Mawkeb-ul Abaa: Perjalanan Duka Zainab al Kubra dari Karbala ke Damsyik



FILEM Mawkeb-ul Abaa atau dalam bahasa Inggerisnya The Caravan of Pride, adalah sebuah filem dengan naratif Islami, yang menyorot peristiwa pembunuhan Saidina Husin serta perjalanan duka keluarga Rasulullah saw ke Damsyik, Syria.

Filem ini sungguh luar biasa sinematografinya, berbekas dari segi lakonan dan paling penting ia berusaha mengangkat secara tepat apa yang berlaku ke atas keluarga Nabi Muhammad saw setelah 72 orang pengikut Saidina Husin diseligi, dibantai dan disembelih di Karbala.

Justeru, plot Mawkeb-ul Abaa menghimpunkan sorotan pandangan sejarah dari sejarawan terkemuka dunia sunni mahupun syiah bagi menghidupkan peristiwa malang yang menimpa umat Islam. Ini memberi keistimewaan pertama buat filem ini yang akan menjawab beberapa tohmahan kumpulan salafi seperti, siapakah pengkhianat sebenar di Kufah, mengapakah golongan syiah mengenangi dan meratapi kesyahidan Saidina Husin selain membongkar kejelekan dan kezaliman bani Umayyah. Filem ini juga menunjukkan awal permulaan revolusi menuntut tajdid ke atas agama dengan kekuatan watak dan perwatakan Zainab al Kubra, anak perempuan Saidina Ali dan Sayyidah Fatimah Zahra yang kurang dikenal orang hari ini.

Mawkeb-ul Abaa juga menonjolkan watak Imam Ali Zainal Abidin, cicit Rasulullah saw. Untuk menghidupkan watak, setiap dialog yang dituturkan oleh watak ini digubah berdasarkan riwayat hidup baginda. Maka tidak menghairankan, filem ini dipenuhi dengan ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad saw dan memahamkan kita bagaimana ayat al-Quran dan hadis baginda Rasulullah saw telah dimanipulasi oleh penguasa bani Umayyah untuk tujuan politik pada waktu itu. Kesannya, umat Islam hari ini menerima agama yang dititahkan dari istana serta sama sekali berlainan dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Mawkeb-ul Abaa dibuka dengan tampang Saidina Husin (tanpa wajah) dan tangan baginda memegang pedangnya yang tersohor sedang bersiap untuk berangkat dari tanah suci Madinah menuju ke Kufah. Syot berpindah ke arah wajah Ummul Mukminin Ummu Salamah yang sedang berasa tidak sedap hati. Dan ia segera beralih kepada perlakuan Yazid bin Muawiyah, pembunuh dan penjahat umat ini. Kemudian, sepuluh minit pertama filem menunjukkan sisi paling gelap dan malapetaka di Karbala. Adegan menyayat hati Zainab al Kubra, adindanya Saidina Husin menangis sambil mendepangkan tangan ke langit dan berkata ”Ya Allah, terimalah ini pengorbanan kami” sungguh mengharukan dan berjaya memberi kesan yang dramatik.

Gambaran karektor Yazid bin Muawiyah amat tepat. Sebagai penjahat yang memusuhi agama ia telah dilakonkan dengan baik sekali sehingga berjaya membangkitkan rasa benci kepada musuh Allah dan Rasul ini. Tidak hairan sekali perwatakan Yazid dalam filem ini dipaparkan sebagai peminum arak dan suka bermain dengan kera dan anjing. Malahan ulama terkenal Nusantara, Hamka dalam prakata buku terjemahan karya alHamid al Husaini berjudul Al Husain bin Ali menulis:

Husain pun berangkat dengan kaum keluarganya terdekat, menuntut haknya, berpuluh orang, tidak sampai seratus. Setelah Yazid menerima berita itu dikirimnya tentera tidak kurang dari 4 ribu orang di bawah pimpinan Abdullah bin Ziyyad. Maka terjadilah peperangan hebat di padang Karbala di antara dua kekuatan tidak seimbang, di antara puluhan termasuk anak-anak dan perempuan pengiring setia Husain dengan 4 ribu tentera Yazid dari Damsyik, yang bagaimana pun gagah perkasa perlawanan Husain, perlawanan yang hancur, dan yang kacau, beliau sendiri mati terbunuh, kepalanya, dipotong dan dibawa oleh Abdullah bin Ziyyad menghadap Yazid bin Muawiyah.’

Penabalan Yazid bin Muawiyah adalah titik celaka politik buat umat Islam kerana sejak itulah umat dipaksakan dengan sistem monarki (raja-raja) yang menyalahi ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Hal ini misalnya diakui oleh tokoh gerakan Islam Pakistan, Maulana Abu ‘Ala al Maududi dalam bukunya Khilafah wal Mulk, beliau menulis:

Demikian itulah awal peralihan yang amat penting itu, kemudian menjadi makin kukuh dan makin dalam akar-akarnya setelah penunjukan Yazid sebagai putera mahkota, sedemikian rupa sehingga tidak pernah sistem khilafah ini tergoncang di suatu saat sekeras itu, sejak masa itu sampai dengan dihapuskannya sistem khalifah sama sekali oleh Mustafa Kamal Attaturk dalam abad sekarang ini. Maka sejak itu (yakni sejak berkuasanya Muawiyah) tercetuslah cara yang permanen untuk pembaitan secara paksaan serta tumbuhnya dinasti-dinasti tirani. Dan semenjak itu sampai hari ini tidak pernah, dalam garis perjalanan hidup kaum muslimin muncul satu kesempatan pun untuk kembali ke sistem khilafah yang terpilih.’

Sesungguhnya menonton filem Mawkeb-ul Abaa ini adalah ibarat menghidupkan kembali kedukaan sesudah 10 Muharram di mana sebaik sahaja Saidina Husin dan sahabatnya disembelih, para wanita dan ahli keluarganya (ahli keluarga Rasulullah saw) digiring bagaikan tahanan dan hamba untuk dibawa ke Kufah, kemudian ke Damsyik. Perjalanan duka itu diiringi oleh kepala Saidina Husin dan sahabatnya yang tertancap di hujung tombak.

Menonton filem ini juga dapat memahamkan mengapa segelintir orang percaya Yazid kononnya tidak bersalah. Kerana setelah Yazid yang jahat itu terkesima gagal menjawab bicara Zainab yang fasih di istananya pengaruh politiknya kian merosot, bahkan umat Islam tertentu digegarkan oleh kezaliman umat Islam lain yang berani membunuh keluarga Rasulullah saw demi membalas dendam kesumat bani Umayyah sejak perang Badar. Menyedari kuasa politiknya mungkin terjejas, untuk itu Yazid berpura-pura melakukan kebaikan buat ahlul bait Nabi Muhammad sedangkan semuanya sudah terlambat. Inilah puncanya mengapa sesetengah agamawan dan sejarawan hari ini percaya Yazid kononnya tidak mengetahui pembunuhan Imam Husin. Tontonilah filem ini, untuk mengetahui bagaimana umat Islam telah terjerumus dalam feudalisme seperti yang diamalkan oleh raja-raja Rom dan Parsi. Ia dapat menerangkan pemikiran anda bagaimana ada ulama yang bekerja untuk mengangkat kepentingan istana seperti yang bersepahan hari ini.

Banyak filem telah dihasilkan mengenai peristiwa Karbala, pembunuhan yang mengerikan dan menyayatkan hati tersebut sungguh menggegarkan isi langit dan bumi, akan tetapi sedikit sekali filem yang menyorot apa yang berlaku setelah kejadian itu. Mawkeb-ul Abaa berusaha untuk mengangkat bahagian paling memilukan, iaitu kepedihan dan kesedihan mendalam umat Islam apabila ahlul bait dibunuh.

Klik sini untuk menonton The Caravan of Pride (Mawkeb-ul Abaa):

dipetik dari Faisal Tehrani

Leave a comment

Filed under Sejarah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s