Sir Onn bin Jaafar: Babak-babak Penyingkiran.

Setelah pulang dari London pada tahun 1949, Tunku Abdul Rahman pun dilantik menjadi Timbalan Pendakwaraya di Kuala Lumpur oleh imperialis British, agar supaya dia dapat memainkan peranan lain pula dalam penipuan politik yang dijalankan imperialis British.
Pada tahun 1947 hingga 1948, ketika dia masih berada di London dia menyenandungkan lagu yang senada dengan Onn bin Jaafar yang ada di dalam negeri dalam usaha membela mati-matian hak istimewa dan kedudukan sultan-sultan, menentang syarat-syarat kewarganegaraan dan menganjurkan dipulihkannya keadaan sebelum Perang Dunia Kedua.
Tapi setelah dia balik dari London, imperialis British pun mulai menggunakannya sebagai kuda tunggangan yang lain. Ia telah membuat pendapat awam bagi Tunku Abdul Rahman agar boeh diangkat naik takhta menggantikan Onn bin Jaafar bila perlu. Oleh kerana itu dia sentiasa bertengkar dengan Onn bin Jaafar baik di sidang UMNO mahupun di tempat-tempat lain.
Misalnya dia mendendangkan lagu basi chaovinisme jika Onn bin Jaafar memakai jubah non rasialis, dan dia menyamar sebagai wakil rakyat semua bangsa jika Onn bin Jaafar menyebut-nyebut hak istimewa orang Melayu. Kadang-kadang Onn bin Jaafar berada di atas panggung. Nampaknya seakan-akan mereka sentiasa bertentangan, tapi sebenarnya ini telah diatur secara rapi oleh imperialis British dengan maksud hendak mempertahankan kekuasaan penjajahanya.
Ketika Onn bin Jaafar meminta dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, imperialis British pun menyebarkan pendapat-pendapat yang tidak menguntungkannya di kalangan golongan Tunku Abdul Rahman dan anasir-anasir bangsawan feudal untuk menggagalkan usaha Onn bin Jaafar. (anaknya Hussein Onn pernah berkata pada tahun 1963 bahawa orang Inggeris telah menggunakan peristiwa itu untuk menghasut sultan-sultan menentang ayahnya).

Onn bin Jaafar yang hidung tinggi dan berwenang-wenang semakin tak laku di dalam UMNO, maka itu dia terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua UMNO pada bulan Ogos tahun 1951 dan diganti oleh Tunku Abdul Rahman.

Untuk memenuhi keperluan imperialis British yang hendak mengadakan sandiwara pemilihan, Onn bin Jaafar yang digalakkan oleh McDonald dan Henry Gurney telah bersekongkol dengan orang-orang Jawatankuasa Perhubungan Kaum dan bersiap sedia membentuk satu parti yang baru.

Setelah melakukan serentetan kegiatan pujuk memujuk, mereka telah membentuk Parti Kemerdekaan Malaya pada 16 September tahun 1951. Benggolan-benggolannya termasuk Tan Cheng Lock. E.E.C. Thuraisingam, P.P. Narayanan serta Hussein Onn dan juga J. Brazier penasihat kesatuan sekerja yang dikirim oleh imperialis British untuk mensabotaj gerakan buruh negeri kita.
Onn bin Jaafar berkata “Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya telah mencerminkan kepercayaannya kepada janji Inggeris tentang kemerdekaan Malaya”, sedangkan Tunku Abdul Rahman pula membidasnya sebagai mengkhianati kepentingan orang Melayu dan memecat semua ahli UMNO yang menyertai Parti Kemerdekaan Malaya, tapi di samping itu dia mengeluarkan pernyataan mengalu-alukan orang-orang bukan Melayu yang menjadi ahli luar biasa UMNO.

Dari sini jelaslah bahawa untuk memikat hati massa Cina dan India, Tunku Abdul Rahman dan sebangsanya sampai-sampai menampar mukanya sendiri dan menjilat kembali apa yang sudah diludahnya dahulu. Pada bulan Februari 1952, pilihanraya majlis perbandaran Kuala Lumpur telah diadakan. Dulunya UMNO mengambil keputusan tidak mahu menyertai kempen pilihan itu, tapi setelah mengetahui Parti Kemerdekaan Malaya pimpinan Onn bin Jaafar akan menyertai kempen pilihanraya itu, UMNO pun tiba-tiba memutuskan untuk menjalin perikatan dengan MCA dan bersama-sama menyertai kempen pilihan itu.
Imperialis British tahu dengan jelas sekali bahawa tujuan Abdul Rahman bersubahat dengan Tan Cheng Lock dan H.S. Lee itu ialah hendak menjatuhkan Onn bin Jaafar dan pengikut-pengikutnya, akhirnya mereka telah mendapat 9 dari 12 kerusi, sedangkan parti Onn bin Jaafar kalah teruk dengan hanya mendapat 2 kerusi saja. Inilah babak pertama disingkirkannya Onn bin Jaafar yang pernah dianak-emaskan imperialis British.
Pada pertengahan bulan Januari tahun 1953, McDonald memanggil Onn bin Jaafar dan rakan-rakannya ke Ipoh untuk bersidang. Mereka yang ikut serta dalam sidang tersebut ialah Onn bin Jaafar, E.E. C. Thuraisingam, P.P. Narayanan, Menteri-menteri Besar Perak dan Kelantan serta Yong Seok Ming, Sia Yu Chiang, Wai Chi Kang, Kim Sui On dan seorang Serani dari Pulau Pinang bernama V. Shelly. Tan Cheng Lock anak beranak sudah bermasam muka dengan Onn bin Jaafar, jadi mereka berdua tidak hadir.

Di sidang itu McDonald telah menganalisa situasi politik dan berkata bahawa Perikatan MCA-UMNO dikuasai orang Cina. Dia meminta para hadirin mengkaji masalah jalan keluar bagi Parti Kemerdekaan dan Onn bin Jaafar menurut situasi politik ketika itu. Dia mengusulkan penubuhan Badan Politik Pusat yang terdiri dari wakil-wakil semua parti politik dan pertubuhan, dua tiga orang pegawai British seperti dia juga boleh turut serta untuk membincangkan masalah pemerintahan sendiri.

Itulah jalan yang paling baik katanya, sedangkan jalan yang kurang baik ialah menubuhkan parti yang baru. Sidang memutuskan untuk meneruskan sidang itu di rumah Yong Soek Ming di Kuala Lumpur pada 12 Februari tahun yang sama. Sidang tersebut juga telah memutuskan penubuhan badan politik pusat dan mempertanggugjawabkan kerja menggubal perlembagaannya kepada 3 orang berasas tujuankan memajukan perpaduan nasional dan maju beransur-ansur menuju pemerintahan sendiri.

Pada 16 Mac, mereka bersidang sekali lagi di mana mereka memutuskan untuk mengeluarkan sebuah pernyataan atas nama Menteri Besar berbagai negeri, merayu semua parti politik supaya mengutus wakil mereka menyertai persidangan nasional demi menimbangkan masalah mengadakan kerjasama yang paling baik untuk mendirikan negara Malaya yang bersatu dan berpemerintahan sendiri.

Pernyataan yang ditulis McDonald sendiri itu diluluskan oleh sidang pada 16 Mac lalu disiarkan pada 20 Mac. Bersamaan dengan itu diputuskan bahawa persidangan nasional diselenggarakan di Kuala Lumpur pada 27 April dan semua parti politik dan pertubuhan diundang menghadirinya. MCA dan UMNO menolak menghadirinya.
Oleh kerana itu selain daripada orang-orang dari Parti Kemerdekaan dan orang-orang peranakan, mereka yang menyertainya hampir semuanya ialah wakil dari pertubuhan dan parti politik orang India Ceylon dan Pakistan, antaranya termasuk wakil MIC. Persidangan itu telah melantik sebuah jawatankuasa yang bertugas mengajukan laporan dan usul berkenaan masalah-masalah tersebut kepada persidangan kedua.
Persidangan itu memutuskan untuk mengadakan persidangan nasional kedua pada 27 September. Persidangan itu juga memutuskan:

1. Pilihanraya Persekutuan diadakan selambat-lambatnya sebelum tahun 1956

2. Sehingga Februari 1954, Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan patut ditambah kepada 90 orang yang semuanya dilantik pemerintah

3. Hanya ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang menjadi menteri sahaja yang boleh menjadi ahli majlis kerja persekutuan dan lain sebagainya.

Benggolan-benggolan MCA dan UMNO juga mengadakan konvention nasional mereka di Kuala Lumpur pada penghujung bulan Ogos tahun itu atas arahan tuan mereka. Konvention meluluskan keputusan yang menyatakan hasrat hendak berusaha mendirikan negara yang merdeka dalam lingkungan komanwel.

Keputusan itu juga menuntut diadakannya pilihanraya majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada tahun 1954. Konvention menganggap bahawa gerakan yang dilancarkan Menteri-menteri Besar itu semakin menunjukkan yang ia hendak melambat-lambatkan perkembangan apa yang disebut “Kerajaan Representatif” seberapa lama yang dapat.

Alex Josey, perisik British yang pernah menjadi benggolan perang saraf di Kuala Lumpur pada suatu ketika dulu dan kemudian menjadi setiausaha akhbar Lee Kuan Yew juga menulis artikel-artikel di suratkhabar-suratkhabar, memuji-muji konvention nasional Tunku Abdul Rahman dan sebangsanya atas perintah imperialis British.

Duet Tunku Abdul Rahman dan Onn bin Jaafar itu berlangsung terus sehingga dipentaskannya sandiwara pilihanraya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada tahun 1955. Untuk menghebohkan lagi sandiwara ini, Onn bin Jaafar mendirikan pula Parti Negara pada bulan Februari tahun 1954 atas arahan imperialis British.

Pilihanraya majlis negeri pula diadakan pada bulan Oktober 1954, mulai dari Johor ke negeri-negeri lain. Dan mulai dari bulan Oktober itulah, benggolan MIC yang tadinya mengekori Onn bin Jaafar serta Parti Kemerdekaannya mengambil keputusan untuk berpatah arang dengan Onn bin Jaafar, menyerahkan diri ke pelukan Tunku Abdul Rahman dan menjadi rakan kecil dalam parti Perikatan.

Dalam pilihanaraya di Johor, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, semua calon Parti Negara Onn bin Jaafar 28 orang, (26 Melayu) menderita kekalahan. Di Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan dan Melaka, Parti Negera tidak menghantar calonnya untuk menyertai perebutan tersebut.

Sebenarnya ini adalah babak kedua penyingkiran Onn bin Jaafar. Tapi sebelum itu pada tahun 1953, dengan mengambil peluang ketika Queen Elizabeth ditabalkan, imperialis British memberi gelar “Sir” kepada Onn bin Jaafar. Ini merupakan ejekan yang pedas.


sumber maklumat: Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

2 Comments

Filed under Politik, Sejarah

2 responses to “Sir Onn bin Jaafar: Babak-babak Penyingkiran.

  1. HAB

    Onn Jaafar memang tidak pernah disukai British semenjak peristiwa Malayan Union. Jawi Peranakan Turki (Melayu le) amat bahaya kerana inner circle dan keberaniannya.

    Tag Team British, Melayu, China, India menentang Dato Onn seorang…bayangkanlah perjuangannnya itu. Parti Nagara ‘tidak pernah dibubar’ malah semangatnya tetap ada sampai ke hari ini.

  2. HAB

    Sir itu adalah anugerah kali ke dua, kali pertama Anugerag SIR itu ditolak oleh Dato Onn. bayangkan bila seorang Melayu menolak anugerah Queen of England…lagi pedas kepada kerajaan British.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s