali lagi terbukti kesetiaan muncul kerana keperluan ekonomi.

Justeru apabila United Malays National Organisation melupuskan kekebalan Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 tidak banyak tentangan dan rintangan datang dari manusia Melayu. Kekebalan Raja ini dilupuskan kerana kuam feudal ini dilihat sedang menjadi penghalang untuk perkembangan kepentingan ekonomi kapitalis.

Manusia Melayu melihat punca ekonomi mereka akan lebih terjaga di bawah payung United Malays National Organisation dan bukan dari kaum feudal Melayu. Ini membuktikan bahawa kepentingan ekonomi manusia Melayu telah melintasi mitos cinta setia tidak derhaka kepada Raja atau Sultan.

Kebelakangan ini `tiba tiba kita mendengar kembali suara-suara untuk mengembalikan kekebalan Raja-Raja Melayu. Ini tidak menghairankan – pada satu ketika dahulu orang yang sama juga telah berkempen untuk melupuskan kekebalan ini. Hari ini mereka ini mengembalikan kekebalan Raja Melayu. Kenapa?

Jawabnya bukan kerana mereka cinta buta kepada Raja dan Sultan tetapi kerana punca ekonomi mereka semakin mengecil dan ada yang telah hilang dapor mencari makan. Mereka berharap Sultan dan Raja ( yang mereka tongengkan dahulu ) akan menjadi benteng untuk mempertahankan kepentingan ekonomi mereka.

Ekonomilah yang melahirkan budaya bangsa. Punca ekonomi orang Melayu telah berubah justeru kesetiaan mereka juga akan berubah sama. Manusia Melayu tidak mungkin lagi akan menyembah buta Raja atau Sultan. Zaman itu telah berakhir. Mengundurkan manusia Melayu kembali ke zaman feudal adalah mustahil.

Mewarta dan mengAktakan pelbagai bentuk undang-undang agar manusia Melayu kembali setia kepada Raja dan Sultan juga amat mustahil. Tetapi perangai dan tingkah laku Raja dan Sultan boleh berubah jika mereka memiliki kesediaan untuk mempertahan dan menyebelahi kepentingan orang ramai. (TT)

Leave a comment

Filed under Politik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s