Siapa Dapat Jadi Evo Morales?

Evo Morales, Presiden Bolivia sekarang mempunyai satu persamaan dengan Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat: kedua-duanya muncul sebagai pemimpin meski mereka dari kelompok minoriti di negara masing-masing.

Ramai pemimpin di dunia ini tergila-gila ingin menjadi seperti Obama kerana popularitinya yang mengalahkan bintang rock. Ada politihong (politikus bohong) yang menggunakan slogan ‘Harapan Baharu’ yang mempunyai persamaan jelas dengan slogan ‘Change’ Encik Obama.

Tetapi dalam dunia yang penuh kepalsuan, janganlah kita ikut menjadi seperti penghuni Eropah yang sebahagian besarnya menganga terpesona dengan Obama. Saya kira Morales adalah contoh yang lebih baik (tentu Rasulullah saw adalah yang paling baik) untuk dihayati.

10 April lalu di La Paz, Morales melancarkan mogok lapar untuk menuntut supaya kongres Bolivia meluluskan undang-undang pengundian yang akan membolehkan beliau mengawal kuasa legislatur dalam pilihan raya akan datang. Memang sekali imbas, untuk kita yang kurang biasa dengan sains politik antarabangsa, tindakan Morales itu adalah untuk membolehkannya terus berkuasa. Dan bukan, kita bukan minta pemimpin kita mencontohi tindakan melakukan mogok lapar tersebut; tetapi adalah elok dikaji apakah yang membuatkan Morales nekad menuntut undang-undang pengundian demi mengawal kongres Bolivia.

Morales adalah pemimpin Movement Toward Socialism, atau MAS, yang dianggotai oleh masyarakat kelas bawahan, orang miskin melarat dan penduduk pedalaman. Bayangkan orang asal kita bersatu menuntut keadilan dalam mempertahankan tanah adat. Mereka bersatu dengan kelompok miskin tegar, dan masyarakat pedalaman (yang terabai pembangunannya dari aspek apa pun), lalu mereka melantik seorang pemimpin. Katakan berbangsa Penan di peringkat nasional.

Basis kekuatan Morales mengawal ‘lower house’ di kawasan Andean, tetapi pembangkang menguasai majoriti di Senat, yang membolehkan pasukan pembangkang menghalang sebarang ‘reformasi’ dalam undang-undang pilihan raya dan sistem pengundian. Jika Morales adalah dari kelompok sosialis, penentangnya iaitu pembangkang di Bolivia adalah dari kelompok liberalis-kapitalis yang menguasai banyak kerusi dari kawasan urban.

Morales menegaskan, “Berdepan dengan kecuaian segelintir pemimpin neoliberal dalam kongres, saya tidak ada cara lain, melainkan memilih cara ini. Mereka tidak mahu mengimplemantasikan undang-undang yang dapat menjamin keluhuran perlembagaan.”

Seperti biasa, pembangkang liberalis menuduh kerajaan Morales sebagai kerajaan “totalitarian”. Ini mudah difahami, kerana ruang mereka untuk mengincah harta kekayaan rakyat dan menyampaikan agenda tersembunyi Amerika Syarikat menerusi topeng liberalisme tertahan oleh kebangkitan kaum tani yang menunjukkan Morales sebagai Presiden.

Salah satu janji atau manifesto kempen pilihan raya Morales kepada kaum asal di Bolivia ialah untuk memberi lebih kuasa kepada masyarakat ‘indigenous’ di Bolivia. Di mana lebih 60 peratus rakyat Bolivia telah mengundi Morales sebagai Presiden dalam kalangan ‘indigenous’ yang pertama.

Salah satu reformasi undang-undang pilihan raya yang ingin dilakukan oleh Morales ialah menetapkan satu tarikh pilihan raya yang tidak berubah-ubah (macam Malaysia di mana tarikh pilihan raya ialah milik mutlak Perdana Menteri kerajaan memerintah) dengan menjadikan tarikh 6 Disember sebagai hari pengundian. Hal di atas penting kerana Bolivia adalah sebuah negara yang bergunung ganang dan mempunyai banyak kawasan luar bandar. Tarikh pilihan raya yang tidak tetap akan membolehkan kerajaan memanipulasikan faktor ini untuk memenangi pilihan raya di mana pengundi dari kawasan banjaran gunung Andes akan tidak sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Dengan memberi satu tarikh khusus, masyarakat luar bandar yang kebanyakannya buta huruf ini tidak akan ditipu lagi hidup-hidup dengan gula-gula pembangunan. Ini akan membolehkan pengundi buta huruf ini menghafal tarikh mengundi. Nah, inilah namanya harapan baharu. Inilah juga namanya aspirasi 1Bolivia atau Satu Bolivia.

Dan tentu kumpulan pemimpin dari parti pembangkang yang liberal membantah undang-undang ini. Bahkan mereka menjadi lebih marah kerana Morales ingin merubah perlembagaan dengan memberi 14 kerusi kekal buat kumpulan minoriti dan ‘indigenous’ Bolivia. Parti pembangkang liberalis yang didalangi Amerika Syarikat pun menolak saranan ini dengan menghujahkan ia akan memberi lebih kerusi buat Morales (kelompok sosialis) untuk terus berkuasa. Pembangkang malah menuntut supaya pilihan raya baharu diisytiharkan dengan menganggap Morales sebagai pemimpin yang tidak sah.

Adakah Morales keseorangan melancarkan mogok lapar?

Tidak, berita Morales melancarkan mogok lapar itu telah tiba di corong radio sepanjang banjaran gunung. Ratus, malah beribu (terus bertambah sejak 10 April lepas) kumpulan ‘indigenous’ dan persatuan pengguna ikut sama mogok lapar untuk menyokong Morales. Seingat kita, pemimpin di pentas dunia yang pernah mengadakan mogok lapar demi bangsanya ialah Mahatma Gandhi.

Bolivia, adalah negeri termiskin di Selatan Amerika. Ia menjadi bertambah teruk dengan pelbagai konflik politik.

Untuk mengalahkan Morales, Disember ini, pembangkang diketuai parti Podemos telah mengadakan satu pakatan yang dianggotai oleh beberapa parti sayap kanan (right wing) dan kiri pragmatik (centre-left). Membandingkannya di negara ini parti sayap kanan ialah parti seperti parti Islam, sementara parti kiri pragmatik ialah seperti parti DAP. Pun tentu, Barisan Nasional jauh sekali dari imej Morales dan sekutunya.

Menurut sebuah pungutan suara bebas oleh akhbar El Deber minggu lalu, 54 peratus rakyat Bolivia akan memilih semula Morales, berbanding bekas Presiden Bolivia yang sudah menyatakan hasrat untuk bertanding iaitu Carlos Mesa dengan hanya 6 persen.

Di pentas dunia Morales, adalah pengkritik Washington. Bolivia malah lebih berani dari Turki, Mesir dan Jordan (semuanya negara umat Islam) dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel ketika Gaza dilatu zionis awal tahun ini. Morales juga adalah teman baik Presiden Venezuela, Hugo Chavez, yang juga berkuasa dengan mengupayakan kelompok kiri dan polisi-polisi ‘pro-indigenous’.

Di Malaysia, saya kira tiada siapa berhak mengaku ‘harapan baharu’ atau ‘juara rakyat’ (menerusi kabinet rakyat) jika belum ada kemampuan menjadi juara masyarakat bawahan, orang melarat, dan orang asal yang tertindas. Hatta PAS, parti yang menjadikan Islam sebagai agendanya masih ketinggalan dalam polisi menjuarai orang asal atau miskin di pedalaman. Segelintir ulama yang dipilih menjadi lawmakers malah lupa daratan dengan kekayaan dunia. Bahkan PAS terus dijangkiti dan dihinggapi nyamuk liberalis-moderat yang menghisap darah.

1 Comment

Filed under Politik

One response to “Siapa Dapat Jadi Evo Morales?

  1. alu paling suka bidalan Hugo Chavez “por que no te callas”..

    memang berani!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s