Monthly Archives: August 2012

Perlantikan Gustavus Baron de Overbeck sebagai ‘Maharaja Sabah’ (Borneo Utara) serta ‘Raja Gaya dan Sandakan’ oleh Sultan Borneo pada tahun 1877 M.

Surat perjanjian penyerahan Borneo Utara kepada British.

Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta, Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab, Sultan Borneo mengirim salam kepada semua.

Bahawasanya beta berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Gustavus de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu Negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuko, yang terdiri daripada Negeri Paitan, Sugut, Bangayan, Labok, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang, dan tanah yang lain sejauh hingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banguey, bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.

Dan bahawasanya Gustavus Baron de Overbeck tersebut ialah ketua dan satu-satunya sahaja wakil Sah Syarikatnya di Borneo.

Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta, Sultan Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab hendak dengan ini menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan, dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan, dan dengan hak untuk membuat undang-undang, membuat duit, mewujudkan tentera darat dan tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh pemerintah berdaulat, dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan kerelaan beta sendiri.

Dan beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan supaya mengakui bahawa Maharaja tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu, dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Maharaja tersebut, maka orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan, dan segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak hak padanya.

Dibuat di Istana Brunei pada 29 hari bulan Disember, TM 1877.

Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 156-157.


*Diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia. Kuala Lumpur: ITNM

8 Comments

Filed under Perjanjian Lama, Sejarah