Category Archives: Ulama’ Nusantara

Tok Kenali Dikenali Ulama’ dan Wali.

 

tok-kenali-dgn-zaaba

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat.

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

tok kenali

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathani lah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

sumber: tulisan Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 12 Nov 2006

3 Comments

Filed under Agama dan Islam, Sejarah, Ulama' Nusantara

Haji Abdul Rahman Limbong (Tok Limbong): Ulama’ dan Pejuang.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.

Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.

Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu).

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.

Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

*PEMBERONTAKAN

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.

Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

*Koleksi artikel  ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH

——————————————————————————————————–

Tambahan:

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu.Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

Pembabitan Tok Limbong ini dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.

Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.

Peraturan yang menindas itu menyebabkan sekumpulan petani di Hulu Terengganu melancarkan bantahan dengan tidak mengendahkan larangan terhadap pengambilan tumbuh-tumbuhan liar itu sepanjang Julai dan Ogos 1921.Akibatnya, 43 orang daripada petani terbabit telah disaman dan dibicarakan di mahkamah rendah Kuala Terengganu atas tuduhan membuka tanah tanpa kebenaran.

Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dan dakwah, peristiwa itu menggamit Tok Limbong untuk tampil membantu. Lantas beliau memohon dan memperolehi lesen untuk membela nasib petani-petani berkenaan dalam perbicaraan yang menarik tumpuan ribuan rakyat Terengganu. Dengan menggunakan panduan daripada Quran dan sunnah Rasul, walaupun dalam perbicaraan yang dijalankan di mahkamah sivil, pihak pendakwa gagal mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan Tok Limbong, sekali gus memberi kemenangan kepada 43 petani terbabit. Kemenangan sekali lagi berpihak kepada Tok Limbong ketika kes itu diulangbicara di mahkamah tinggi.

Tok Limbong yang berniaga menggunakan “perahu besar” dikatakan sedang berada dalam perjalanan dari Beserah di Pahang ke Legor di Thailand apabila sekumpulan penduduk yang terlalu benci dengan kehadiran Inggeris di tanahair mereka melancarkan kebangkitan bersenjata di Padang Kacong, Telemong, Hulu Terengganu pada 21 Mei 1928. Ia adalah susulan beberapa serangan yang menyaksikan antara lain pihak pejuang berjaya menawan balai polis Kuala Berang.

Dalam pertempuran di Padang Kacong itu, 12 penduduk kampung, termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Tok Janggut (bukan Tok Janggut yang terbabit dalam kebangkitan menentang penjajah di Kelantan) terkorban akibat tembakan. Pihak Inggeris yakin Tok Limbong adalah dalang di sebalik kebangkitan itu dan terus mengenakan tekanan ke atas Sultan agar meletakkan Tok Limbong dalam tahanan.

Tok Limbong dipanggil menghadap Sultan Sulaiman di Istana Maziah, walaupun urusan perniagaan dan dakwahnya belum selesai ketika itu. Tanpa sebarang perbicaraan, Tok Limbong ditahan dan seterusnya dibuang negeri, mula-mula ke Singapura di bawah tahanan pihak berkuasa Negeri-negeri Selat dan selepas itu ke Mekah di mana beliau meninggal dunia 15 bulan kemudian.

Semasa di Mekah, beliau menginap di sebuah rumah wakaf berhampiran Masjidil Haram di mana beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya mengajar agama. Malangnya janji kerajaan negeri ketika itu untuk menghantarnya elaun bulanan jika beliau berangkat ke Mekah tidak pernah dikota.

Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang berlaku selepas itu, terutama tentang harta benda dan urusan perniagaannya, kecuali generasi warisannya yang masih ramai boleh ditemui di sekitar Pulau Musang, Kuala Terengganu dan makam 12 pahlawan Melayu itu yang diabadikan di Padang Kacong, Kuala Telemong.

Walaupun sejarah tidak mencatatkan bahawa batang tubuh Tok Limbong pernah turun ke gelanggang tempur, yang pastinya semangat juang yang ditiup ke dalam sanubari orang Melayu ketika itu sedikit sebanyak turut mempengaruhi semangat generasi selepasnya untuk meneruskan perjuangan menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

1 Comment

Filed under Sejarah, Ulama' Nusantara

Syeikh Ahmad al-Fathani : Apa Itu Melayu?

HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1.Petikan itu ialah:

Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya’. Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.

“Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

“Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan “Jawah“, iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.

“Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.

“Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

“Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka.

Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.

Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitab Tashil Nail al-Amani itu.

Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, “al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya“, takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan “mi” (Mi-layu) atau “ma” (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah “me” (Me-layu).

Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan “mi” (Mi-layu) atau “ma” (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

1. dari aspek geografi dan kesuburannya

Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, “Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina“. Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, “Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah.”

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, “iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana” atau di dunia Melayu. Dari perkataan “Jawah” kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, “Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.” Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.

Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, “Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah“, dalam Hadiqat al-AzharIa adalah petikan Jaridah Al-Ma’lumat terbitan Betawi.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: “Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi“.

Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, “Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia …” yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.

Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, “Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita“.

2. Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, “Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu.”

Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, “Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]“.

Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab “Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah …”, maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.

Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, “Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu“.

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, “Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun“.

Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya,

Muru’ah, ertinya “kemukaan” atau “kemanusiaan”, iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan “muru’ah” dengan erti “kemukaan” itu, betul lagi nyata, kerana “kemukaan” pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.

Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.

Maka iaitulah ‘ain “muru’ah” yang pada bahasa Arab, dikatakan “Si Anu itu orang yang bermuka”. Ertinya: “mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya”.

Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.

Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan “kemukaan” ini lain daripada “wajahah” yang pada bahasa Arab. Kerana makna “wajahah” itu “al-hazhu wal ratbah”.

Dan iaitu bukannya “kemukaan” yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i’tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan “muru’ah” dengan “kemukaan”. Maka ia berkata ia [bahawa] “kemukaan” itu terjemah “wajahah” yang pada bahasa Arab.

Ada pun tafsir hamba akan “muru’ah” dengan “kemanusiaan”, ertinya “keadaan seseorang itu manusia yang sempurna“.

Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna “muru’ah” itu. Wallahu a’lam.

Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu “memiliki kehormatan yang sopan …”

3. Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu “menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya“.

Mengenai perkataannya “menerima pemodenan teknologi” Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

4. Aspek kedaulatan pemerintahan

Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, “Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin“.

Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.

Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.

Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.

Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.

 TEUKU Umar Johan Pahlawan (kiri) yang memimpin perang jihad fisabillah menentang penjajahan Belanda.

Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.

Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.

Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M – 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M – 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.

Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

Penutup

Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.

Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

4 Comments

Filed under Sejarah, Seni dan Bahasa, Ulama' Nusantara