MAT REMPIT DAN BAHAN BAKAR MINYAK PETROL

Saya merayakan Mat Rempit. Ini sebagai tanda saya merayakan anak-anak muda. Mat Rempit adalah anak muda negara kita. Mat Rempit adalah warga negara bangsa.

Mat Rempit ini lahir dari pembudayaan yang kita bentuk sendiri. Pembudayaan ini lahir dari sistem ekonomi kapitalis. Dalam rangkaian ekonomi kapitalis Mat Rempit adalah tangga terakhir. Mat Rempit adalah pembeli, pengguna dan pemakai motosikal yang diwujudkan dalam sistem kapitalis.

Mengutuk dan memperlekeh mereka – sekali pandang kelihatan cukup senang – tetapi dalam sistem ekonomi kapitalis Mat Rempit ini penting. Tanpa Mat Rempit motosikal akan bertimbun-timbun di gudang. Syarikat pemasang motorsikal, syarikat mengimpot motosikal dan penjual motosikal akan muflis. Ini hakikat ekonomi kapitalis.

Mereka yang mengutuk Mat Rempit tidak memahami jaringan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisma memerlukan pengeluar dan pengguna. Mat Rempit ialah pengguna. Tanpa pengguna sistem kapitalis tidak dapat bergerak.

Penggunaan motosikal ini wujud kerana adanya keperluan. Keperluan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat memerlukan sistem pengkutan. Dalam sistem pengangkutan ada dua bentuk sistem. Satu sistem pengangkutan awam dan sistem pengangkutan milik pribadi.

Dalam negara kita ini sistem pengangkutan awam tidak wujud. Apa yang wujud ialah sistem pengangkutan peribadi. Sistem pengangkutan milik pribadi ini adalah manifestasi budaya kapitalisma. Kapitalisma mahukan kita semua memiliki benda. Memiliki dan mencintai benda-benda adalah sebahagian dari budaya kapitalisma.

Dalam budaya kapitalisma – jika individu memiliki banyak benda – maka individu ini akan dihormati. Jika tidak memiliki benda maka individu ini tidak akan dinilai. Ini budaya kapitalisma. Kita tidak dapat lari dari budaya ini kerana negara kita mengamalkan sistem kapitalisma.

Sistem pengangkutan awam diajukan oleh sistem yang mengamalkan ekonomi sosialis. Dalam ekonomi sosialis apa yang didukung dan di kembangkan ialah pengangkutan awam. Ini selari dengan falsafah sosialisma dimana kebaikan ramai lebih dipentingkan dari keuntungan individu.

Kapitalisma menyembah dan mengagungkan keuntungan individu. Sosialisma mengagungkan keuntungan ramai. Inilah bezanya dua sistem ekonomi yang wujud dalam dunia ini.

Budaya merempit ini datang dari kotak kapitalisma. Merempit lahir dari budaya pemilikan sistem pengangkutan individu. Yang dirayakan oleh Mat Rempit itu ialah manifestasi kebebasan individu yang selari dengan budaya yang di sebarkan oleh kapitalisma.

Justeru jika ingin menghapuskan budaya merempit – apa yang perlu dilakukan ialah menghapuskan sistem kapitalisma itu sendiri. Mat Rempit adalah manifestasi dari budaya kapitalisma.

Satu cara awal ialah mewujudkan sistem pengakutan awam yang cekap. Ertinya semua kampong dan bandar akan di jaring dengan sistem pengakutan awam. Tidak ada pekan, tidak ada kawasan Felda atau kampong yang tidak di jaringi dengan sistem pengangkutan awam.

Sudah tentu ada kawasan yang tidak ramai penduduk akan mengalami kerugian. Pasti juga akan ada kawasan yang padat dengan penduduk akan membawa keuntungan lumayan. Ini samalah dengan sistem francise MacDogal – kawasan yang tidak untung akan di sokong oleh dana dari kawasan yang untung lumayan. Apa yang penting disini bukan keuntungan individu tetapi keupayaan warga untuk bergerak dengan menggunakan sistem pengangkutan awam.

Sistem pengangkutan awam ini hanyalah satu usaha awal sahaja. Apa yang wajib difahami ialah dalam jangka panjang budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi kapitalis ini tidak dapat bertahan. Ekonomi kapitalis ialah ekonomi beli, pakai dan buang untuk beli lagi. Sistem ini menggalakan pembaziran bahan mentah.

Dunia kita ini – bahan mentahnya – tidak dapat menampong budaya dan gaya hidup yang dianjurkan oleh ekonomi kapitalis. Jika semua warga dalam dunia ini mahu hidup dengan budaya kapitalis maka kita memerlukan 4 buah lagi dunia. Ini mustahil. Bayangkan jika hanya setengah warga Malaysia memiliki kereta dan motosikal maka dengan sendirinya semua jalan raya dalam negara ini akan jam. Ini hakikat.

Apa yang wajib makhluk dalam dunia ini disedarkan iakah ekonomi kapitalisma asasnya ialah minyak petrol. Dalam masa yang tidak lama lagi – dalam usia hidup ini – kita akan menyaksikan kekeringan bahan bakar ini.

Apabila bahan minyak petrol ini semakin kurang maka dengan sendirinya sistem kapitalis ini akan mengecut. Justeru sebelum masa itu sampai kita wajib memikirkan untuk menyususn dan mencipta kembali tamadun manusia moden. Tamadun yang akan wujud ini tidak mungkin lagi berasaskan bahan bakar petrol.

Kita perlu mengubah seluruh hidup kita. Cara kita befikir. Cara kita berhubung. Cara kita mencari makan. Cara kita bercucuk tanam. Dimana kita tinggal. Bentuk kota kita. Semua ini perlu berubah. Satu pekara yang pasti berlaku kita akan dipaksa mengurangkan pergerakan kita juga. Kita terpaksa kembali berbasikal, bersampan, berkapal layar dan berjalan kaki. Sungai Klang, Sungai Pahang, Sungai Perak akan menjadi penting kembali.

Saya yakin ramai pembaca akan menganggap apa yang saya tulis ini sebagai tidak masuk akal. Tapi yakinlah masanya akan sampai apabila bahan bakar minyak petrol akan menjadi bagitu mahal sekali. Dan akan sampai ke satu masa dimana memiliki sistem pengangkutan pribadi akan dilihat tidak berbaloi lagi.

Bila masa ini sampai maka seperti lagu arwah Along Spoon kita akan ‘ rindu serindu-rindunya’ terhadap Mat Rempit. Cilok mereka akan hanya tinggal dalam ingatan.Merempit akan menjadi mahal. Justeru tidak lama lagi anak-anak muda ini juga wajib melahirkan stau budaya baru untuk merayakan kemudaan mereka.(TT)

Leave a comment

Filed under Ekonomi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s