Mencari kebijaksanaan baru daripada dokumen sejarah.

oleh: Baharom Mahusin

SALAH sebuah buku penting yang harus dibaca untuk kita memahami pemikiran Barat ialah kompilasi dokumen, ucapan dan perjanjian yang terkandung dalam buku The Great Documents of Western Civilization tulisan Milton Viorst.
Buku itu menyenaraikan teks-teks bersejarah yang membentuk sistem sosial dan pandangan hidup orang Barat bermula dari zaman empayar Rom pada tahun-tahun Sebelum Masihi sehingga kepada persetiaan Magna Carta di England pada 1215 dan dokumen-dokumen lain yang merupakan teks perjanjian yang membentuk orde dunia moden.
Di Malaysia, satu usaha telah dibuat untuk menyenaraikan perjanjian dan dokumen lama yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah tetapi implikasinya amat besar kepada kehidupan, sistem sosial dan politik negara. Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu dihasilkan dengan kerjasama Arkib Negara.


Seperti juga apabila kita terpesona membaca teks ucapan Their Finest Hour yang disampaikan oleh Perdana Menteri Britain, Winston Churcill pada tahun 1940 ketika Britain menjadi satu-satunya kerajaan Eropah yang belum tumbang dan berseorangan menentang kemaraan tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua yang turut menjadi sebahagian daripada kandungan buku The Great Documents of Western Civilization, kita akan turut merasakan debaran apabila membaca buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965.
Dalam buku itu Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh menulis prakata dengan mengingatkan bahawa perjanjian dan dokumen lama itu merupakan bukti bagi pelbagai peristiwa penting yang berlaku antara pihak pemerintah dengan pihak penjajah yang selama ini terkunci dan tidak diketahui apa sebenarnya berlaku pada zaman tersebut. “Kita akan mendapat maklumat yang akan mengubah persepsi kita tentang apa yang termaktub dalam sejarah,” katanya.
Di Istana Mestika di Shah Alam, Selangor, buku itu telah pun ada di atas meja kerja Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sudah pun dibaca oleh baginda. Sudah tentu ia kini juga telah ditelaah oleh sultan-sultan dan raja yang lain. Para pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan juga wajib membaca buku tersebut untuk membolehkan mereka mendapat pengajaran berharga supaya tidak terperangkap dalam perjanjian tertentu yang pada kemudian hari mungkin membelit dan mengorbankan diri sendiri.
Antara bahan dalam buku itu yang benar-benar membuka mata ialah perjanjian antara Raja Perlis dengan Great Britain yang dirancang oleh wakil Raja Inggeris, Sir Harold MacMichael pada 4 Disember 1945. Perjanjian ke arah membentuk Malayan Union itu secara jelas menunjukkan Raja Perlis ketika itu bersetuju ‘bagi pihak diri sendiri, waris dan pengganti baginda’ bahawa ‘Baginda King Great Britain hendaklah mempunyai kuasa dan bidang kuasa yang sepenuhnya ke atas negeri Perlis’.
Kira-kira 22 tahun sebelum itu, pada 1 November 1923, Sultan Kedah menandatangani perjanjian perhubungan persahabatan dengan Inggeris. Dalam dokumen itu dinyatakan bahawa negeri Kedah hendaklah kekal di bawah naungan King Great Britain yang akan menjalankan hak ketuanannya.
Dinyatakan juga bahawa ‘pengganti Sultan hendaklah terdiri daripada seorang keturunan langsung Sultan Abdul Hamid Halim Shah atau keturunannya yang dipilih oleh Majlis Negeri dan diterima oleh Baginda King Great Britain’. Ertinya, menerusi perjanjian itu, Baginda King Great Britain turut mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan menjadi Sultan Kedah ketika itu.


Butiran perjanjian itu menunjukkan raja- raja dan negeri Melayu berada dalam keadaan yang amat lemah ketika empayar Great Britain tengah di puncak kekuasaan dengan menguasai kira-kira satu perempat daripada daratan dunia, dengan tanah jajahan yang terbentang luas dari Jamaica di Caribbean sehingga ke Australia di Pasifik.
Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 setebal 236 halaman itu juga menerbitkan kembali teks perjanjian Sir Stamford Raffles dengan Datuk Temenggung Seri Maharaja Abdul Rahman yang memerintah Singapura pada 1819.
Dalam perjanjiannya dengan Raffles, Temenggung Abdul Rahman bersetuju bahawa beliau ‘ada perjanjian selama-lamanya dengan kompeni Inggeris boleh duduk dan pelihara seperti janji ini tiada ia boleh masuk bicara atau lepas di dalam daerahnya pada segala bangsa yang lain daripada bangsa Inggeris’.
Perjanjian ‘selama-lamanya’ itulah yang menjadi titik tolak kepada terlepasnya Singapura daripada penguasaan Johor dan kira-kira 146 tahun kemudian pulau itu menjadi sebuah republik berasingan yang didominasi oleh orang Cina.
Selain memaparkan sistem politik dan pengaruh penjajah Inggeris yang ingin membolot sumber ekonomi Tanah Melayu, teks-teks perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin Melayu dengan Inggeris juga menampakkan pertembungan antara agama.
Dalam Persetiaan Naning 1801 yang turut ditandatangani oleh Dol Said dengan pegawai Inggeris di Melaka, penghulu dan pembesar Naning bersetuju menjual bijih timah hanya kepada kompeni Inggeris.
Perjanjian itu juga mendedahkan secara terbuka konflik agama ketika itu.
Perkara Sepuluh Persetiaan Naning menyebut ‘mana-mana hamba lelaki dan perempuan yang dipujuk lari dari Naning ke Melaka, bagi memeluk agama Kristian, maka tuan punya hamba itu akan menerima ganti rugi sebanyak separuh daripada harga hamba itu, mengikut penilaian jawatankuasa yang akan dilantik kerajaan’.
Persetujuan itu kemudian diikuti Perkara Sebelas perjanjian tersebut yang juga memperkatakan isu yang sama. “Tetapi (jika) mana-mana orang menjual mana-mana hamba beragama Kristian atau orang biasa dari Melaka kepada orang Islam atau orang Pagan, sama ada dengan kerelaan mereka sendiri atau digoda ataupun dilarikan secara paksa daripada tuan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menggoda hamba Kristian atau orang biasa supaya berkhatan atau menggunakan kekerasan bagi mempengaruhi mereka menjadi orang Islam, nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.”


Yang menarik dalam perjanjian itu ialah penghulu dan pembesar Naning – termasuk Dol Said yang terkenal dalam sejarah kerana keberanian menentang Inggeris – berjanji dan bersumpah dalam Persetiaan Naning ‘menggunakan al-Quran, atas nama masyarakat Naning, bahawa mereka akan mematuhi dengan sesungguhnya segala perintah yang ditetapkan dalam perkara-perkara ini, dan mengikat diri mereka bagi menyerahkan mana-mana pencabul perintah tersebut kepada Syarikat Hindia Timur, supaya hukuman boleh dikenakan ke atas orang itu’.
Persetiaan itu dibuat dan diikrarkan di Kota Melaka pada 16 Julai 1801. Teks Persetiaan Naning itu menampilkan betapa keras sikap penjajah Inggeris dalam mempertahankan anutan agama Kristian kumpulan tertentu di Melaka. Dalam respons mereka, para pemimpin Melayu yang hidup 200 tahun lalu bersumpah menggunakan al-Quran bagi mematuhi apa yang penjajah Inggeris itu inginkan.
Teks tauliah yang dibuat oleh Sultan Brunei pada tahun 1877 yang melantik seorang pengembara Jerman, Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah dan Raja Sandakan juga perlu menginsafkan kita. Dalam tauliah itu, Sultan Brunei yang mendapat bayaran pajakan 15,000 dolar setahun nilai wang ketika itu telah memberikan Overbeck ‘kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta itu dan juga hak ke atas pengeluaran hasil bumi negeri ini’.
Tauliah lima perenggan itulah yang menjadikan Brunei sebuah negara kecil seperti yang kita ketahui sekarang.
Buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia 1791-1965 itu, sebagaimana juga The Great Documents of Western Civilization tulisan Milton Viorst, memberikan kita pemahaman tentang sejarah silam.
Kepada orang yang telah membaca buku itu, pemahaman yang diperoleh seharusnya merintis kepada suatu kesedaran yang amat mustahak dipegang selama-lamanya iaitu kita perlu menjadi bijaksana dalam mempertahankan hak kita dan negara ini.

PS : Dah terang lagi bersuluh..Haruskah kita berada di takuk lama dalam mengkaji dan meneliti semula sejarah agama, bangsa dan negara kita? Sekiranya mereka yang berwajib tidak bertindak, masih berada di takuk lama, adakah orang lain yang lebih akalnya untuk berfikir harus di persalahkan?

2 Comments

Filed under Sejarah

2 responses to “Mencari kebijaksanaan baru daripada dokumen sejarah.

  1. Sheikh Zack

    salam….
    Ana hnya nak ckap sptah dua sja..msih .ada sglntir mnusia yg mngaku Melayu Islam nmun pd hkikatnya…msh pmalas dlm hal yg brksar ttg sjarah…x kira la dri org biasa hngga ke pmimpin…ntah apa yg yg mereka prjuangkan ana pn msh samar…yg nyata mreka sgup jd BONEKA pnjajah…dmi agenda pribadi..yg akhir nya trus mnjadi “BADI” kpd umat Melayu Islam hngga hari ini….
    Semoga bersua lagi…insylah…takbir Allahkbar 3x!!!

  2. rohaizah

    assalam. jutaan terimakasih kpd penulis yg pd pandangan saya seorang ilmuan yg banyak membaca lg luas pengetahuannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s