Category Archives: Sejarah

bab2 sejarah sebenar

Kronologi hubungan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Yahudi dan Israel.

1964 : Mahathir dilatih oleh CIA selama beberapa bulan di Harvard, Amerika Syarikat dalam seminar anjuran Asia Foundation oleh Dr. Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika dan pakar strategi Yahudi. Hubungan Mahathir sangat akrab dengan Kissinger lebih-lebih lagi sejak beliau berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri/Presiden UMNO (pada 16 Julai 1981) sehingga sekarang. Bahkan perlantikan ‘luar biasa’ Dr. Mahathir ke jawatan TPM oleh Dato’ Hussein Onn pada Mac 1976 juga menimbulkan pelbagai tandatanya.

Sebelum itu, ketika berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman dahulu dan kerana takut ditangkap, Mahathir melarikan diri ke Thailand dan kemudiannya mendapat perlindungan ‘asing’ di Australia. Dr. Mahathir bekerja di sana di samping menulis dalam akhbar luar negeri mengecam Tunku. Mahathir hanya kembali setelah Tun Razak jadi PM. Dengan strategi licik pihak-pihak tertentu (termasuk mereka yang dikaitkan dengan agen perisikan asing) akhirnya Tun Razak terpedaya untuk menerima semula Mahathir dan memberikan tempat kepadanya dalam Kerajaan walaupun sudah diingatkan oleh orang-orang yang mengetahui identiti sebenar Mahathir. Ajal telah menghalang Tun Razak dari bertindak terhadap Mahathir setelah beliau menyedari kesilapannya kerana terpedaya dengan perancangan licik Mahathir untuk menguasai UMNO dan Kerajaan.

10 September 1982: Mahathir bercakap panjang lebar menafikan beliau dan Setiausaha Politiknya adalah ahli dan penyokong gerakan sulit Yahudi iaitu Freemason. Ini juga merupakan ucapan dasar sulung Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO ke-33 selaku Presiden. Dikatakan bahawa ahli Freemason telah menjadi pekerja sukarela pilihanraya UMNO sejak 1974 lagi.

Pertubuhan Freemason di Malaysia adalah didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Pada tahun 1977 ia mempunyai 55 perkumpulan (lodges) dan 2,984 ahli. Malah ketika menjawab soalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (PAS-Pengkalan Chepa) di parlimen pada 25 Oktober 1978, Datuk Husein Onn berkata Kerajaan hingga kini tidak bercadang untuk mengharamkan pertubuhan (Freemason) itu walaupun mengakui ianya bercanggah dengan aqidah Islam dan ramai golongan elit dan berpengaruh dari kalangan umat Islam negara ini yang menyertainya.

1986: Mahathir/UMNO membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah Syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantu Mahathir/UMNO merangka strategi pilihanraya umum 1986. Sebelum itu, syarikat terbabit telah membantu kempen pilihanraya Margaret Thatcher di Britain dan Ronald Reagan di Amerika Syarikat. (Dr. Kissinger, orang besar Yahudi dan rakan karib Mahathir juga merupakan penasihat belakang tabir Presiden Reagan). Pada tahun ini, Mahathir mengambil sikap membisu di atas keputusan Singapura mengundang ketua negara Israel Chaim Herzog sambil membiarkan pesawat Israel itu melintasi ruang udara Malaysia untuk ke Singapura. Segala tentangan umat Islam di Malaysia tidak diendahkan oleh Mahathir.

1986: Mahathir mengadakan pertemuan sulit dengan Dr. Kissinger di New York. Ini disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah ISIS yang juga merupakan ‘anak didik Kissinger’.

6 Mac 1987: Dr. Henry Kissinger mengadakan perbincangan tertutup sehari di pejabat Perdana Menteri. Perbincangan ini dikendalikan oleh ISIS dan dikenali sebagai “Perbincangan Meja Bulat Kuala Lumpur”. Menurut Ketua Pengarah ISIS, Dr. Noordin Sophie, Dr. Mahathir dan Kissinger merasa perlu bagi para ‘intelek’ Amerika yang terkemuka dan ulung memahami dengan lebih mendalam masalah yang dihadapi oleh negara-negara Asean.

Mei 1994: Parlimen telah meluluskan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

6-9 Julai 1994 : Mahathir mengadakan pertemuan sulit dengan PM Israel, Yithzak Rabin dan Menteri Luarnya, Shimon Peres yang sama-sama menginap di Hotel De Crillion, Perancis. Pertemuan ini dilaporkan oleh TV Israel dan dipetik oleh AFP. Bila berita ini sampai ke Malaysia, Mahathir seperti biasa segera menafikannya dengan alasan beliau ke sana semata-mata kerana lawatan rasmi ke Perancis, lagipun katanya beliau tinggal di tingkat 3 manakala Rabin berada di tingkat 2. Akhirnya Mahathir mengakui bahawa beliau ada juga berhubung dengan Rabin, tetapi hanya melalui surat!.

16 Julai 1994: Pengerusi Kumpulan Melewar Corporation Bhd. dan MBf, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman yang juga proksi perniagaan terpenting UMNO dan rakan karib Mahathir telah membuat pengakuan bahawa beliau telah berkunjung ke Israel pada bulan Jun 1994.

Sebenarnya Malaysia di bawah Kerajaan Perikatan/BN telah lama mempunyai hubungan dagang dengan negara haram Israel. Dalam tahun 1967, import Israel dari Malaysia meningkat lebih sekali ganda dari USD272,000 dalam tahun 1966 kepada USD565,000 dalam tahun 1967. Dalam waktu yang sama eksport Israel ke Malaysia bertambah hampir-hampir dari USD1.1 juta kepada hampir USD1.7 juta.

17 Julai 1994: Berita Harian melaporkan Tunku Abdullah sebagai berkata :“Ketika di sana, saya dijemput menemui Rabin dan Peres”. …”Kita juga mengenalpasti potensi pelancongan terutama bagi rakyat Malaysia mengunjungi Masjid al-Aqsa”.

13 Oktober 1994: Far Eastern Economic Review melaporkan: “Perdana Menteri Malaysia telah memberitahu bahawa pengiktirafan (Israel) tersebut adalah bergantung kepada sejauh mana rakyat Palestine dan negara-negara Arab telah berpuas hati terhadap perlaksanaan perjanjian damai dengan Tel Aviv. Israel telah pun menghantar pemerhati khas ke Kuala Lumpur sejak awal tahun ini dalam rangka menjalinkan perhubungan diplomatik.”

Disember 1996 : Mahathir menyeru supaya Negara-negara Arab tidak berperang dengan Israel bagi menyelesaikan masalah di Timur Tengah. Kenyataan Mahathir ini cuba meminta Umat Islam seluruh dunia supaya ditutup seruan jihad dari kamus umat Islam dan ia juga dipercayai ada hubungkaitnya dengan ura-ura Kerajaan Malaysia mahu mengiktiraf Israel melalui proses damai anjuran Amerika.

Januari 1997: Mahathir menghadiri satu majlis yang dianjurkan oleh Mayor (Datuk Bandar) berbangsa Yahudi, Tom Levyn dan turut dihadiri oleh ‘masyarakat Yahudi’ yang terdiri daripada tokoh hiburan dan karyawan filem di Beverly Hills, Los Angeles.

Dalam pertemuan tersebut Mahathir meminta supaya diwujudkan taman hiburan/perkampungan industri perfileman ala Hollywood yang dimonopoli oleh Yahudi di Amerika itu di tapak MSC, Sepang. Penubuhan MSC di Malaysia juga sebenarnya telah dicadangkan dan diilhamkan oleh pihak asing kepada Mahathir. Perancangan Mahathir/Yahudi/kuasa asing ini akhirnya berjaya direalisasikan apabila Mahathir pada 9 Julai 1999 setelah mengadakan perbincangan dengan Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) untuk projek MSC, bahawa Perkampungan ‘Hollywood’ akan diwujudkan di Cyberjaya.

21 Mac 1997: Mahathir membenarkan pasukan kriket Israel datang ke Malaysia untuk menyertai kejohanan kriket antarabangsa (ICC). Umat Islam yang membantah kehadiran pasukan Israel di bumi Malaysia ini diganyang, ditangkap dan didakwa di mahkamah oleh regim Mahathir. Mahathir berkata tujuan beliau membenarkan pasukan Israel datang ke Malaysia adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam di Malaysia bersikap ‘terbuka’.

Tahun 1997 juga digemparkan dengan pengakuan terbuka Mahathir, bahawa beliaulah yang membenarkan rombongan pelajar-pelajar Israel untuk melawat negara kita dan bertukar-tukar fikiran dengan pelajar-pelajar di beberapa buah sekolah di ibunegara. Sebelum ini, lawatan pelajar Israel yang diaturkan secara sulit oleh Kementerian Pendidikan ini, telah didedahkan sehingga memaksa Mahathir untuk membuat pengakuan dan mengatakan bahawa ianya bertujuan untuk ‘menginsafkan’ pelajar Israel betapa baiknya umat Islam (terutama di Malaysia) yang boleh hidup dengan harmoni dengan rakyat berbilang kaum dan agama.

1998: Mahathir mengambil syarikat dan spekulator matawang Yahudi, Solomon Smith & Barney sebagai penasihat kewangan negara dan bon Malaysia dijual kepada pelabur Yahudi di Amerika / Eropah.

September 1999 : Menteri Luar Malaysia iaitu Datuk Syed Hamid Albar, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar negara haram Israel iaitu David Levy di New York. Di dalam pertemuan tersebut juga, Mahathir telah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Israel iaitu Ehud Barak kerana kejayaannya menjadi Perdana Menteri baru Israel.

OLEH : Penulis Siber

Ahady Aqady

7 Comments

Filed under Politik, Rahsia, Sejarah

Bangsa Melayu adalah pencipta angka ‘kosong’ (0)?

Kosong‘, atau 0, bukan sebarang nombor, penemuannya merevolusikan pemikiran matematik dan sains moden. Nombor ini diperkenalkan di Eropah pada awal abad ke-13 selepas ia dikembangkan di dunia Arab-Islam pada kurun kesembilan.

Tokoh matematik dunia Arab, Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi, memperkenalnya di Iraq melalui bukunya Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabbala (tahun 837) setelah lawatannya di India, benua yang dipercayai “menemui” nombor maha penting ini pada tahun 594.

Tamadun Eropah mengambil kosong, atau zero, daripada penemuan dunia Arab, sifr (sifar). Ia dibawa oleh pemikir Itali, Fibonacci, dalam tahun 1202 melalui karya popularnya Liber Abaci. Perkataan sifar ini juga membentuk perkataan cipher dalam bahasa Inggeris yang membawa masud “tiada apa-apa”, “simbol”, “kod” atau “mesej rahsia”.

image

Dr Alinor: Sebelum tahun 837, ada 17 maklumat dalam tamadun Melayu berbanding tujuh maklumat dalam tamadun India yang memiliki simbol 0.

Bagaimanapun pensyarah matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, mengemukakan satu hipotesis lain — penciptaan simbol ‘kosong’ mungkin bermula di alam Melayu selewat-lewatnya pada 580.
Beliau bersandarkan hujah beberapa pengkaji, termasuk karya yang banyak dibahaskan The Universal History of Numbers (terbit 1998) oleh Georges Ifrah, terjemahan edisi Perancis Histoire Universelle des Chiffres pada 1981.

Sebelum dipopularkan al-Khwarizmi, Ifrah menyebut, beberapa nombor kosong di tulisan-tulisan pada batu ditemui antaranya prasasti tembaga Sankheda di India pada 594, Trapaeng Prei di Kemboja (683), Kedukan Bukit, Sumatera (683), Kota Kapor, Sumatera (686), Dinaya, Jawa (793), Po Nagar, Vietnam (813) dan Bakul, Vietnam (829).

Dr Mohammad Alinor berkata, bukti-bukti tambahan yang beliau kumpul dan keterangan Ifrah ini bermungkinan telah lama diketahui oleh seorang penyelidik sejarah China, Joseph Needham dalam bukunya Science and Civilisation in China (1959).

Needham menyatakan bahawa simbol ‘0’ sebenarnya dihasilkan di bahagian timur tamadun India, iaitu bahagian yang paling hampir dengan China yang menganggap ‘0’ sebagai tempat kosong,” katanya.

Selain itu, tambahnya, seorang ahli matematik Zakov pernah menyebut di satu seminar sejarah sains di Eropah pada 1975 bahawa “simbol 0 yang direkodkan dalam prasasti-prasasti dari kepulauan Melayu lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim yang direkodkan oleh al-Khwarizmi.”

Dr Mohammad Alinor berkata, seorang profesor pelawat dalam bidang pendidikan matematik di UKM, Frank J. Swetz pada 1979, pernah menyebut “etnik Batak di Sumatera memiliki sistem angka merangkumi 0 yang lebih tua usianya daripada yang terdapat dalam sistem angka Hindu-Muslim.

Beliau berhujah lagi, sebelum al-Khwarizmi, “ada 17 maklumat dalam tamadun Melayu berbanding tujuh maklumat dalam tamadun India yang memiliki simbol 0.

Dr Mohammad Alinor antara sekumpulan kecil pensyarah matematik Malaysia yang membahaskan perkara ini, sementara rata-rata ahli akademik dan media tidak memperkatakannya walaupun kajian awal pernah dibentangkan beberapa kali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kumpulan ini termasuklah Prof Dr Shaharir Mohamad Zain yang kini mengajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Abdul Latif Samian (UKM), Prof Datuk Dr Abdul Razak Salleh (UKM), Dr Mat Rofa Ismail (Universiti Putra Malaysia) dan beberapa pelajar mereka.

image

Dr Shaharir (gambar) berkata beliau sendiri mula membentang tentang hipotesis penemuan nombor ‘kosong’ di alam Melayu pada 1997 dan 1998, termasuk di luar negeri. Makalahnya yang membincangkan perkara ini “A Note on the Decimal System” diterbitkan dalam Humanistic Mathematics Network Journal pada 2001.

Beliau kesal dengan sikap orang Melayu yang tidak gemar menggali sejarah pencapaian budaya dan keilmuan dalam tamadun mereka sendiri, mengulangi rungutan Dr Mohammad Alinor.

Orang kita pada amnya tidak minat sejarah, bukan sahaja sejarah matematik,” kata Dr Shaharir, mengulas motivasi awalnya menggali persoalan ini.

Saya berminat mengetahui perkembangan sains dalam tamadun Melayu sebab selalunya pengkaji melihat sumbangan sastera sahaja. Saya sendiri terkejut sewaktu mengetahui tentang sejarah nombor kosong di alam Melayu.”

Katanya, sewaktu kertas kerjanya “A Note on the Decimal System” dibentangkan di satu seminar antarabangsa, Swetz — kini menitikberatkan kajian tamadun China — sendiri mengucap tahniah atas kajiannya itu.

Sementara Dr Mohammad Alinor pula hairan melihat kecenderungan orang Melayu yang hanya menekankan tamadun Melayu mulai sejarah kemasukan Islam.

Tamadun Melayu seperti yang sepatutnya difahami bermula di zaman Hindu-Buddha sekitar tahun 190, kemudiannya zaman Islam bermula 1200 dan akhirnya zaman penjajahan-kemerdekaan bermula pada1470. Jika dipinggirkan zaman yang pertama itu, seperti yang berlaku kini, … itu sebenarnya melupakan sekitar 1100 tahun sejarah tamadun Melayu,” kata pensyarah muda itu. 

Akibatnya, kita tidak memahami bagaimana Melayu berfikir menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengannya. Juga, kita kehilangan maklumat berkenaan bahasa Melayu kuno, yang amat berharga itu. Apa lagi maklumat berkenaan sains dan teknologi Melayu.”

Bagaimanapun pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM ini menyebut hipotesis Melayu menemukan nombor kosong ini masih memerlukan kajian lanjut.

Cukupkah dua fakta umum ini membuktikan bahawa simbol 0 adalah ciptaan bangsa Melayu, atau lebih tepat ciptaan bangsa Funan/Chenla (sekarang Kemboja) atau Sriwijaya (Sumatera) atau Jawa?” katanya. 

Jika Melayu yang mencipta simbol 0, bagaimanakah hendak ditunjukkan bahawa tamadun India mengambil daripadanya? Tamadun India diketahui pernah menterjemahkan buku-buku falsafah Jawa, tapi adakah sistem angka terangkum di dalamnya?

Dr Mohammad Alinor menyarankan beberapa hipotesis ini “amat positif untuk dikaji dengan lebih lanjut”  kerana kini sudah wujud rujukan-rujukan yang boleh dimanfaatkan secara langsung, termasuk penggunaan sistem nombor berdasarkan sistem metrik atau asas persepuluhan yang lebih awal di alam Melayu berbanding Arab-Islam (abad ke-9) dan Eropah (kurun ke-19).

Menurutnya, perkataan tujuh (7) dan saribu (1000) ditemui pada batu bersurat Vo-Canh di Kemboja sekitar kurun keempat.

Bukti-bukti lain termasuklah tiga perkataan pembilangan duaratus (200), sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20,000) pada prasasti Kedukan Bukit pada tahun 683, perkataan sapuluh dua (12) dan dua laksa (20,000) di prasasti Telaga Batu (Sumatera) pada 683.

Walaupun nombor atau simbol ‘kosong’ lewat tercipta, manusia sudah memahami konsep ‘kosong’ jauh lebih awal seperti yang ditemui pada tamadun-tamadun China dan Babylon.

Tamadun Maya-Aztec di Amerika Tengah juga berjaya mencipta simbol ‘kosong’ yang menyerupai kulit siput. Namun mereka dipercayai tidak memindahkan pengetahuan itu kepada perabadan bangsa-bangsa lain sehingga diwarisi pada zaman moden kecuali satu hipotesis. 

Pernah dihipotesiskan di International Congress of Americanist pada 1949 bahawa wujudnya pertukaran budaya di antara Funan dengan Maya/Aztec. Tapi, adakah sistem angka sebahagian daripada yang ditukarkan?” kata Dr Mohammad Alinor.

“Tidak ada langsung bentuk simbol ‘0’ di Asia Tenggara yang menyerupai kulit siput.”

7 Comments

Filed under Rahsia, Sejarah, Umum

Tok Kenali Dikenali Ulama’ dan Wali.

 

tok-kenali-dgn-zaaba

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat.

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

tok kenali

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathani lah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

sumber: tulisan Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 12 Nov 2006

3 Comments

Filed under Agama dan Islam, Sejarah, Ulama' Nusantara

Dato’ Hussein Taib (datuk kepada Dato’ Seri Najib) terhutang budi kepada Wan Esah.

Siapa berjasa kepada siapa? UMNO berjasa kepada Melayu atau bangsa Melayu berjasa kepada UMNO? Barangkali yang diungkapkan melalui laman blog http://www.matamin.blogspot.com/ hanya sekelumit perjuangan bangsa Melayu. Apalagi yang berkaitan dengan sumbangan Manap Jepun menyelamatkan nyawa Allahyarham Dato’ Hussein Taib; iaitu ayahanda Tun Abdul Razak dan datuk kepada Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri sekarang.

Barangkali juga Dato’ Najib tak pernah tahu mengenai Manap Jepun (gambar dengan ihsan muzium sejarah Kampung Chulaborn Patana 12, Thailand) dan Wan Ali tokoh gerila Melayu yang berjuang di sekitar Jerantut, Pahang sekitar dekad 1950-an.

Dalam buku ‘Askar Melayu 50 Tahun‘ (Tan Sri A Samad Idris; Pustaka Biduman, KL, 1983) juga menyebut keberangan Brigedear Jeneral Syed Muhammad al-Sagoff kepada Inggeris kerana meletakkan mayat Manap Jepun di bumbung kereta, kemudian diarak di pekan Jerantut. Ketika itu Syed Muhammad al-Sagoff sekadar berpangkat leftenan sahaja. Maknanya, Askar Melayu yang terdahulu tetap menghargai pejuang gerila Melayu seperti Manap Jepun, Wan Ali, Abu Samah Kassim, Abdullah CD dan ramai lagi. Tetapi apa sumbangan Najib terhadap pejuang-pejuang bangsa ini?


Dalam blognya Mat Amin mengungkapkan:
“Sewaktu penjajahan Jepun, Dato Hussien menjadi Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Temerloh yang telah dijawatnya semenjak tahun 1924. Sewaktu Jepun menduduki Temerloh,maka bermulalah kisah ini yang tidak pernah dicatat di dalam mana-mana buku sejarah, Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-9 Dato Hussien Bin Mohd Taib telah ditangkap oleh Kempetai Jepun atas tuduhan menjadi tali barut Inggeris. Jepun yang terkenal dengan keganasan mereka di luar perikemanusiaan akan menyiksa siapa sahaja yang ditangkap tidak kira yang ditangkap itu bersalah atau sebaliknya malah bukti juga tidak perlu cukup sekadar syakwasangka sahaja.
Itulah nasib yang menimpa Dato Hussien apabila beliau ditangkap dan dibawa ke Rumah Pasung Temerloh. Ketua Polis Jepun ketika itu dikenali dengan nama Tuan Nagai yang cukup terkenal dengan kebengisannya. Diceritakan jika ada anak-anak kecil yang nakal, maka si ibu akan memberikan amaran jika tidak dengar kata akan dihantar jumpa Tuan Nagai; malah anak-anak kecil yang merengek atau menangis pun akan berhenti merengek jika nama Tuan Nagai ini disebut. Begitulah reputasi Tuan Nagai dikalangan masyarakat orang Melayu di Temerloh ketika itu.
Maka dapat dibayangkan layanan yang diterima oleh Datok Hussien tatkala beliau dibawa ke Rumah Pasong untuk diinterrogasi oleh Kempetai Jepun. Pelbagai siksaan dikenakan terhadap Orang Besar Pahang ini tanpa henti. Menjadi “adat” Jepun,mereka yang ditangkap akan disiksa di khalayak ramai kononnya untuk dijadikan contoh. Malah sering dikatakan,mereka yang bernasib baik ialah yang kena libasan katana, pedang samurai Jepun untuk “potong kepala” kerana tidak perlu melalui penyiksaan Jepun.
Dato Hussien disiksa di khalayak ramai. Beliau diikat di sebatang tiang di hadapan Sekolah Cina (Sekolah Rendah Khee Chee ketika ini) dan menderita disiksa Jepun dengan pukulan serta kaedah “water treatment” yang terkenal itu, yakni diberi minum berbaldi air sabun. Tidak ada walau seorang pun yang berani membantu beliau. Hanya sekadar memerhatikan dari jauh sambil di dalam hati bersyukur kerana “bukan aku yang kena”. Di dalam keadaan Dato Hussien mengalami siksaan dan penderitaan sebegitu rupa, rupa-rupanya ada seorang perempuan yang berhati mulia punya keberanian untuk membantu beliau dan berhadapan dengan Jepun yang zalim itu.
Wanita itu yang rumahnya berhampiran dengan Sekolah Cina tempat Dato Hussien disiksa rupa-rupanya tidak dapat menahan diri melihat penyiksaan terhadap Dato Hussien.

Wanita tersebut dikalangan orang Temerloh di panggil Wan Esah. Suaminya Aki Sewang, bekas kelasi kapal. Wan Esah ini berasal dari Jepun berkahwin dengan Aki Sewang dan dibawa menetap di Temerloh. Wan Esah dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat Melayu Temerloh malah khabarnya cukup fasih bercakap loghat Temerloh dengan lidah Jepun.

Perkahwinan Wan Esah dengan Aki Sewang melahirkan sepasang anak;putera pasangan ini menjadi tokoh terkenal sewaktu zaman darurat iaitu Manap Jepun,manakala puteri mereka hanya dikenali dengan nama Bi. Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris dengan menyertai Rejimen Ke-10, PKM. Noel Barber, pengarang Inggeris yang terkenal itu didalam bukunya War Of The Running Dog ada menyentuh tentang kisah Manap The Jap ini.

Suatu kisah yang ironi dan tragiks ialah berkenaan adik ipar Manap Jepun, suami kepada adik perempuannya,Bi, meninggal dunia di tembak gerila PKM di jalan Triang apabila bas yang ditumpanginya kena ambush.

Menurut narasumber kejadian malang ini berlaku kerana mereka tidak ada maklumat tentang adik ipar Manap Jepun, jika mereka tahu, kejadian malang ini tidak akan berlaku. Narasumber saya tidak dapat mengingati nama adik ipar Manap Jepun ini.

Manakala kejadian lain yang berlaku kepada abang ipar Manap Jepun (abang kepada isterinya), juga orang Temerloh yang dikenali dengan nama Mat Zali. Mat Zali juga memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris. Di Pulau Tawar, berikutan tawaran menyerah diri oleh pihak Kerajaan dan kerana mempercayai janji Dato Yeop Mahidin, Mat Zali mengambil keputusan untuk keluar dan menyerah diri kepada orang kampung tersebut.

Beliau keluar ke Kampung Pulau Tawar dengan membawa senjata sepucuk senapang carbine yang tidak berisi peluru dengan niat menyerah diri. Apa yang berlaku, orang kampung kemudiannya membuat laporan (semata-mata kerana hendak menuntut wang reward (reward money) dari Kerajaan) kononya Mat Zali ditangkap, bukannya menyerah diri. Mat Zali akhirnya dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Inggeris atas fitnah tersebut padahal beliau sebenarnya menyerah diri dan bukannya ditangkap homeguard.
Berbalik kepada kisah penyiksaan terhadap Dato Hussien, Wan Esah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Tuan Nagai. Maka pergilah wanita mulia ini ke Rumah Pasong Temerloh mengadap Tuan Nagai yang bengis itu. Wan Esah akhirnya berjaya memujuk Tuan Nagai untuk membebaskan Dato Hussien dari tahanan dan penyiksaan Jepun. Dato Hussien setelah dibebaskan dari penyiksaan Jepun, kembali ke Bentong. Beliau dan seluruh keluarganya, saya kira, berhutang nyawa dengan Wan Esah, ibu kepada pejuang Manap Jepun.

Leave a comment

Filed under Sejarah

Bagaimana Sifat dan Kerja Zionis?

Saya telah beberapa kali menulis untuk menerangkan kepada pembaca tentang apa itu Zionisme dan apa itu Yahudi. Di Malaysia ini sering berlaku kesilapan tentang dua perkara ini. Dua perkara yang amat berbeza. Kesilapan ini sering dilakukan bukan hanya oleh ‘lebai-lebai’ kampung yang tidak bersekolah tetapi dilakukan juga oleh pemimpin politik yang mengakui memiliki pendidikan formal yang tinggi.

Kesilapan yang datang dari ucapan pemimpin United Malays National Organisation tidak menghairankan. Ini kerana saya tahu mereka tidak memiliki fikrah kritikal yang berkeupayaan berfikir lebih jauh dari Utusan Malaysia. Apa yang merisaukan saya ialah apabila saya mendengar ucapan kesilapan yang sama dari pemimpin parti PAS dan pemimpin PKR.

Biar saya cuba sekali lagi jelaskan di sini: Yahudi ialah satu bangsa. Bangsa Yahudi ini menganut agama Judaisme. Tetapi ada juga orang yang bukan Yahudi yang memeluk agama Judaisme. Contohnya penyanyi pop Madonna, aktres Elizebeth Taylor dan pemuzik kulit hitam Sammy Davis Junior. Mereka meninggalkan agama lama mereka untuk menganut Judaisme. Malah banyak warga Ethiopia yang berkulit hitam yang menganut agama Judaisme. Bagitu juga di India dan di tanah besar China akan ditemui penganut agama Judaisme ini.

Saya harap ini jelas – Yahudi ialah bangsa dan Judaisme ialah agama. Satu bangsa dan yang satu lagi agama, dua perkara yang jauh berbeza.

Agama Islam mewajibkan penganutnya mengetahui nama-nama 25 Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad. Semua nama-nama Nabi dan Rasul ini daripada bahasa Yahudi. Hanya Nabi Muhammad dari bangsa Arab Quraisy dan Nabi Saleh sahaja mempunyai nama Arab.

Apa yang ingin saya terangkan di sini, apabila kita mengutuk Israel, yang seharusnya kita kutuk bukan Yahudi kerana Yahudi itu bangsa. Sebagai contoh kita wajib sedar bahawa Nabi Isa ialah seorang Yahudi. Justeru yang wajib kita kutuk, lawan dan tentang ialah fahaman Zionisme, bukan bangsa Yahudi.

Kenapa kita kutuk dan tentang Zionisme? Zionisme ini ialah satu gerakan politik yang bermula pada awal kurun ke-19 ini. Gerakan ini dimulakan oleh seorang wartawan Yahudi yang bernama Theodor Herzl. Gerakan Zionisme ini berlatar belakangkan penindasan yang dihadapi oleh orang Yahudi di Eropah. Orang Yahudi di Eropah menerima penindasan dan penghinaan dari warga Eropah yang berkulit putih. Ini adalah fakta sejarah.

Pensejarahan intim Yahudi dengan Palestin

Justeru gerakan Zionis ini telah berkongres pada tahun 1917. Kongress Zionis ini telah membincangkan permasalahan yang dihadapi oleh orang Yahudi di Eropah. Akhirnya kaum Zionis yang berkongres telah mengeluarkan ketetapan untuk menubuhkan sebuah negara khusus untuk orang Yahudi. Ketetapan dari kongres Zionis ini kemudian mendapat surat sokongan dari menteri luar British yang bernama James Balfour. Maka surat sokongan inilah yang dipanggil Balfour Declaration 1917.

Israel akhirnya berjaya diwujudkan pada tahun 1948 berasaskan Deklarasi Belfour. Sesudah Perang Dunia Kedua, Eropah telah melihat bagaimana Yahudi telah ditindas oleh Nazi Jerman. Maka Eropah merasakan perlu untuk orang Yahudi memiliki negara sendiri. Kaum Yahudi telah mundar mandir mencari makan di merata-rata tempat di Eropah tidak memiliki tanah air semenjak 2000 tahun lagi.

Melalui ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Palestin telah dipilih untuk menjadi tanah air orang Yahudi. Pada awalnya gerakan Zionis antarabangsa telah menerima cadangan untuk memilih Afrika Selatan, Australia Barat dan Uganda sebagai negara Israel. Ini juga fakta sejarah.

Palestin akhirnya dipilih kerana di Palestin telah ada komuniti Yahudi yang telah menjadi warga Palestin. Malah agama Judaisme juga memiliki pensejarahan yang intim dengan Palestin.

Justeru apabila kita menentang gerakan Zionis ini bukan kerana ianya dianggotai oleh orang Yahudi. Ini bukan sebab kenapa Zionisme ditentang. Harus disedari bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis dan bukan semua Zionis itu Yahudi. Ada juga Yahudi yang menentang Zionisme.

Zionis ialah gerakan yang memiliki asas pandang politik. Zionisme memiliki ideologi. Sesiapa yang menyokong pandangan politik dan ideologi politik ini boleh dianggap sebagai Zionis atau penyokong Zionis.

Asas utama ideologi Zionisme ialah menyokong kewujudan Israel. Israel yang diwujudkan hasil dari rampasan tanah hak milik warga Palestin. Tidak cukup dengan sokongan ini kaum Zionis juga mengisytiharkan bahawa negara Israel hanya khas untuk orang Yahudi sahaja.

Ada juga kumpulan kaum Zionis yang percaya bahawa hanya agama Judaisme sahaja yang betul dan tepat. Agama lain dianggap salah dan menyeleweng. Mengikut fahaman Zionis ini, orang-orang Yahudi dalam dunia ini adalah bangsa ‘pilihan tuhan’ atau ‘the choosen people’. Salah satu cabang ideologi Zionis ialah menyokong kuat sistem ekonomi kapitalis. Justeru kaum Zionis antarabangsa menjadi kapitalis besar dan mengawal Wall Street. Tetapi awas dan waspada, bukan semua kapitalis ini Zionis tetapi semua Zionis menyokong kapitalis.

Perdebatan Nik Aziz-Anwar

Saya timbulkan persoalan Zionis, Yahudi dan Israel ini kerana saya ingin memberi kefahaman tentang gerakan Zionis Antarabangsa. Zionis bukan hanya ditemui di Israel. Zionis bukan hanya Yahudi atau berkulit putih sahaja. Zionis bukan hanya berada di Tel Aviv. Zionis berada di Washington DC, di London, di Paris malah ada Zionis Melayu sedang bersarang di Putrajaya.

Cuba berfikir sajenak. Fikirkan bagaimana jarum Zionis dapat masuk mencucuk ke badan politik Melayu Islam. Jarum Zionis terbukti sedang mengasak dan mengancam politik Melayu. Semua dilakukan dengan begitu halus sekali. Malah ada pembaca yang mengatakan saya ini keterlaluan sedang dipengaruhi oleh teori konspirasi.

Ini bukan teori konspirasi. Apa yang saya tulis adalah fakta sejarah. Apa yang saya paparkan adalah bukti-bukti sahih tentang bagaimana jarum Zionis antarabangsa dapat bergerak dalam badan politik Melayu Islam secara licik dan tersusun.

Kita semua telah diberitahu bagaimana APCO telah dapat menyusup masuk ke pintu kuasa di Putrajaya apabila gerombolan yang dikaitkan dengan Zionis ini dilanggan oleh Najib Razak. Kita juga diberitahu bagaimana satu lagi gerombolan dikaitkan dengan Zionis telah didakwa menyusup masuk melalui sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura. Gerombolan ini dikatakan telah dilanggan untuk memasang peralatan komputer untuk polis Malaysia. Ini bukan teori.

Melalui akhbar Asian Wall Street Journal (AWSJ) – media milik dan penyokong Zionis – kita lihat bagaimana badan politik Melayu telah diporak perandakan. Laporan dari akhbar pro-Zionis ini telah melahirkan kekecohan malah boleh memudaratkan persefahaman dalam Pakatan Rakyat.

Parti PAS melalui Nik Aziz Nik Mat menyatakan bahawa kenyataan Anwar Ibrahim dalam AWSJ mengenai Isreal tidak boleh diterima. Mengikut PAS, Israel wajib terus ditentang. Inilah bukti bagaimana kaum Zionis dapat bergerak dengan licik. Pandangan yang berbeza – sengaja diwujudkan – tentang Israel ini memungkinkan PKR dan PAS terus bertelagah. Jika tidak berwaspada mungkin membawa perpecahan.

Sebenarnya isu Palestin ini bukan isu politik asas – bukan isu induk – di Malaysia. Isu induk dan agenda utama di Malaysia ialah untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation dari terus berkuasa.

Tetapi dengan bijak kaum Zionis melalui kuncu-kuncunya telah menjadikan isu negara Isreal sebagai satu perdebatan berminggu-minggu dalam negara kita. Media kita secara tidak sedar telah diperalatkan oleh kaum Zionis. Kalau di TV isu ‘sokongan Anwar terhadap Israel’ ini berhari-hari menjadi induk berita. Akbar cetak juga tidak mahu kalah – terus melaporkan berhari-hari tentang ‘sokongan Anwar terhadap Israel’ di muka depan mereka.

Teladan dari Front Sosialis 

Lihatlah hampir satu bulan kaum Zionis antarabangsa telah berjaya menjadikan agenda mereka sebagai perdebatan kita. Kita berdebat dan bermasam muka tentang Israel walhal negara Israel ini jauh sekali dari wilayah kita. Jika kita bergaduh dan Pakatan pecah kerana perbezaan pandangan tentang Israel, maka inilah buktinya kaum Zionis telah berjaya masuk jarum.

Lihat bagaimana kaum Zionis bergerak untuk mempertahankan Israel. Tidak ada media media Melayu dalam negara ini berani menimbulkan agenda senjata nuklear Israel. Tidak ada suara politikus Islam yang berani bersuara. Semua takut dengan kuasa Zionis.

Apakah yang saya tulis ini bohong? Kalau saya berbohong sila tanya: Kenapa TV atau media kita tidak membuat berita dan penyelidikan tentang bom nuklear Israel? Tetapi heboh tak tentu pasal tentang Israel.

Untuk menjawab soalan ini biar saya bawa ke satu kisah yang agak lama dahulu. Pada satu ketika dahulu Parti Rakyat dan Parti Buruh telah bergabung untuk menjadi Front Sosialis. Ketika ini Front Sosialis adalah satu-satunya gerakan penentang gerombolan United Malays National Organisation yang ampuh di dalam dan di luar Parlimen.

Kemudian, SB telah memasukkan jarum untuk mencucuk pemimpin dan ahli kedua parti ini untuk berdebat. Agenda debat ialah tentang bahasa. Parti Rakyat mahu Bahasa Melayu dinobat sebagai bahasa kebangsaan. Manakala Parti Buruh mahu Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.

Berbulan-bulan dua gerakan kiri ini berbincang dan bermasam muka membincangkan satu perkara yang tidak fundamental. Mereka terlalai dan terlupa bahawa menjatuhkan kerajaan Tunku Abdul Rahman ialah agenda utama. Bahasa hanyalah agenda sampingan. Akhirnya Front Sosialis retak dan pecah. Perserikatan kaum kiri pecah.

Kesah Parti Rakyat dan Parti Buruh ini wajib dijadikan teladan untuk kita semua. Ilmu pengetahuan ialah pengumpulan pengalaman. Debat bahasa – racun SB – yang telah terjadi kepada Front Sosialis adalah sama dengan debat Isreal – racun Zionis – dari AWSJ. Dua-dua debat ini bukan agenda utama untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation.

Justeru orang yang berilmu ialah mereka yang belajar dari pengalaman. Orang yang bodoh dan bebal ialah mereka yang mengulang kesilapan.

tulisan asal: Hishamudin Rais

2 Comments

Filed under Politik, Sejarah

Siapa Rompak RM207 bilion Hak Buruh Paksa Zaman Jepun?

Semasa pemerintahan Jepun dulu, sekitar 72,000 rakyat negara ini telah dikerah untuk membina landasan keretapi sepanjang 415 kilometer dari Stesen Tha Rua Noi ke Stesen Thanbyuzayaty. Dari sejumlah itu, hanya kira-kira 30,000 orang berjaya kembali kenegara ini manakala selebihnya mati atau hilang.

Selain daripada rakyat Malaya pada masa itu, buruh-buruh paksa juga dibawa dari Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Sejak tahun 1990an, beberapa usaha telah dibuat di negara-negara ini untuk mendapat pampasan dari Kerajaan Jepun. Terdapat juga usaha dari Malaysia untuk mendapatkan pampasan tersebut tetapi tidak jelas siapakah yang melakukan inisiatif itu.

Beberapa orang bekas buruh paksa dari Terengganu telah memulakan inisiatif untuk menuntut pampasan dari Kerajaan Jepun dan sekitar Disember 2005, Kerajaan Jepun telah menjemput wakil persatuan untuk berbincang di Narita, Jepun.

Apa yang mengejutkan ialah, Kerajaan Jepun telahpun membayar pampasan kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM207 billion. Tetapi kemanakah wang tersebut disalurkan?

Pelbagai usaha telah dibuat oleh bekas-bekas buruh paksa ini untuk mendapatkan wang pampasan tersebut termasuk lah dengan mengumpulkan maklumat buruh-buruh paksa yang terdapat diseluruh negara. Seramai hampir 30,000 bekas buruh paksa ataupun waris mereka telah menyertai pertubuhan ini sebagai ahli.

Satu persatuan yang diberi nama Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942-1946 ditubuhkan yang mana akhirnya telah berjaya didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftaran Pertubuhan pada 11 Januari 2011.

Sejak didaftarkan secara rasmi, Ahli Jawatankuasa Persatuan telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari Kerajaan Malaysia, tapi hingga kini masih gagal.

Pengesahan tentang wujudnya sejumlah wang pampasan tersebut dibuktikan dengan satu memo yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia yang bertarikh 29 Mac 2011.

Pada 27 Julai 2011, Persatuan telah memohon secara rasmi bayaran wang pampasan tersebut setelah menunggu begitu lama.

Sejak dari itu, beberapa urusan surat menyurat diantara persatuan dengan Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara.

Namun, pada 3 Oktober 2011, Bahagian Kabinet, Jabatan Perdana Menteri telah menghantar satu surat kepada Persatuan untuk memberitahu bahawa pengeluaran wang pampasan ini memerlukan proses tertentu kerana kelulusanya melibatkan Dana Khas.

Apakah Dana Khas yang dimaksudkan? Bukankah wang tersebut sudah diberikan oleh Kerajaan Jepun?

Sekarang sudah setahun perkara ini berlaku tetapi belum ada keputusan dibuat. Apakah wang tersebut sudah digunakan untuk tujuan lain?

Pada 10 Oktober 2012 yang lalu, DS Hj. Nizar Jamaludin telah membangkitkan isu ini di Parlimen. Soalan Hj. Nizar itu cukup serius tapi malang, tidak ada akhbar arus perdana yang membangkitkan isu tersebut.

Mengapa? Apakah wang tersebut sudah dibelanjakan oleh Kerajaan Umno?

(Boleh dengar ucapan Hj. Nizar semasa perbahasan Bajet 2013 disini yang menyentuh isu ini)

Dalam ucapan Hj. Nizar di Parlimen, Hj. Nizar menyentuh tentang satu memo yang ditulis oleh Gabenor Bank Negara, Zeti Aziz yang juga menyebut tentang wang RM207 billion.

Apakah wang yang disebut oleh Zeti ini wang pampasan…atau secara kebetulan?

Pada 1 September 2012yang lalu, Utusan Malasyia menyiarkan satu artikel tentang penderitaan Pak Embong, yang pernah menjadi buruh paksa semasa pemerintahan Jepun dulu.Ianya hanya berkisar tentang keadaan Abdullah Said,yang kini mencecah 84 tahun bapa kepada lapan anak itu sangat uzur dan sudah tidak mampu menguruskan diri. Malah, ada ketikanya dia sudah tidak mengenali sesiapa lagi.
baca di ( SINI )

Antara apa yang disiarkan oleh Utusan ialah..

Jelas Mariam, sepanjang pengetahuannya, lelaki itu juga kerap berulang-alik ke Kota Bharu, Kelantan ketika masih sihat kerana aktif sebagai ahli Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam ke Burma 1942-1946 Malaysia.

“Ayah pernah mengeluh kepada saya dulu. Walaupun kerap kali menghadiri mesyuarat, namun, dia masih belum sempat merasa wang pampasan yang dijanjikan oleh pihak yang berkenaan.

“Ayah cakap, kalau dapat duit tu, kami tak akan hidup susah lagi,” katanya di akhir perbualan kami.

dari: anak sungai derhaka

Leave a comment

Filed under Rahsia, Sejarah

Perlantikan Gustavus Baron de Overbeck sebagai ‘Maharaja Sabah’ (Borneo Utara) serta ‘Raja Gaya dan Sandakan’ oleh Sultan Borneo pada tahun 1877 M.

Surat perjanjian penyerahan Borneo Utara kepada British.

Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan perkara ini, beta, Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab, Sultan Borneo mengirim salam kepada semua.

Bahawasanya beta berasa perlu untuk menganugerahkan kepada sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Gustavus de Overbeck dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu Negeri di bawah kekuasaan beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai Sibuko, yang terdiri daripada Negeri Paitan, Sugut, Bangayan, Labok, Sandakan, Kinabatangan, dan Mumiang, dan tanah yang lain sejauh hingga ke Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu juga Pulau Banguey, bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.

Dan bahawasanya Gustavus Baron de Overbeck tersebut ialah ketua dan satu-satunya sahaja wakil Sah Syarikatnya di Borneo.

Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta, Sultan Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab hendak dengan ini menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan, dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan, dan dengan hak untuk membuat undang-undang, membuat duit, mewujudkan tentera darat dan tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh pemerintah berdaulat, dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan kerelaan beta sendiri.

Dan beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan supaya mengakui bahawa Maharaja tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu, dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Maharaja tersebut, maka orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan, dan segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak hak padanya.

Dibuat di Istana Brunei pada 29 hari bulan Disember, TM 1877.

Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 156-157.


*Diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia. Kuala Lumpur: ITNM

8 Comments

Filed under Perjanjian Lama, Sejarah