Apa Beza ABIM, IRC, HALUAN, PAS, IKRAM, ISMA, AMANAH?

ABIM adalah singkatan Angkatan Belia Islam Malaysia ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Dato’ Fauzi Abd. Rahman sebagai Setiausaha Agung. ABIM adalah NGO Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Prof. Dr. Razali Nawawi telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala DS Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua.

Macam wujud kesefahaman pada masa itu sehingga 1982 (tahun dimana Anwar Ibrahim masuk UMNO) PAS tak masuk ke pusat pengajian tinggi kerana PAS parti politik dan ABIM memainkan peranan untuk menyebar luas ‘fikrah perjuangan PAS’ di U.

Ustaz Fadhil Nor semasa menjadi pensyarah UTM juga tidak bergerak atas PAS tetapi bergerak atas ABIM.

Selepas 1982 barulah PAS mengembangkan sayapnya ke pusat pengajian tinggi dan wujud pertembungan antara PAS dan ABIM dalam mencari kader. Hubungan sebelum ini antara PAS dan ABIM telah tidak wujud lagi kerana ABIM tidak lagi macam dulu.

Sebelum 1982, ramai pemimpin ABIM di tahan ISA. Misalnya pada tahun 1974 kerana Demosntrasi di Universiti Malaya dan di padang Dataran Merdeka dan Tun Mahathir adalah Menteri Pelajaran semasa itu. Itulah kalau nak kenal siapa Tun Mahathir!!

Asal IRC

Islamic Representative Council (IRC) adalah gerakan pelajar di UK. Di Mesir pula dikenali sebagai al-ikhwan (‘Alami). Zaman 80an dulu lebai pening juga fikir bagaimana IRC di UK dan gerakan alami di Mesir boleh bersama bila pulang ke Malaysia?

Difahamkan bahawa gerakan ini asal daripada ahli-ahli Ikhwan Muslimin di Mesir. Bila mana Ikhwan Muslimin di haramkan dan ramai pimpinan mereka ditangkap dan dikatakan hampir 20 ribu orang. Anda boleh bayangkan kalau kita bandingkan Ikhwan dengan PAS, 20 ribu pimpinan PAS ditangkap. Ketua cawangan dan ahlinya ditangkap, bukan pimpinan atas sahaja. Yang tinggal ahli biasa. Ini yang mulakan gerakan Ikhwan Muslimin baru dengan fikrah baru secara siir.

Ikhwan Muslimin mempunyai susunan tarbiyyah yang agak baik, walaupun pimpinan ditangkap mereka masih bergerak dan usrah-usrah masih berjalan dan wujudlah idea gerakan “siir” (sembunyi termasuk tidak mengetahui siapa pimpinan demi menjaga keselamatan) untuk menyelamatkan gerakan mereka daripada buruan pihak berkuasa Mesir.

Usrah-usrah dengan idea baru ini bercambah dan ada yang ke luar negara atas pelbagai urusan maka gerakan ini bercambah dan tertubuh di luar negara dengan fikrah ikhwan yang baru. Jadi itulah sebabnya di Mesir atau di UK mereka adalah berfikrah Ikhwan Muslimin yang baru.

Awal 70an terdapat 3 golongan gerakan Islam di UK, iaitu; kumpulan pelajar daripada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK kini dikenali UTM), pelajar-pelajar di serata UK yang terdedah kepada tarbiyyah dan para pelajar di Brighton, Selatan UK, yang diperkenalkan kepada fikrah (pemikiran) daripada sahabat-sahabat Jama’ati Islami yang berasal dari Pakistan berhimpunan untuk bentuk gerakan Islam.

Selepas perhimpunan Musim Sejuk FOSIS pada 1974, satu pertemuan khusus diadakan di kalangan wakil-wakil daripada Brighton, sahabat-sahabat MISG, pelajar-pelajar lepasan ITK (UTM) dan pelajar-pelajar lainnya di Brighton. Pertemuan ini bertujuan membincangkan lebih lanjut idea asal penubuhan satu badan dakwah yang mula terbit pada tahun 1972 bagi menjadikan ia satu kenyataan.

24 Disember 1974 menjadi titik pertemuan pelajar-pelajar tersebut di satu mesyuarat yang dianjurkan khususnya untuk membincangkan perkara tersebut. Lanjutan daripada mesyuarat ini, pertemuan ketiga dirancang dan diadakan pada cuti Easter universiti pada musim bunga bulan Mac 1975. Daripada pertemuan inilah nama Islamic Representative Council (IRC) ataupun Majlis Syura Muslimun (MSM) dipilih.

Said Hawa, Abdul Hadi dan Harun Taib

Said Hawa adalah menantu Imam Hasan al-Banna pengasas Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan menjadi penggerak gerakan Ikhwanul Muslimin Syria. (Gerakan Ikhwanul Muslimin menarik jika dikaji. Ikhwanul Muslimin juga berpecah kepada 3 iaitu Ikhwan Alami, Jihadi dan Ku’tri).

Pada tahun 1966-1971 pada ketika Said Hawa berusia 32-37 tahun beliau tinggal di Arab Saudi selama lima tahun dan menyiapkan buku al-Usul Thalathah dan Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan.

Pada ketika itu dia membentuk usrah dan ahli usrahnya ialah Ustaz Abdul Hadi Awang dan Ustaz Harun Taib yang kebetulan mengambil Ijazah di Universiti Islam Madinah untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah. (Ada juga wakil daripada gerakan Islam Indonesia,  Masyumi, Majlis Syura Muslimin Indonesia dalam usrah mereka)

Kitab Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan adalah silibus usrah mereka. Ini dimaklumakan sendiri oleh
almarhum Dato’ Harun Taib.

Abdul Hadi Awang di Mesir

Ustaz Abdul Hadi melanjutkan pelajaran beliau peringkat Ijazah Sarjana (master) di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, dalam jurusan Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik) dari tahun 1974-1976. Ustaz Harun pun sama dalam jurusan yang sama.

Ustaz Hadi diminta untuk pulang ke tanah air lebih awal bagi membantu PAS, manakala Ustaz Harun Taib akan menyambung untuk PHD, maka mereka merancang dan membahagikan tugas di mana Ustaz Abdul Hadi membawa usrah bagi melatih (mengkader) dan Ustaz Harun pula bergiat dalam persatuan Melayu di sana.

Ustaz Abdul Hadi membentuk usrah naqabah terdiri daripada 7 orang iaitu Ustaz Alias Osman, Ustaz Darus Sanawi, Ustaz Zawawi Ali (Adik Cikgu Pa) dan 4 lagi yang lain.

Masa itu pilihanraya hampir, Ustaz Abdul Hadi pulang ke tanah air untuk bantu PAS. Mulanya beliau bekerja sebagai Pegawai Yayasan Islam Terengganu (1977-1978), dalam masa yang sama menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu. Tahun itu juga beliau mula menjadi tenaga pengajar Maahad Al-Ikhwan (Institut Berakan yang pernah diroboh dengan zalim oleh UMNO), sebuah sekolah swasta yang ditubuhkan oleh beberapa anak muda PAS di Mengadang Akar, Kuala Terengganu di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Chik.

Pada tahun 1978 juga Ustaz Hadi bertanding pada Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-5 pada tahun 1978 di Dun Marang mewakili PAS tetapi kalah dengan majoriti 64 undi kepada calon BN, Tengku Zahid Tengku Musa.

Ustaz Harun Taib tak sempat menyiapkan tesis Ph.D dalam bidang politik antarabangsa sehingga dia meninggal kerana terlibat dengan PAS dan beliau juga pulang awal ke Malaysia demi untuk membantu PAS dalam PRU-5.

Jadi apa yang dikatakan oleh almarhum Ustaz Nikmat Yusof pengasas Maahad Tarbiah Derang di Pokok Sena Kedah bahawa kemasukan Ustaz Fadhil Nor oleh Majlis Syura ABIM untuk membantu PAS perlu difahami bahawa PAS dan ABIM sebenarnya tidak terasing sangat melainkan selepas Anwar Ibrahim masuk UMNO.

Sebelum Anwar Ibrahim masuk UMNO yang mengubah cara dan pendekatan ABIM, penglibatan ahli dan pimpinan PAS dalam ABIM suatu perkara yang biasa kerana ABIM suatu badan NGO yang boleh bergerak bebas dan PAS badan politik yang pada masa itu sangat buruk ditekan oleh kerajaan UMNO.

Perpecahan ABIM

Setelah Anwar Ibrahim masuk UMNO pada 1982 suatu keputusan yang mengejutkan. Hampir semua tak setuju berbeza dengan kemasukan Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Hadi dan beberapa orang pimpinan lain adalah atas kebenaran Majlis Syura ABIM.

Kemasukkan Anwar menjadi tamparan hebat kepada PAS apatah lagi hampir dengan PRU-6 dan Anwar Ibrahim telah diura-urakan menjadi calon PAS.

Kenapa Anwar masuk UMNO ada banyak teori dan analisis penulis. Jika anda baca “Memo Buat Bakal PM” tulisan Ahmad Lutfi Othman, bekas ketua pengarang Harakah yang kini berjinak dengan parti AMANAH anda akan lihat ada pandangan lain daripada apa yang Ustaz Nikmat nyatakan.

“Sebenarnya Anwar merancang kemasukannya dalam UMNO dengan begitu licin. Anwar sertai UMNO ketika dia sudah pastikan ABIM tidak lagi mempunyai tokoh yang boleh mempersoalkan ‘ijtihadnya’. Anwar sengaja mengarahkan Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin kanan ABIM yang lain sertai PAS sebelum itu bukan kerana dia rasakan waktu itu PAS satu jemaah Islam yang perlu didukung tetapi kerana dia mahu menjayakan cita-cita besarnya untuk masuk UMNO ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, “ hujahnya.

Lebai cadangkan anda baca buku “Memo Buat Bakal PM” atau baca link di sini untuk memahami isi perbahasan sepenuhnya.

Ada juga penganalisis lain ada yang mengatakan kedudukan Anwar dalam PAS mungkin tidak sebaik dalam UMNO kerana pada masa itu nama Ustaz Abdul Hadi lebih tertonjol kehebatannya terutama dalam pidato apabila mereka berdua berceramah. Ini membuatkan Anwar mungkin mendapat saigan dalam menerajui PAS selepas Ustaz Fadhil. Tapi kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO menyebabkan kedudukan ABIM menjadi tidak sehebat dulu. ABIM tidak lagi menjadi satu badan yang dikagumi kerana ABIM berpecah kepada 4 iaitu ABIM asal, ABIM pro UMNO, ABIM Perlis (HALUAN) dan ABIM Pro PAS.

HALUAN

Seperti lebai nyatakan di atas, kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO pada 1982 membuatkan ABIM berpecah. Salah satunya ABIM Perlis yang dipimpin oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Ustaz Dahlan adalah mudir Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) dan beliau membawa pendekatan yang ada sedikit kelainan dengan ABIM sebelum ABIM berpecah lagi.

4 tahun selepas Anwar masuk UMNO, ABIM Perlis membawa haluan sendiri dengan HALUAN (ABIM Perlis) pada tahun 1988 yang diketuai oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain.

Tubuhnya JIM

Ahli Islamic Representative Council (IRC) apabila menamatkan pelajaran mereka pulang ke Malaysia menubuhkan IRC di Malaysia secara sembunyi sedangkan pada masa itu telah ada hubungan baik antara PAS dan ABIM.

IRC meresap dalam ABIM dan cuba menguasai ABIM tetapi tidak berjaya. Kemudian mereka meresapi PAS dan memasuki PAS.

IRC menggunakan Ustaz Abdul Awang sebagai saluran untuk mengambil alih PAS dalam penguasaan fikrah melalui Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat yang kebetulan Ustaz Abdul Hadi Awang adalah ketuanya.

Apabila Ustaz Abdul Hadi Awang pulang ke Malaysia pada 1977, 7 orang anak usrah beliau telah diserahkan kepada seorang aktivis gerakan Ikhwanul Muslimin, Mustafa Masyhur seorang ahli fizik untuk meneruskan usrah berkenaan. (Asy-Syeikh Mustafa Masyhur kemudiannya menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-5 mulai 1996 hingga 2002).

IRC mengambil kesempatan dalam PAS. Ustaz Alias Osman semasa berada dalam Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat hanya menerbitkan buku terjemahan “Apa Erti Saya Menganut Islam” dan aktiviti lain ialah banyak menyerap ahli-ahli PAS kepada IRC sehingga berlaku pertembungan yang sangat besar sekitar 1980an dan IRC mula terdedah secara menyeluruh.

Lajnah Tarbiyyah cuba menyelesaikan masalah ini dengan mengumpul pimpinan PAS dan IRC untuk ditamrinkan di Taman Melewar selama 3 hari tetapi tak beberapa hari selepas itu terjadi semula pertembungan sehingga sebahagian besar IRC disingkirkan daripada PAS.

IRC mula mendekati UMNO pula. Mereka membentangkan kertas kerja untuk IRC menyertai UMNO tetapi ditolak oleh Majlis Syura. Penolakan kertas kerja berkenaan, tidak berakhir usaha memasuki UMNO dan wujud dikalangan ahli IRC mengusulkan untuk menzahirkan IRC pada masyarakat. Nama yang telah dicadangkan ialah Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Maka JIM telah ditubuhkan pada 27 Julai 1990 dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip) sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden.

Kalau dilihat dari jalur waktu sejarah, tertubuhnya JIM serentak dengan kemenangan PAS di Kelantan akibat perpecahan UMNO pada tahun 1990. Pada masa itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tengah memuncak karier politiknya di dalam UMNO akibat perpecahan yang berlaku.

Malah, kalau dilihat dari jalur kesatuan pelajar, tokoh-tokoh pelajar MISG (persatuan pelajar di Amerika Syarikat) yang menyertai beliau ialah Wan Hasni Wan Sulaiman yang pernah menjawat Timbalan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan pengerusi ABRAR INC. Turut bersama Abdul Rahim Ghouse, Mantan Presiden MISG sebelum Wan Hasni yang menjadi Ketua Pemuda Pulau Pinang dan juga bersama Wan Hasni membina ABRAR INC.

MISG dan IRC punyai hubungan yang agak erat di kalangan penggerak persatuan pelajar di luar negara. MISG yang berpusat di Illinois, Amerika, manakala kumpulan IRC bergerak di UK. Ramai juga, lepasan ABIM turut sama menyertai MISG lantas secara tak sedar membina jaringan langsung dengan UMNO di bawah pimpinan DS Anwar Ibrahim.

Maka tidak hairan ketika itu, tatkala Anwar berada di puncak kuasa UMNO, tokoh-tokoh JIM menguasai di sektor pendidikan di UIA, USM Kubang Kerian, di UTM, di UM dan lain-lain lagi.

Dalam masa yang sama Saari Sungip (Presiden JIM) mempunyai hubungan secara langsung dalam urusan perniagaan bersama agensi agensi kerajaan yang ketika itu mendapat faedah bekerjasama dengan Anwar Ibrahim.

Pertembungan Anwar Ibrahim dengan PAS ketika itu juga turut dibantu oleh JIM dalam menaikkan imej islamisasi Anwar Ibrahim. Malah JIM turut membantu Anwar Ibrahim untuk beliau merampas kembali Kelantan dari PAS pada tahun 1995. (Jadi tak hairan IKRAM – sebelum ini dikenali JIM bekerja keras membantu AMANAH dan UMNO untuk jatuhkan PAS di Kelantan)

Saari Sungip cuba menyatukan HALUAN dengan JIM pada tahun 1995 tetapi tidak berjaya.

Hubungan IRC/JIM dan ISMA

Perjalanan ISMA agak berbeza sedikit. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ditubuhkan pada 7 Julai 1997 pada asalnya adalah ialah sebuah badan bukan kerajaan dengan nama “Ikatan Siswazah Muslim Malaysia” sebelum berkembang maju dan kemudian menukar namanya kepada Ikatan Muslimin Malaysia pada tahun 2005. Terdiri daripada aktivis IRC yang tidak minat pertembungan jamaah dan penglibatan politik. Lebih tertumpu kepada kepentingan, kebajikan dan isu-isu umat Islam termasuk luar negara.

Setelah tertubuhnya ISMA pada 2005 sehingga kini ISMA diterajui oleh Ustaz Abdullah Zaik bin Abd Rahman yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Aman Palestin. ISMA juga mesra kerajaan ketika itu.

Agak mengejutkan pada tahun 2013 ISMA mula melibatkan dalam dunia politik Malaysia dengan menurunkan calon daripada Biro Politik ISMA pada Pilihan Raya Umum ke-13. ISMA menggunakan tiket parti BERJASA dengan kawasan-kawasan yang mereka bertanding majoriti pengundi adalah pengundi muslim tetapi diletakkan calon bukan muslim oleh parti kerajaan dan pembangkang.

Ini menyebabkan JIM agak marah, 2009 mereka cuba gabungkan HALUAN, ISMA dan JIM kepada IKRAM tetapi ISMA menolak antara alasan tak mahu terlibat politik.

ISMA secara tidak langsung terlibat dengan GAGASAN SEJAHTERA (GS), blok ketiga yang diasaskan oleh PAS melalui parti BERJASA. Ini membuatkan pertembungan dengan IKRAM (JIM) dan AMANAH makin menebal.

Keretakan IRC dan Suara Islam

Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC pertama kalinya bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi apabila ada kalangan yang ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian dijelmakan sebagai “Parti Negara Islam” apabila kembali ke tanah air. Khalid Samad sebelum itu aktif dengan IRC tetapi akhirnya bersama dengan Suara Islam semasa dia mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan Api dan Tenaga, University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1979 kerana banyak pandangannya berbeza dengan IRC.

Pemecatan Anwar dan Kejatuhan JIM

Anwar Ibrahim dipecat 1998. Parti KeADILan Nasional ditubuhkan pada 4 April 1999 dengan mengambil alih sebuah parti kecil yang sedia ada iaitu “Ikatan Masyarakat Islam Malaysia” (IKATAN – bukan IKATAN yang ditubuhkan oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir) yang ditubuhkan pada 1990 oleh Haji Abdul Wahab Yunus bekas ahli parlimen PAS Dungun, Terengganu.

Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai Parti Keadilan, di antaranya ialah Sahri Bari (bekas Naib Presiden JIM dan bekas pensyarah kejuruteraan di ITM tahun 80-an) yang menjadi EXCO Pemuda Keadilan dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung.

Saari Sungip menjadi calon Keadilan dalam Pilihan Raya 29 November 1999 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tetapi tewas. Pada 2004, Saari Sungip bertanding atas tiket PKR di Parlimen yang sama iaitu Paya Besar, juga kalah kepada Dato’ Seri Dr Hajjah Siti Zaharah Sulaiman. 

Prestasi PKR makin merosot, 2008 makin ramai pimpinan JIM menyertai PAS termasuk Saari Sungip. Kemasukan Saari Sungip ini menjadi catatan apabila almarhum Dato’ Harun Taib pernah berkata “Enta masuk PAS nak apa? Nak buat kacau dalam PAS lagi ke?” 

JIM sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009. IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi kini terlibat dalam pelbagai jemaah seperti JIM, ISMA dan HALUAN.

Demi menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub yang berbeza, IKRAM dilahirkan. Namun JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan. Pada Disember 2011, dalam PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar berkenaan bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.

Semua ahli, harta, aset maknawi serta institusi-institusi seperti sekolah, Hidayah Centre dan Raudhatus Sakinah milik JIM akan diserahkan kepada IKRAM.

Leave a comment

Filed under Politik, Sejarah

Leave a comment