PENINGGALAN SEJARAH DI SG MERBOK

Sungai Merbok adalah sebuah sungai yang terletak di utara bandar Sungai Petani dalam negeri Kedah Darulaman. Dengan kelebaran hampir kurang lebih 1 km di sesetengah tempat ia menjadi laluan mudah bagi kapal-kapal layar yang besar di zaman dahulu untuk mudik ke hulu. Sungai ini di kualanya terletak kawasan peranginan Pantai Merdeka di selatan dan Tanjung Dawai di utaranya.

Sekiranya kita memudik sungai ini dari kuala ke hulu sungai, di kanan kita adalah Kuala Muda sementara di kiri ialah Lembah Bujang. Memang ada pun nama kampung seperti Kg Pengkalan Bujang dan Kg Segantang Garam di kiri sungai ini. Di kanan pula terletak Kg Sungai Layar tempat membaiki kapal layar zaman dahulu. Nama-nama ini sudah pasti ada kaitan dengan aktiviti perniagaan masyarakat setempat ketika itu. Oleh sebab itu nama-nama lain seperti Sg. Jagong, Sg. Tukang, Sg. Layar, Sg. Pasir dll disekitar Sungai Petani, Telok Bayu, Bendang Raja, kolam Duli merupakan kawasan perdagangan di raja pada zaman dahulu. Di kawasan Sungai Merbok inilah terdapat kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan terutama sekali dikawasan yang di panggil Istana Pulau Tiga.

Peninggalan sejarah disini kami boleh bahagikan kepada tiga iaitu,

1) Peninggalan Kota Istana Pulau Tiga
2) Peninggalan ‘Gok’ pembakar kayu untuk membuat arang dan batu bata
3) Peninggalan kubu tentera British

Peninggalan Kota Istana Pulau Tiga

Terdapat 3 buah pulau kecil dalam Sungai Merbok, iaitu Pulau satu, Pulau dua dan Pulau Tiga. Pulau tiga turut juga dikenali sebagai Pulau Kunyit. Pulau-pulau ini walau pun hari ini dikelilingi oleh pokok bakau akan tetapi tanah dibahagian tengahnya kejap dan rata, sesuai untuk didirikan bangunan.


Menghampiri Pulau Tiga. Walaupun berpaya bakau disekelilingnya, dibahagian tengah nya mempunyai tanah dan batu yang kukuh.


Pak Saad menceritakan semula sejarah, setakat yang diketahuinya. Tanah yang didudukinya berhampiran Sg Merbok dikatakan milik raja, raja mana tak pasti pulak.

Menurut seorang penduduk tempatan yang tinggal berhampiran, berusia 73 tahun iaitu Pak Saad terdapat sebuah istana yang didirikan di atas air berhampiran dengan Pulau Tiga. Sewaktu air surut kesan-kesan batu-bata istana ini boleh dilihat didalam air. Istana ini telah dirobohkan sekitar tahun 1876-1881 sewaktu negeri Kedah dijajah oleh tentera Thai. Malah tanah kampung yang mana Pak Saad mendirikan tanah diklasifikasikan sebagai tanah milik raja, bermula dari jambatan Sembeling hingga ke Laguna Merbok.


Alor Sungai Tukang telah pun ditutup untuk membina kawasan perumahan Bandar Laguna Merbok. Sungai Tukang adalah tempat di mana kapal-kapal layar zaman dahulu berlabuh untuk dibaiki.

Di dalam buku sejarah Mahawangsa terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah ada menyebut bahawa Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah pernah bersemayam di Istana Pulau Tiga sewaktu melarikan diri dari tentera thai dahulu. Kalau dicari istana ini hari ini, sememangnya tidak akan dijumpai lagi. Ia telah lama dimusnahkan oleh tentera penjajah di zaman dahulu dan serpihannya dibuang  ke dalam air. Bumi bertuah ini sejak zaman dahulu tidak pernah dilanda gempa bumi, untuk merobohkan binaan ini semua. Sekiranya ada, pasti serpihannya dapat dilihat oleh kita hari ini. Begitu juga candi di Lembah Bujang yang sengaja ditimbus untuk menutup sejarah bangsa.

Di riwayatkan bahawa Istana Pulau Tiga adalah sebuah istana lama yang dibina semenjak zaman Iskandar Zulkarnain lagi. Malah dikatakan juga pembinaan istana di Mandalay oleh Raja Mandalika Sultan Madzafar Syah III bergelar Rama Tibodi I adalah mengambil kira saiz dan rekabentuk bangunan tersebut. Hari ini, kesahihannya sudah pasti tidak dapat dipastikan lagi. Dari segi keupayaan masyarakat setempat sememangnya ada kerana Borobodur yang jauh lebih besar pun mampu didirikan di Pulau Jawa. Yang tinggal hanyalah dinding-dinding kotanya sebagai bukti untuk generasi kita hari ini.


Ini adalah gambar Istana Ananda Paagan bermaksud ‘Anakanda bawa wang’ yang tersergam di Mandalay, Myanmar (Burma) hari ini. Di riwayatkan bahawa Raja Mandalika (Mandalay adalah sempena nama baginda) Sultan Madzafar Syah III bergelar Rama Tibodi I (di Ayuthia) melihat contoh Istana di Pulau Tiga untuk membina istana ini di sana. Raja Mandalika inilah dimana namanya terpahat pada Batu Bersurat Terengganu. Adakah Pagaan @ Bagan di Bagan (Serai), Pulau Pinang mempunyai persamaan?


Duit dinar matahari yang dikatakan pernah dijumpai di Pulau Tiga disamping serpihan pinggan mangkuk China. Duit dari ‘cowries’ iaitu sejenis siput turut pernah digunakan di Siam. Dengan itulah penduduk di Utara menyebut kupang untuk sen hinggalah ke hari ini.


Tambak Bunga seperti yang ditunjukkan oleh Saudara Yusuf merupakan tambakan pejal yang kini ditumbuhi pokok jenis Acasia. Di hadapan inilah dikatakan terletaknya Istana Pulau Tiga terapung diatas permukaan air. Pada tambakan ini perahu akan terus bertemu dengan tanah pejal bukannya paya pokok bakau. Ada kemungkinan juga istana tersebut serpihannya berada didalam air sungai (dibuang kesitu) akan tetapi lokasi sebenarnya adalah diatas darat.

Di samping itu terdapat tambak yang ditanam dengan pokok-pokok bunga sebagai backdrop kepada istana tersebut. Hingga sekarang tambak yang rapat ke gigi air ini masih lagi dikenali sebagai Tambak Bunga.

Tidak jauh di seberang Sungai Merbok terdapat kolam-kolam ikan peliharaan yang dinamakan Kolam Duli. Nama seperti Kolam Duli, Tambak Bunga telah kami perolehi melalui wasiat dan kami tidak menyebutnya kepada Saudara Yusuf Saad yang membawa kami mudik Sungai Merbok. Beliau sendiri yang menyebutnya dan menunjukkan kepada kami kawasannya.

Namun begitu kesan-kesan di atas daratan masih lagi jelas kelihatan di antaranya dinding kota istana Pulau Tiga. Batu bata yang digunakan adalah jenis lebar dan leper sepertimana bata-bata candi di Lembah Bujang dan juga binaan pintu gerbang Kota Kuala Muda (Lembah Bujang hanya 15 min sekiranya berkereta).

Walau bagaimana pun rekabentuk binaannya pula tidak pula seperti rekabentuk candi yang dijumpai dengan begitu banyak sekali di Lembah Bujang ini. Kota ini ada tanda-tanda dirobohkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti diterbalikkan dsbnya. Yang anehnya kenapa kewujudan kota ini tidak dihebahkan? Adakah kerana rekabentuknya yang lain dari rekabentuk candi lembah bujang (walaupun bahannya sama) akan menyebabkan ‘contradict’ dengan maklumat sedia ada yang mengatakan candi adalah untuk penganut agama Hindu?

Gok untuk membakar Kayu Arang dan Bata

Gok adalah merupakan tempat membuat kayu arang menggunakan kayu-kayu bakau yang banyak kedapatan di pesisiran Sungai Merbok. Kawasan Sungai Petani ini tanahnya berbukit-bukit dan sesuai untuk mendirikan bangunan yang lebih tinggi berbanding Alor Setar dimana tanahnya berlumpur.

Sekiranya baru dikorek, tanah disekitar ini kelihatan merah seperti luka kerana baru dikorek. Tanah yang berwarna hitam hampir tidak ada di kawasan ini. Dengan peninggalan sejarah sedia ada, adakah kawasan ini, Tanah Merah atau ‘the red earth land’ yang dimaksudkan dalam penulisan sejarah zaman dahulu itu? Cukup untuk kita renungkan seketika.


Pintu masuk ke Gok jelas mempunyai rekabentuk Siam Parsi. Mungkin ini adalah ikutan dari rekabentuk pintu masuk ke Istana Pulau Tiga yang masih ada lagi sewaktu Gok ini dibina dahulu.

Gok ini didirikan sekitar tahun 1850an sahaja memandangkan bata yang digunakan adalah sepertimana saiz bata pada hari ini. Dari jumlah Gok yang berbelas-belas terdapat disini kami yakin ada satu industri membuat arang yang luas di kawasan ini disamping juga untuk membuat batu-bata. Apakah kegunaan arang ini sebenarnya disamping untuk membuat dapur arang, membakar kemian, atau menggerakkan kapal steam yang kekurangan arang batu di satu ketika dahulu? Walau apa pun, industri sebegini yang kami kira besar di zaman dahulu pasti dimiliki oleh pembesar di zaman dahulu.

Memandangkan Sungai Merbok ini luas dengan air yang tenang ia mudah dimudiki oleh kapal-kapal di zaman dahulu apatah lagi kapal-kapal layar yang mengutip barang-barang dagangan. Yang pasti, Sungai Merbok menyimpan seribu misteri sejarah negara berlatarbelakangkan Gunong Jerai yang juga mempunyai kisah yang tersendiri.

Pengusaha dari keturunan China dikawasan ini sudah pun meninggal dunia dan keturunannya yang masih ada tidak lagi ingin meneruskan kerjaya tersebut, lalu Gok ini dibiarkan/ditinggalkan begitu sahaja. Walaubagaimanapun usia Gok ini sudah pasti telah menjangkaui lebih 150 tahun.

Peninggalan kubu tentera British

Objektif kami bukannya mencari kubu tentera Inggeris. Akan tetapi di atas maklumat yang kami dapat, kami turun padang mencari setiap tinggalan sejarah yang ada kaitan dengan pengkajian kami. Di kawasan ini terdapat banyak tinggalan kubu-kubu tinggalan tentera Inggeris teutama sekali di sekitar kawasan peninggalan istana Pulau Tiga. Kubu-kubu ini mungkin didirikan mungkin seawal tahun 1900 ke atas sahaja. Terdapat juga bilik-bilik pegawai yang membawa dari satu ruang ke satu ruang yang lain.

Terletak di bawah tanah, ia didirikan dengan binaan bata moden dan di plaster dengan simen sebagai kemasan akhir. Terdapat ‘Cubicle’ untuk tentera berlindung dari serangan. Kami sertakan gambar-gambarnya.

1 Comment

Filed under Sejarah

One response to “PENINGGALAN SEJARAH DI SG MERBOK

  1. abdulrahim bin yusoff

    saya ingin tahu adakan hanya sekeping saja mata wang emas yang di jumpai di kawasan sekitar pulau tiga, dan juga kawasan runtuhan istana pulau tiga, apa apa pun saya berpuas hati dengan maklumat yang dipaparkan, sertai gambar yang diambil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s