Monthly Archives: July 2011

Kisah dan Sejarah di sebalik MALAYAN UNION.

Pentadbiran tentera penjajah British di bubarkan pada 31 Mac 1946 dan apa yang disebut Kerajaan Awam telah ditubuhkan. Bersamaan dengan itu British melaksanakan rancangan pengubahan perlembagaan yang pertama selepas Perang Dunia Kedua iaitu Malayan Union.

Rancangan ini ditelurkan Kerajaan Parti Konservatif British ketika Perang Dunia Kedua masih berlangsung. Pada bulan Julai 1943, imperialis British menubuhkan satu unit perancang Malaya di London bagi merekakan rancangan untuk membangun semula penguasaan penjajahannya setelah Perang Dunia Kedua.

Ketua unit itu ialah Major General Hone, Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Pentadbiran Tentera British setelah Perang Dunia Kedua. Anggota-anggota unit tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai pejabat perang dan pejabat tanah jajahan British dan salah seorang di antaranya ialah Edward Gent, Gabenor pertama British ke Kuala Lumpur setelah Perang Dunia Kedua.

Unit Perancang tersebut telah menelurkan prinsip-prinsip pokok rancangan itu berasaskan dasar penjajahan imperialis British setelah mendengar pendapat-pendapat dari tuan punya ladang getah dan lombong bijih besar British dan dengan menimbangkan keadaan yang mungkin terjadi setelah Perang Dunia Kedua.

Sepucuk kawat dari bahagian Hal Ehwal Awam South East Asia Command tentera British bertarikh 24 Disember tahun 1943 berkata:
ringkasnya usul yang sedang dipertimbangkan ialah dalam masa pentadbiran tentera, wakil Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan yang berkuasa penuh harus menyederhanakan kedudukan perlembagaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat dengan cara menandatangani perjanjian baru dengan para sultan melalui perundingan.”

Parti Buruh British yang memegang tampuk kerajaan menjelang saat Jepun menyerah diri pada tahun 1945 telah mewarisi jubah Parti Konservatif. Setelah Jepun menyerah diri, Kerajaan Parti Buruh segera mengumumkan pelaksanaan rancangan yang telah ditelurkan Kerajaan Parti Konservatif sebagai langkah pertama bagi mewujudkan apa yang disebut “Pemerintahan Sendiri” di Malaya. Pada bulan Oktober 1945, Kerajaan Parti Buruh telah mengumumkan pokok-pokok rancangan tersebut sebagai berikut:

  • Malayan Union terdiri dari 9 buah negeri berserta Melaka di Semenanjung dan Pulau Pinang; Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union.

 

  • Menubuhkan kerajaan pusat Malayan Union yang kuasa tertingginya berada di tangan Gabebor British. Kerajaan berbagai negeri di bawah tadbiran kerajaan pusat.

 

  • Majlis mesyuarat Undang-undang terdiri daripada ahli-ahli rasmi dan ahli tidak rasmi yang dilantik oleh Gabenor.

 

  • Untuk memikat hati orang ramai rancangan itu menetapkan bahawa siapa saja yang lahir di Malayan Union dianggap warganegara.

 

  • Selain itu orang yang sudah 10 tahun bermastautin terus menerus di Malaya dalam masa 15 tahun sebelum Perang Dunia Kedua juga boleh menjadi warganegara.

Kerajaan Parti Buruh juga telah mengutus seorang utusan khas bernama Herold MacMichael ke Malaya untuk menandatangani perjanjian baru dengan sultan-sultan dan Raja-raja berbagai negeri.

Rancangan ini bertentangan dengan kepentingan asasi rakyat semua bangsa kerana ia bukan saja tidak menyentuh barang sepatah katapun tentang kemerdekaan yang diidam-idamkan rakyat, sebaliknya sengaja menimbulkan ketidakpuasan Malaya.

Jika sebelum Perang Dunia Kedua imperialis British telah melaksanakan polisi “pecah belah dan perintah”, maka setelah peperangan itu ia menjalankan polisi “mencantumkan lalu memerintah” melalui rancangan Malayan Union, tapi disamping itu ia juga meneruskan polisi “memecah-mecah lalu memerintah” dengan mengasingkan Singapura daripada Malayan Union.

Dengan demikian, negeri kita tetap merupakan tanah jajahan imperialis British. Oleh yang demikian rancangan tersebut telah dikutuk dan ditentang oleh rakyat semua bangsa negeri kita setelah ia diumumkan.

Komplotan Imperialis British
Penentangan Malayan Union dianjurkan oleh penjajah British. Gabenor British Frank Swettenham mendorong Onn bin Jaafar dan sebangsanya supaya bangkit menentang Malayan Union.

Menghadapi keadaan demikian, imperialis British telah mengirim orang untuk menjalankan apa yang disebut “penyiasatan” di negara kita, di samping itu ia mendatangi bangsawan-bangsawan feudal dan pegawai-pegawai rejim penjajah untuk tampil membuat pendapat awam agar dapat menyelubungi perbuatan mereka sebagai pembantu jahat imperialis British dalam menumpas perjuangan kemerdekaan rakyat negeri kita di sebalik topeng “menentang Malayan Union”.

Antara mereka yang utama ialah pegawai kanan negeri Johor ketika itu yang kemudian menjadi Menteri Besar, Onn bin Jaafar (Bapa kepada Hussein Onn dan datuk kepada Hishamuddin Hussein), Tunku Abdul Rahman (yang melanjutkan pelajarannya ke Inggeris tidak lama setelah Jepun menyerah), Menteri Besar Kelantan masa itu, Nik Abdul Kamil, dan Abdul Razak (ayahanda Najib Razak, PM sekarang, yang mendapat hadiah dari imperialis British pada tahun 1946 dan pergi menjalani latihan di London pada tahun 1947) serta Tan Cheng Lock dan H.S. Lee (yang pulang dari luar negeri mengekori tentera British) dan lain-lain lagi.

Pada awal 1946, Onn bin Jaafar menentang rancangan pengubahan perlembagaan itu dengan dalih membela kedudukan dan hak istimewa sultan-sultan dan raja-raja. Dia dengan gila-gilaan menghasut-hasut cauvinisme dan bergembar-gembur hendak mempertahankan keadaan sebelum Perang Dunia Kedua.

Semasa Jepun menduduki tanah air kita, Onn bin Jaafar telah menyerah dan menjadi anjing buruan imperialis Jepun. Untuk mengatasi kesulitan menjelang saat menyerah diri, fasis Jepun menjalankan tipu muslihat hendak menghadiahkan Malaya apa yang disebut “Kemerdekaan” di samping menghantar sepasukan tentera Jepun yang menyamar diri sebagai Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) menyembelih babi di hadapan sebuah masjid di Johor dan telah mencetuskan bentrokan bangsa-bangsa.

Kemudian atas perintah tuannya, Onn bin Jaafar yang dibantu oleh sepasukan tentera Jepun telah melakukan penyembelihan besar-besaran yang mengerikan. Mereka telah membunuh ratusan orang dan mencederakan ribuan orang di kawasan Batu Pahat, Sengarang, Rengit dan Benut. Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya terpaksa menghalang mereka ketika mereka mendekati Pontian.

Mula-mula, TAJRM menyeru kepada massa (orang ramai) yang ditipu dan dipaksa, mendedahkan komplotan fasis Jepun yang terkutuk dan menasihatkan mereka supaya meletakkan parang panjang. Akan tetapi, tentera Jepun yang sangat ganas itu menggertak mereka dengan senjata api dan memaksa mereka menyerbu ke arah TAJRM.

TAJRM terpaksa menyerang balas untuk membela diri dan menghancurkan komlotan fasis Jepun. Setelah seplatun tentera Jepun itu dibasmi semuanya, massa yang ditipu dan dipaksa itu beramai-ramai meletakkan parang panjang dan menggugat kejahatan fasis Jepun.

Ramai yang kemudiannya telah mengambil bahagian dalam gerakan massa revolusioner yang dipimpin oleh PKM dan menyertai perjuangan bersenjata pada bulan Jun tahun 1948.

Berkat laporan dan bantuan massa rakyat, TAJRM telah menangkap Onn bin Jaafar yang menjadi biang keladi peristiwa penyembelihan besar-besaran itu, tapi setelah dia mengaku hendak bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, TAJRM melaksanakan dasar murah hati dan melepaskannya meskipun dosanya sudah menggunung.

Akan tetapi, Onn bin Jaafar yang lurus-lurus ekor anjing telah menyerahkan dirinya ke pelukan tuan lamanya bila imperialis British kembali ke Malaya. Untuk maksud yang tersembunyi, imperialis British memalsukan sejarah dalam dokumen rasminya, menyanjung-nyanjung Onn bin Jaafar dan memindahkan dosa penyembelihan itu ke atas parti komunis.

Dia berkata konon, parti komunis (orang Cina) yang dipelopori TAJRM cuba hendak merebut kawasan Batu Pahat dan Muar. Onn bin Jaafar yang menjadi pegawai daerah ketika itu telah mengetuai orang Melayu untuk menentang pencerobohan itu. Dari sini jelaslah imperialis British sudah lama merancang hendak memelihara dan menggunakan pengkhianat bangsa itu.

Setelah Malayan Union diumumkan sejumlah pegawai kanan rejim penjajah di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua yang telah bersara pun bergerak dengan leluasa di London; antaranya belasan orang termasuk Frank Swettenham yang pernah menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat berturut-turut menulis surat atau artikel di suratkhabar The Times di London.

Mereka secara terang-terangan menggalak, menyanjung dan menyokong kegiatan-kegiatan Onn Bin Jaafar serta bangsawan-bangsawan feudal lainnya. Macdonald, Gabenor General British ke Asia Tenggara pada masa itu (kemudian ditukar namanya menjadi Commissioner General ke Asia Tenggara) juga membantu menggalakkan kegiatan mereka.

Roland Bradell, seorang peguam British yang pernah menjadi ahli exco Johor sebelum Perang Dunia Kedua dan penasihat sulit undang-undang kepada Sultan Johor, secara langsung menawarkan akal bulusnya kepada Onn bin Jaafar.

Justeru dengan adanya tunjangan imperialis British, Onn bin Jaafar telah menyelenggarakan mesyuarat agung pertubuhan-pertubuhan Melayu di Kuala Lumpur pada bulan Mac tahun 1946 dengan mengibarkan panji-panji membela hak dan kepentingan orang Melayu.

Pada bulan Mei tahun itu juga, UMNO telah ditubuhkan dan secara terbuka Roland Bradell menjadi penasihatnya.

Seorang dua pegawai imperialis British tanpa segan silu berkata “Malayan Union” yang ditelurkan kerajaan parti konservatif sebenarnya bermaksud hendak meluaskan sistem Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, (Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang); ke (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) yang dinamakan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu masa itu serta Negeri-Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang),
sedangkan penaja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu justeru Gabenor British Frank Swettenham yang menghasut-hasut Onn bin Jaafar dan sebangsanya supaya bangkit menentang Malayan Union.

sumber: mat amin

9 Comments

Filed under Rahsia, Sejarah

Kaedah Penjajah British Mewariskan Kuasa di Malaya.

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicapai pada tahun 1957 adalah kemenangan besar rakyat semua bangsa, berbagai aliran patriotik demokratik negara kita, terutamanya perjuangan kemerdekaan selepas tamat Perang Dunia Kedua dan Perang Pembebasan Nasional Anti-British. Akan tetapi, hasil kemenangan rakyat itu telah terjatuh ke tangan golongan pertengahan Melayu yang diwakili oleh UMNO.

Pentadbiran Tentera British (BMA)

Kemenangan bersejarah perang anti-fasis telah mengakibatkan situasi Asia dan dunia mengalami perubahan yang amat mendalam. Sistem imperialis di Asia mulai runtuh.

Di Malaya, kekuatan revolusioner rakyat membesar dengan hebat dan perjuangan untuk kemerdekaan berkobar-kobar di segenap penjuru tanah air. Imperialis British menggigil ketakutan menghadapi situasi yang begitu tidak menguntungkan, namun demikian mereka tidak mahu mengundur diri dari panggung sejarah atas kemahuannya sendiri.

Umum mengetahui, dari kacamata kumpulan modal monopoli British, Malaya tersangat penting bagi empayar British yang sudah penuh dengan kebobrokan setelah Perang Dunia Kedua. Dengan kata-kata mereka sendiri, Malaya bukan saja merupakan kekayaan bahkan merupakan barang keperluan bagi imperialis British kerana dollar Amerika yang dikeruk dari Malaya jauh lebih besar daripada keseluruhan hasil rampasan dari tanah-tanah jajahan British yang lain. Oleh itu sejak tentera penjajah British menginjakkan kakinya semula ke Malaya pada awal bulan September 1945, mereka telah menyerang rakyat dengan kekerasan.

Untuk mendirikan semula syurga pemerintahannya, imperialis British telah membentuk pentadbiran tentera terlebih dahulu, setelah tentera British mendarat di Malaya. Pentadbiran tentera tersebut berkuasa hampir 7 bulan dan berakhir pada penghujung bulan Mac tahun 1946.

Dalam tempoh itu, imperialis British telah mengambil tindakan kekerasan terhadap massa buruh dan tani serta penduduk miskin kota yang menuntut pembaikan hidup. Di banyak tempat imperialis British telah melepaskan tembakan terhadap rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan untuk mendapatkan bekalan makanan dan terhadap massa yang menyertai rapat dan perarakan untuk memperingati ulangtahun ke-4 jatuhnya Singapura.

Bersamaan dengan itu, ia juga mewarisi jubah fasis Jepun dengan menghasut-hasut cauvinisme dan memfitnah parti komunis serta Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya (TAJRM). Di Johor, Negeri Sembilan dan beberapa tempat lain, imperialis British telah mencetuskan pertumpahan darah antara orang Melayu dan orang Cina dengan maksud hendak memecah belahkan perpaduan rakyat semua bangsa dan memesongkan sasaran perjuangan rakyat.

Di bidang ekonomi, pentadbiran tentera membebankan kerugian ekonomi imperialis British ke atas rakyat dengan mengisytiharkan bahawa wang kertas Jepun tak laku, bahkan pentadbiran tentera memaksa rakyat pekerja menjual tenaganya dengan harga murah menjadi lembu perahan bagi tuan punya ladang besar dan pelombong bijih timah besar British. Pemulihan segera pengeluaran ladang getah dan lombong bijih timah besar British adalah salah satu tugas paling mendesak pentadbiran tentera British.

J.M. Gullick, pegawai kanan rejim penjajah di Malaya (1946 – 1957) yang menjadi pengarah merangkap pegawai kanan Pejabat London Kumpulan Guthrie sejak tahun 1957, berkata bahawa perusahaan getah mengalami kerugian yang terkecil dalam perang. Ladang getah yang ditebang atau dirosakkan kerana sebab-sebab lain hanya 2.5% dari seluruh keluasan ladang getah, manakala yang lain meskipun penuh ditumbuhi semak samun tapi tetap memberi faedah dan mencapai hasil pengeluaran yang luar biasa tingginya dalam tempoh satu-dua tahun setelah kerja menoreh diberhentikan.

Akibat perompakan imperialis British itu, jumlah pengeluaran getah meningkat dari tahun ke tahun. Hasil pengeluaran pada tahun 1948 telah mencapai 697 ribu ton, bertambah 150 ribu ton daripada tahun 1940 sebelum pecahnya Perang Pasifik. Jumlah pengeluaran timah bertambah dari 8 ribu ton dalam tahun 1946 kepada 45 ribu ton dalam tahun 1948, meningkat 4.5 kaliganda.

Di bidang politik, pentadbiran tentera secara sembunyi-sembunyi telah bersekongkol dengan bangsawan feudal dan pegawai-pegawai tempatan rejim penjajah sebelum Perang Dunia Kedua dan mempersiapkan syarat-syarat yang perlu bagi imperialis British dalam melaksanakan apa yang disebut “pengubahan perlembagaan baru”.

Penipuan Pengubahan Perlembagaan 

Apa sebenarnya pengubahan perlembagaan itu? Ia adalah cara baru untuk memelihara penguasaan penjajah dan melanjutkan penindasan dan penghisapan ke atas rakyat negeri kita. Oleh itu, apa yang dinamakan pengubahan perlembagaan adalah penipuan politik dan salah satu taktik penindasan bersenjata bagi menumpaskan gerakan kemerdekaan yang sedang berkobaran ketika itu. Proses pengubahan perlembagaan sekaligus adalah satu proses bagi imperialis British untuk memilih dan mengangkat golongan pertengahan Melayu naik takhta.

Pegawai-pegawai pejabat tanah jajahan British, orang-orang British yang pernah menyandang jawatan tinggi di Malaya serta pembela imperialis semuanya mengatakan “dunia setelah Perang Dunia Kedua ialah dunia yang merbahaya. Situasi Asia setelah Perang Dunia Kedua sedang bergolak. Apa boleh buat..”

Selama ini, strategi imperialis British ialah memelihara ‘penguasaan secara langsung’ dengan 1001 cara. Dalam keadaan terdesak sebegini, ia mencari ejennya untuk melaksanakan penguasaan secara tidak langsung. Oleh kerana itu, untuk memupuk ejennya dan melaksanakan ‘penguasaan secara tidak langsung’, mereka menjajakan apa yang dinamakan demokrasi berparlimen menurut rancangan berperingkat-peringkat ataupun dikenal sebagai pemerintahan sendiri” dan “merdeka” secara berperingkat-peringkat.

Pembela-pembela imperialis berkata “British mempunyai pendapat yang sama dengan penjajah Amerika di Filipina. Rakyat tanah jajahan mesti terlebih dahulu menjadi magang dalam satu masa tertentu di mana mereka belajar memerintah diri sendiri secara demokratik dengan menggunakan kekuasaan yang diberi secara beransur-ansur.”

Amalan British selama ini ialah mewujudkan sejumlah kecil ahli Badan Perundangan yang dipilih, kemudian mewujudkan majoritinya, sesudah itu baru membentuk menteri-menteri yang dipilih, dan pegawai-pegawai British ditempatkan di kementerian-kementerian yang penting dan sebagainya. Mereka menekankan bahawa proses ini tak boleh cepat.

Dengan India, Ceylon dan Filipina sebagai contoh mereka berkata “India dan Ceylon telah menjadi magang selama kira-kira 28 tahun, sedangkan Filipina mewujudkan pemerintahan sendiri setelah belajar dalam masa 39 tahun.”

Bagaimana pula dengan Malaya? Mereka berkali-kali menegaskan jika terlalu tergesa-gesa amat bahaya. Akan tetapi penangguhannya yang dipaksakan secara tidak langsung ternyata lebih berbahaya.

Victor Purcell, pengarah besar penerangan di masa perang dan penasihat untuk hal ehwal orang Cina bagi pentadbiran tentera British di Malaya setelah Perang Dunia Kedua. Beliau kemudian menjadi professor di Britain dan disebut oleh rakan-rakannya sebagai penasihat MCA yang tak rasmi, telah berkata “masanya sudah terlambat dan sudah tidak ada waktu lagi untuk beransur-ansur seperti apa yang dilakukan di India dan Ceylon, mesti mempercepat langkah Malaya ke arah pemerintahan sendiri”.

Kenapa? Dia mengeluh kerana semakin lama Malaya tinggal dalam kedudukan tergantung, maka semakin besarlah komunisme. Sebab itu polisi untuk memelihara ‘penguasaan langsung’ ke atas Malaya dengan cara menangguhkan pemerintahan sendiri atau melambat-lambatkannya secara tidak langsung adalah polisi yang cetek pandangannya bahkan membunuh diri.

Dia menegaskan bahawa harus memupuk tokoh-tokoh yang hanya menentang badan pentadbiran ketika itu tetapi tidak memutuskan hubungan dengan imperialis British, dan berjanji bahawa mereka tidak akan memusnahkan pelaburan British setelah pemerintahan sendiri didirikan. Khasnya mereka yang ‘merah jambu’ harus diangkat naik takhta. Kerana, katanya, ditilik dari jangka panjang “tokoh-tokoh merah jambu” adalah satu-satunya pilihan untuk menggantikan “anasir-ansir merah”.

Ketua Setiausaha Pentadbiran Tentera British, Brigadier General Newbold berkata secara terang-terangan “jika kepentingan kita di timur jauh tidak diselamatkan, jentera yang penting mesti disediakan. Jentera sebelum perang sudah tidak cekap dan sudah ketinggalan zaman. Memandangkan kita telah kembali ke timur jauh, jentera yang baru adalah diperlukan.”

Dari sini dapat diketahui, setelah Perang Dunia Kedua, imperialis British memperhebat penindasan tentera di samping berusaha sedaya upaya memupuk “wakil” bagi melaksanakan penguasaan kolonial baru dengan maksud dapat terus menerus merompak kekayaan tanah air kita yang melimpah ruah sekali gus memadamkan perjuangan rakyat semua kaum untuk mengembalikan kemerdekaan tanah air.

1 Comment

Filed under Politik, Sejarah

FILEM WAJIB TONTON: Valley Of The Wolves Palestine 2011.

 

Sinopsis:

Cerita ini mengkisahkan tiga orang agen Turkiye yang dilatih khas untuk memburu dan membunuh kepala askar Israel yang mendalangi pembunuhan rakyat Turkiye semasa tragedi Marvi Marmara yang bernama Moshe Ben Layzir dan juga Avi.

Disamping itu pengarah filem ini juga sempat bermain dengan dialog-dialog yang menjawab segala dakwaan tidak berasas puak Zionis Israel tentang The Promise Land.

Pengarah filem ini juga menyelitkan unsur-unsur kerohanian berupa zikir dan salawat yang menjadi nadi dan tunjang kekuatan rakyat Filistin dalam menentang kekejaman rejim Zionis.

Meskipun terdapat unsur Rambostan dalam plot / aksi tembak menembak, cerita ini berupaya membuka mata masyarakat dunia bahawa Turkiye (jika mahu) buleh memijak kepala Zionis tanpa belas kasihan.
Mungkin tunggu masa.

7 Comments

Filed under Negara Islam, Seni dan Bahasa