Monthly Archives: January 2012

Perjanjian Penyerahan Sarawak oleh Pangeran Muda Hassim kepada James Brooke Esquire. 30 Rejab 1257H. (1841M)

Diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia, Kuala Lumpur: ITNMB, 2008.


Perjanjian ini yang dibuat pada hari Rabu, tiga puluh hari bulan Rejab tahun Hijriah satu ribu dua ratus lima puluh tujuh pada pukul dua belas menunjukkan bahawa dengan suci hati dan penuh kejujuran PANGERAN MUDA HASSIM putera Al-Marhum Sultan Muhammad dengan ini menyerahkan hasil dan segala tanggungjawab masa depan Pemerintahan Sarawak bersama dengan wilayah tanggungannya, kepada JAMES BROOKE Esquire. Selanjutnya, dia, James Brooke Esquire adalah pemunya tunggal hasil negeri dan dia sahajalah yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan awam yang diperlukan demi kebaikan Sarawak.

Seterusnya, James Brooke Esquire dengan suci hati dan dengan penuh kejujuran menerima Perjanjian ini seperti yang ditetapkan dan selanjutnya mengaku janji dari tarikh ini akan membayar kepada Sultan Brunei satu ribu dolar, kepada Pangeran Muda satu ribu dolar, kepada Petinggi tiga ratus dolar, kepada Bandar satu ratus lima puluh dolar dan kepada Temenggung satu ratus dolar.

Seterusnya, James Brooke Esquire mengaku janji bahawa undang-undang dan adat resam orang Melayu Sarawak akan dihormati selama-lamanya kerana Negeri Sarawak hingga sekarang ini tertakluk kepada pemerintahan Sultan Brunei, Pangeran Muda dan Raja-Raja Melayu.

Seterusnya, jika timbul apa-apa honar sama ada di dalam atau di luar Negeri Sarawak yang boleh memudaratkan kepentingannya, sama ada yang disebabkan oleh rakyat atau putera raja mahupun raja yang bermusuhan dengan Sarawak, maka Sultan dan adinda Baginda, iaitu Pangeran Muda hendaklah mengesahkan James Brooke Esquire sebagai Raja Sarawak yang dilantik secara sah dan tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana orang lain.

Seterusnya, Pangeran Muda dan James Brooke Esquire mengikat Kontrak ini dan Pangeran bersetuju melepaskan semua aktiviti selanjutnya dalam Pemerintahan Sarawak kecuali sebagaimana yang boleh dijalankan olehnya dengan izin James Brooke Esquire dan apa-apa yang dilakukan oleh mereka secara berasingan atau secara individu berkaitan dengan Pemerintahan Sarawak mestilah menurut syarat Perjan jian ini.

Ditulis di Sarawak pada malam Jumaat, dua hari bulan Syaaban 1257 pada pukul sepuluh.

Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 184-185.

3 Comments

Filed under Perjanjian Lama, Sejarah