BUDAYA DAN NILAI KONSUMER

Hari ini dasar globalisasi yang di ajukan oleh International Monetary Fund dan Bank Dunia telah berjaya menjadikan kapitalisma satu sistem ekonomi yang mencakupi seluruh dunia. Dari Chile ke China, dari Bhutan ke Batang Berjuntai, dari Tokyo ke Taiping dari Normandy ke Nepal – semua negara sedang menggunakan sistem kapitalisma sebagai satu cara hidup.

Cara hidup disini ialah budaya harian yang digunakan oleh warga untuk menjalankan kehidupan. Budaya dan cara hidup ini diikat dengan nilai. Kapitalisma telah melahirkan nilai untuk dijadikan rujukan oleh warga dunia. Sistem kapitalisma telah berjaya menyebarkan nilai-nilai baru untuk umat manusia. Nilai ini berpenanan besar untuk memperkokoh dan mengembangkan kapitalisma.

Nilai-nilai ini dirancang dan disusun. Kajian dibuat secara ilmiah tentang apakah nilai yang wajib dibentuk. Pakar-pakar akan memastian nilai-nilai yang dimunculkan ini ianya akan selari dengan nilai dan hukum perjalanan sistem kapitalisma.

Daulah memerlukan nilai-nilai ini untuk memastikan yang kuasa ditangan tidak akan tergelincir lepas. Melalui nilai dan pandangan dunia daulah dapat memastikan hegemoni daulah dapat diteruskan.

Penyebar nilai yang numbor wahid ialah media – akhbar, majalah dan tv. Pada awalnya akhbar telah menjalankan peranan yang amat positif. Jika kita melihat kembali peranan akhbar di negara kita ini maka kita akan melihat bagaimana akhbar harian telah menjana pemikiran orang ramai. Gerakan nasionalisma di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan tidak akan ampuh tanpa peranan akhbar.

Globalisasi , penswastaan dan pasaran terbuka telah mengalih semua ini. Dasar pasaran terbuka yang dipaksakan ke atas negara-negara dunia ketiga telah membuka jalan untuk taikun media antarabangsa melabor dan membeli akhbar dan media-media tempatan.

Hari ini media di dunia ini sedang dimonopoli tidak lebih dari 10 buah syarikat – antaranya Time Warner Inc, The Walt Disney Corporation, The News Corporation Ltd., Sony Corporation, General Electric Co., Viacom, Inc. dan Bertelsmann AG. Dari sini muncul satu susuk yang menjadi raja segala raja-raja – Rupert Murdoch.

Syarikat-syarikat media ini berligar macam helang lapar untuk mencari mangsa baru. Dimana sahaja ada pasaran dibuka maka mereka akan datang melabor untuk mempengaruhi bentuk berita yang akan disebarkan kepada umum.

Justeru – kita tidak perlu hairan kenapa Israel yang memiliki lebih dari 200 biji bom nuklear tidak pernah dipersoalkan oleh saloran media media ini. Kita juga tidak perlu hairan kenapa Iran yang hanya membuat loji nuklear untuk menjana leterik saban hari digodam oleh media-media ini seolah-olah minggu depan Iran akan meledakan bom nuklear.

Memiliki dan mengawal media bertujuan untuk menenggelamkan isu yang fundamental. Mengenepikan isu dan agenda yang rapat dihati warga. Melalui kawalan dan saringan – media bergelumang dan bertungkus lumus menimbulkan isu sampingan yang remeh lagi temeh. Justeru dari hari ke hari pengisian media diseluruh dunia semakin cetek. Umat manusia hari ini ditaburkan dengan cerita-cerita remeh, gosip-gosip tentang artis, aktor, pemain bola, kaki kaki glamour, ratu cantik atau para model.

Telah wujud kesepaduan diantara media cetak dengan media leteronik. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami semua ini. Lihat sahaja apa bentuk nilai yang sedang disebarkan oleh media kita sendiri.

Contohnya : Dari kaca tv kita melihat seorang aktor ciput yang tergedik-gedik – esoknya kita akan diberitahu siapa kekasih baru aktor ini. Dan lusa kita akan membaca bahawa aktor ciput telah berkahwin dengan seorang Datuk Tua. Kemudian kita terbaca aktor ciput ini minta cerai. Kesah ‘minta cerai’ ini akan menjadi sensasi sehingga berita 5000 warga yang di buang kerja dilihat sebagai berita sampingan.

Berita remeh cerai berai artis ciput ini dijual untuk ditakrif lebih penting dari apa yang terjadi dan kemana perginya P Subramaniam atau apa yang akan dihadapi oleh warga yang akan hilang pekerjaan? Berita-berita remeh seperti ini memang dirancang untuk mengkambuskan isu nasional yang lebih bermakna. Pemikiran warga sengaja dibantut dan dibonsaikan dengan berita remeh, cetek dan lagi superfisial.

Media inilah yang hari ini sedang melahirkan nilai untuk menjadi rujukan kita bersama. Taktik yang dijalankan – sebelum kita sanggup menerima nilai ini otak dan fikrah kita perlu dicetekan dengan berita-berita remeh. Apabila warga menjadi lali, suka melopong depan tv, malas membaca dan kurang cerdik maka dengan senang warga akan disuapkan dengan nilai konsumer.

Nilai konsumer adalah segala nilai dalam budaya kapitalis. Budaya konsumer inilah yang dirancang secara rapi oleh kaum pemodal. Kaum pemodal antarabangsa ingin warga dunia terus membeli barangan dan produk-produk baru yang mereka buat. Inilah tugas penyebaran nilai konsumer.

Beli, beli dan terus membeli adalah rukun iman dan syarat utama untuk memastikan sistem kapitalis ini terus bergerak. Jika para konsumer berhenti membeli maka dengan sendirinya kilang akan terhenti. Untuk memastikan komplot ini terus berjaya maka warga perlu tunduk, menyembah dan menghayati nilai konsumer.

Produk poduk baru akan memasuki pasaran. Lepas satu , satu satu lagi objek baru akan muncul. Semua produk ini perlu dibeli untuk memastikan injin kapitalisma terus bergerak. Lihatlah, saban tahun kilang kereta akan mengeluarkan model dan bentuk baru. Komputer akan diisikan dengan software yang baru. Pakaian akan diperagakan dengan model yang baru. Semua ini dirancang secara bersepadu diantara media letronik, media cetak dan iklan – untuk melahirkan nilai konsumer.

Kita sebagai warga akan ditembak dari kiri dan kanan. Di rumah mata kita ditembak oleh kaca tv. Dalam kereta telinga kita ditembak oleh radio. Di jalan raya mata kita dibom oleh papan iklan. Semuanya untuk melemahkan diri kita agar kita sama sama menyembah produk-produk dan membelinya.

Hari ini kapitalisma telah berjaya menanamkan nilai aku-mesti-beli dan aku-mesti- memiliki. Jika kita memiliki produk yang dijajakan maka kita termasuk dalam gulungan umat yang berjaya. Sesiapa yang tidak memiliki produk ertinya susuk ini adalah gulungan yang gagal. Dalam budaya kapitalisma nilai kejayaan diukur dengan pemilikan. Lebih banyak produk yang kita miliki maka lebih tinggi taraf kita untuk dilihat.

Budaya konsumer seolah-olah berjanji memberi warga kebebasan memilih. Kalau kita ke gedung membeli belah – kita ada kebebasan untuk memilih berpuluh jenis kopi. Apakah benar kita sebagai warga memiliki kebebasan untuk memilih?

Tidak. Dalam budaya konsumer kapitalis pilihan itu hanya satu ilusi. Yang kita pilih hanya logo luaran. Dalam kapitalisma warga tidak banyak pilihan – semua pilihan akan menjurus kepada orang yang sama dan tuan pemodal yang sama.

Tidak percaya? Cuba fikirkan apakah kita ada pilihan apabila berhadapan dengan Star, Sin Chew, Utusan, NST , RTM, Tv 3, Tv 9, atau Astro. Kita hanya berilusi yang kita ada kebebasan memilih tetapi sebenarnya semua pemiliknya adalah orang dari kumpulan yang sama.

Hegemoni budaya kapitalisma ini sedang memerangkap kita semua. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika termasuk Eropah dan Amerika semua sedang terjerat oleh budaya ini. Budaya ini sedang membantut dan membonsaikan fikrah kita. Justeru kita wajib mencari jalan keluar.(TT)

Leave a comment

Filed under Ekonomi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s