Monthly Archives: May 2012

Haji Abdul Rahman Limbong (Tok Limbong): Ulama’ dan Pejuang.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.

Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.

Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu).

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.

Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

*PEMBERONTAKAN

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.

Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

*Koleksi artikel  ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH

——————————————————————————————————–

Tambahan:

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

Pembabitan Tok Limbong ini dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.

Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.

Peraturan yang menindas itu menyebabkan sekumpulan petani di Hulu Terengganu melancarkan bantahan dengan tidak mengendahkan larangan terhadap pengambilan tumbuh-tumbuhan liar itu sepanjang Julai dan Ogos 1921.Akibatnya, 43 orang daripada petani terbabit telah disaman dan dibicarakan di mahkamah rendah Kuala Terengganu atas tuduhan membuka tanah tanpa kebenaran.

Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dan dakwah, peristiwa itu menggamit Tok Limbong untuk tampil membantu. Lantas beliau memohon dan memperolehi lesen untuk membela nasib petani-petani berkenaan dalam perbicaraan yang menarik tumpuan ribuan rakyat Terengganu. Dengan menggunakan panduan daripada Quran dan sunnah Rasul, walaupun dalam perbicaraan yang dijalankan di mahkamah sivil, pihak pendakwa gagal mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan Tok Limbong, sekali gus memberi kemenangan kepada 43 petani terbabit. Kemenangan sekali lagi berpihak kepada Tok Limbong ketika kes itu diulangbicara di mahkamah tinggi.

Tok Limbong yang berniaga menggunakan “perahu besar” dikatakan sedang berada dalam perjalanan dari Beserah di Pahang ke Legor di Thailand apabila sekumpulan penduduk yang terlalu benci dengan kehadiran Inggeris di tanahair mereka melancarkan kebangkitan bersenjata di Padang Kacong, Telemong, Hulu Terengganu pada 21 Mei 1928. Ia adalah susulan beberapa serangan yang menyaksikan antara lain pihak pejuang berjaya menawan balai polis Kuala Berang.

Dalam pertempuran di Padang Kacong itu, 12 penduduk kampung, termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Tok Janggut (bukan Tok Janggut yang terbabit dalam kebangkitan menentang penjajah di Kelantan) terkorban akibat tembakan. Pihak Inggeris yakin Tok Limbong adalah dalang di sebalik kebangkitan itu dan terus mengenakan tekanan ke atas Sultan agar meletakkan Tok Limbong dalam tahanan.

Tok Limbong dipanggil menghadap Sultan Sulaiman di Istana Maziah, walaupun urusan perniagaan dan dakwahnya belum selesai ketika itu. Tanpa sebarang perbicaraan, Tok Limbong ditahan dan seterusnya dibuang negeri, mula-mula ke Singapura di bawah tahanan pihak berkuasa Negeri-negeri Selat dan selepas itu ke Mekah di mana beliau meninggal dunia 15 bulan kemudian.

Semasa di Mekah, beliau menginap di sebuah rumah wakaf berhampiran Masjidil Haram di mana beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya mengajar agama. Malangnya janji kerajaan negeri ketika itu untuk menghantarnya elaun bulanan jika beliau berangkat ke Mekah tidak pernah dikota.

Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang berlaku selepas itu, terutama tentang harta benda dan urusan perniagaannya, kecuali generasi warisannya yang masih ramai boleh ditemui di sekitar Pulau Musang, Kuala Terengganu dan makam 12 pahlawan Melayu itu yang diabadikan di Padang Kacong, Kuala Telemong.

Walaupun sejarah tidak mencatatkan bahawa batang tubuh Tok Limbong pernah turun ke gelanggang tempur, yang pastinya semangat juang yang ditiup ke dalam sanubari orang Melayu ketika itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi semangat generasi selepasnya untuk meneruskan perjuangan menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

1 Comment

Filed under Sejarah, Ulama' Nusantara

Malapetaka di Tanah Melayu.

Pada 15 Mei setiap tahun warga Palestin di mana sahaja mereka terbuang akan menyambut hari Nakba – hari Malapetaka. Pada 15 Mei 1948 negara Israel telah dicacakkan ke bumi Arab. Semenjak tarikh itu warga Palestin dan Arab terus hidup dalam kesengsaraan. Tanah mereka telah dirampas. Mereka menjadi orang pelarian. Huru hara berterusan di bumi Arab kerana kerenah kaum Zionis Israel. Nakba ialah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.

Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu pula menerima Malapetaka. Ini terjadi apabila British meninggalkan kuasa pentabiran kepada United Malays National Organistion. Semenjak 31 Ogos 1957 anak semua bangsa di Tanah Melayu telah hidup dalam kesangsaraan. Dasar ‘ketuanan Melayu’ telah membawa Malapetaka kepada Tanah Melayu. Justeru, 31 Ogos adalah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.

Saya akan cuba membawa para pembaca untuk memahami konsep dan intipati Malapetaka ini. Memahami Malapetaka 31 Ogos ini amat penting. Jika kita tidak tahu dari mana kita datang maka kita juga tidak akan tahu arah mana yang hendak kita tuju.

Dari sejarah Tanah Melayu, kita diberitahu bahawa pada 20 Jun 1948 British telah mengistiharkan apa yang dipanggil ‘darurat’. Untuk saya, darurat ini macam kita dalam kereta tetiba merasa sakit perut yang amat sangat. Maka kita berhenti dan mencari tandas. Kerana tidak berjumpa tandas maka kita terberak dalam belukar di tepi jalan. Kerana tidak ada sumber air maka kita dedat dengan daun. Apa yang saya kisahkan ini ialah suasana darurat. Tetapi pada tahun 1948 dahulu, tidak ada seorang pun warga Tanah Melayu yang dalam darurat. Tidak ada sesiapa yang hendak terberak di tepi jalan.

Apa yang berlaku ialah kuasa kolonial British telah diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Gerakan bersenjata ini bertujuan menghalau penjajah British dari Tanah Melayu. Dengan licik Britsih telah mengalihkan perjuangan untuk mendapat kemerdekaan ini kepada darurat. Tidak ada apa yang darurat. Yang hendak terberak di tepi jalan kerana diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya ialah soldadu upahan British. Soldadu upahan inilah yang sedang dalam darurat.

Berjuang mengangkat senjata ini telah membuka lanskap politik baru ke Tanah Melayu. Kuasa kolonial yang dianggap gagah dan lengkap bersenjata kini telah diserang oleh gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Kuasa kolonial British amat memerlukan bumi Tanah Melayu kerana dari bumi kita ini terdapat kekayaan bijih dan getah. Punca ekonomi inilah yang ingin dipertahankan oleh penjajah. Politik ialah ekonomi. Memiliki kuasa politik memiliki punca ekonomi. Justeru penjajah British bertahan kerana lombong bijih dan ladang getah.

Serangan bersenjata dari gerila pembebasan ini menjadikan kuasa kolonial terus berdarurat. Akhirnya British merancang satu strategi baru. Jika terus menjajah maka perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya ini akan merebak luas. Tuntutan untuk merdeka akan merebak menjadi ajenda anak semua bangsa. Keadaan sedemikian amat bahaya untuk British.

Justeru, British memerlukan budak suruhan yang baik sebagai ganti sebelum mengundur. Dengan licik dan terancang British telah memasang dua “kuda tunggang” — Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Seperti di Iraq hari ini kuasa kolonial Amerika memasang lebih dari seekor kuda. Ada kuda bernama Nouri al-Maliki, ada Jalal Talabani dan ada Tariq al-Hashmi.

Kuasa kolonial kulit putih sedar dengan memasang beberapa ekor kuda mereka akan dapat mencari budak suruhan yang setia. Terlalu ramai anak tanah jajahan yang bersedia untuk menjadi budak suruhan dan mengikut kata tuan kolonial. Taktik British cukup senang – siapa yang dapat membuktikan yang mereka lebih setia kepada tuan penjajah maka sosok itu akan dinobatkan. Inilah taktik kuasa kolonial dalam percaturan realpolitik. Ia berlaku dahulu dan sedang dijalankan sekarang.

Di Tanah Melayu kuasa kolonial British telah memilih United Malay National Organsiation untuk menjadi budak suruhan mereka. Parti Kebangasan Melayu Muda, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Hisbul Muslimin, Parti Komunis Malaya – adalah parti-parti yang menentang British. Parti-parti ini mengangkat senjata menentang British. Parti-parti ini akan membawa merdeka tetapi amat bahaya untuk kepentingan British. Ini berbeza dengan United Malay National Organisation yang bekerjasama dan menjadi budak suruhan.

Buktinya apa yang saya tulis ini cukup jelas. Pada bulan Ogos, cuba baca – tak perlu beli – akhbar milik United Malaya National Organisation. Akan penuh dengan dengan kisah melawan komunis. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka. Ketika anak semua bangsa bangun melawan penjajah British, United Malay National Organisation seperti diupah oleh British untuk menentang dan melawan orang yang menentang British. Orang angkat senjata lawan British, gerombolan ini angkat senjata lawan orang yang lawan British. Inilah kerja budak suruhan. Inilah Malapetaka yang saya maksudkan.

Kita akan muntah setiap tahun apabila melihat Bukit Kepong di kaca TV. Memang betul ada serangan ke rumah pasong Bukit Kepong. Memang betul polis yang diserang ketika itu adalah polis Melayu. Tetapi polis Melayu ini adalah polis upahan British. Kerana mereka Melayu tidak semestinya apa yang mereka lakukan baik dan betul. Melayu bukan bermakna betul. Ada Melayu budak suruhan dan ada Melayu nasionalis.

Anak muda hari ini juga wajib diberitahu bahawa serangan Bukit Kepong itu dipimpin oleh Mat Indera. Mat Indera ialah seorang nasionalis kiri Melayu. Ini tidak terdapat dalam filem Bukit Kepong kerana United Malay National Organisation tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada Melayu yang berani angkat senjata melawan British. Dan dalam Parti Komunis Malaya amat ramai ahlinya, kadernya dan pucuk pimpinan terdiri dari orang Melayu.

Dari awal lagi British telah menjalankan dasar pecah dan perintah. Melayu, Cina dan India tidak akan dibenarkan bersatu. Pada tahun 1947 apabila ada kerjasama dan setiakawan yang erat di antara bangsa-bangsa maka muncul Perlembagaan Rakyat. Jawapan British kepada Perlembagan Rakyat 1947 ialah melakukan penangkapan beramai-ramai. Satu tahun kemudian Tanah Melayu diistiharkan darurat – perang kolonial bermula.

Dasar pecah dan perintah dan dasar rasisme British ini telah diambil oleh United Malay National Organsation untuk digunapakai hingga ke hari ini. Jika pada Bersih 2.0 taktik ini digunapakai dengan menunjukkan di media bahwa penyertaan kaum bukan Melayu adalah kurang, namun pada Bersih 3.0 taktik ini sudah tidak relevan.

Taktik pecah dan perintah ini adalah taktik yang ampuh untuk digunapakai oleh pemerintah yang zalim. Lihat di Palestin. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini tanpa henti henti. Warga Palestin terus diserang oleh kaum Zionis. Bagitu juga di Tanah Melayu, semenjak 31 Ogos 1957 dahulu, Malapetaka ini bukan berkurangan malah terus bertambah. Malapetaka yang dibawa oleh United Malay National Organisation ini dari hari ke hari semakin mencekik kehidupan warga.

Kaum Zionis di Palestin telah menggunakan rasisme sebagai senjata yang ampuh. Kaum Yahudi telah dinobatkan sebagai kaum terpilih bukan sahaja di dunia ini malah di akhirat juga. Di Tanah Melayu ini, United Malay National Organisation telah mengunakan falsafah ‘ketuanan Melayu‘ dimana dikatakan manusia Melayu memiliki hak-hak yang istimewa. Diheboh dan dicanang ke hulu ke hilir bahawa tanpa ‘ketuanan Melayu’ dan tanpa United Malay National Organisation negara kita ini tidak mungkin wujud. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka.

Hari ini secara dirancang melalui akta dan peraturan garis pisah bangsa-bangsa telah diwujudkan. Melalui hukum dan syarat yang disadur dengan hujah agama, tembok pemisah telah didirikan. Setiakawan antara India, Melayu dan Cina tidak dibenarkan mengampuh budaya bangsa. Prasangka antara bangsa -bangsa sengaja diatur dan disusun untuk memastikan orang ramai terus syak wasangka sesama sendiri. Suasana syak wasangka ini amat baik untuk United Malay National Organisation meneruskan kuasa. Inilah yang saya maksudkan dengan Malapetaka.

Ogos bulan Malapetaka ini sedang memperlihatkan kepada orang ramai bagaimana taktik pecah dan perintah dijalankan. Jika tiba-tiba media kita heboh dengan berita Melayu murtad. Berita Melayu makan dalam gereja. Berita tentang penganut agama Kristian bersedekah kerana berniat untuk memurtadkan Melayu. Semua yang berlaku ini sebenarnya ialah taktik United Malay National Organisation.

Sebelum berita Melayu murtad ini kita telah membaca berita kepala babi ditemui dalam kawasan masjid. Berita masjid dilempar cat. Berita gereja dibakar.

Apa makna semua ini?

Semua ini adalah taktik dan strategi gerombolan untuk menakut-nakutkan Melayu. Manusia Melayu wajib terus ditakutkan. Jika manusia Melayu takut maka mereka akan mencari perlindungan. United Malay National sedang memasang lukah untuk memerangkap Melayu yang takut. Apa dia Melayu yang takut?

Melayu yang takut adalah Melayu yang rendah diri. Melayu yang berjiwa hamba. Melayu yang sanggup mencium ke bawah duli. Melayu yang telah bagitu lama ditakut-takutkan sehinggakan tidak lagi memiliki inisiatif sendiri. Melayu yang takut ini cukup bijak dengan budaya bodek yang telah disebarkan oleh United Malay National Organisation. Melayu yang takut ini hanya sanggup menerima fatwa kerana tidak ada memiliki fikrah yang kritikal. Otak manusia Melayu yang takut ini telah di bonsaikan oleh United Malay National Organisation semenjak 31 Ogos 1957. Justeru tarikh itu saya nobatkan sebagai hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. END

asal: Hishamuddin Rais

7 Comments

Filed under Politik, Sejarah